Lazimnya, katarak mata sinonim berlaku kepada golongan dewasa. Namun katarak juga boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang biasa dikenali sebagai katarak kongenital.

Katarak tersebut berlaku sejak bayi berada di dalam kandungan ibunya apabila pembentukan kanta mata tidak normal iaitu kabur dan tidak lut sinar.

Penyakit ini boleh berlaku sama ada kepada perempuan atau lelaki dan boleh berlaku pada satu mata atau kedua-dua belah mata kanak-kanak.

Apa yang dibimbangkan, katarak yang berlaku kepada kanak-kanak memberi kesan yang lebih buruk berbanding orang dewasa atau warga emas.

Ini kerana, kejadian katarak menyebabkan perkembangan otak kanak-kanak terganggu kerana usia dari lahir hingga dua tahun pertama, merupakan tempoh masa terbaik untuk perkembangan mata dan otak kanak-kanak.

Masalah katarak tidak boleh diambil mudah kerana apa sahaja yang dilihat kanak-kanak secara visual akan diproses ke otak bagi membolehkan visual itu dibaca dan diterjemahkan.

Namun, jika proses berkenaan tidak dapat dibuat ekoran mereka mengalami masalah penglihatan, ini akan menyebabkan otak gagal memproses imej tersebut serasi dengan keupayaan mata yang normal.

Menurut Konsultan Oftamologi KPJ Kajang, Dr. Saira Fairma Ismail Mokhtar, keadaan itu menyebabkan kejadian lazy eye atau mata malas kerana mata penghidap katarak tidak boleh melihat objek dengan jelas.

Ini sekali gus mengganggu proses penglihatan yang membawa kepada ketidakmampuan mengenal huruf, membaca dan menulis.

Katanya, lebih membimbangkan, keadaan mata malas itu boleh menyebabkan kecacatan mata kekal seperti rabun dan buta serta gangguan pembelajaran.

Tambah beliau, keadaan katarak terbahagi kepada tiga jenis kejadian iaitu katarak kongenital (ketika dilahirkan), katarak developmental (perkembangan tumbesaran) dan katarak trauma (disebabkan kejadian kemalangan).

“Lazimnya kejadian katarak mata berlaku kepada golongan dewasa, namun keadaannya berbeza kerana katarak yang berlaku kepada golongan berkenaan disebabkan faktor usia dan penuaan.

“Katarak pada kanak-kanak pula disebabkan daripada pelbagai punca antaranya, mempunyai sejarah keluarga katarak atau disebabkan jangkitan kuman semasa dalam kandungan seperti rubella, syphilis, toxoplasmosis dan herpes.

“Penghidap sindrom Down juga berisiko mendapat katarak kongenital selain disebabkan kejadian penderaan, kemalangan di bahagian mata, hentakan ketika terjatuh, gegaran di sekitar kawasan mata dan kecederaan ketika kelahiran misalnya penggunaan forseps yang mungkin tertekan pada bahagian mata bayi.

“Jika kejadian ini berlaku sama ada di awal kelahiran atau dua bulan selepas kelahiran, ibu bapa perlu terus merujuk pakar mata dengan segera agar rawatan dapat diberikan dengan cepat bagi mengelakkan kesan yang lebih buruk,” katanya.

Menurut Dr. Saira Fairma, katarak boleh dirawat dengan syarat masalah itu perlu dikesan awal serta mendapat rawatan dengan segera, jika tidak masalah katarak menjadi lebih buruk pada usia kanak-kanak melepasi dua tahun iaitu pada tahap kematangan maksimum mata.


Kaedah rawatannya pula adalah melalui pembedahan kerana katarak tidak dapat dirawat melalui ubat-ubatan biasa serta tradisional.

“Bagi rawatan peringkat awal, kanak-kanak itu perlu menjalani pemeriksaan secara menyeluruh bagi memastikan tahap penglihatan mereka. Jika kita dapati mereka mempunyai masalah katarak yang serius, kita akan menyarankan pembedahan.


“Jika katarak dikesan ketika masih bayi, pembedahan perlu dilakukan seawal usia bayi berkenaan dua bulan terutama bagi katarak yang mengganggu paksi penglihatan. Usia dua bulan adalah usia yang paling baik untuk pembedahan dilakukan kerana selalunya kematangan mata berlaku secara maksimum sehingga umur kanak-kanak itu dua tahun.

“Ini bermakna, jika pembedahan dibuat ketika itu, potensi untuk kematangan untuk pulih adalah tinggi dan risiko mata untuk mendapat gangguan penglihatan adalah rendah,” ujarnya.



Jelas beliau, dalam kes tertentu, ada juga katarak yang berlaku gagal dikesan ibu bapa sehingga umur kanak-kanak berkenaan mencecah dua tahun.

Begitu pun, belum terlambat untuk masalah katarak dirawat kerana kematangan mata kanak-kanak masih boleh berlaku sehingga usia lapan tahun, cuma mendapat rawatan lebih awal adalah lebih baik bagi mengelakkan risiko buta.

“Bila lambat buat pembedahan, mata kanak-kanak itu telah ada sindrom mata malas, jadi walaupun katarak itu sudah dibuang mata mereka tetap gagal melihat dengan jelas.

“Untuk pembedahan katarak kita ada tiga pilihan, pertama, dengan memasukkan kanta mata tiruan yang mempunyai keupayaan melihat seperti kuasa mata biasa bagi menggantikan kanta mata asli yang telah menjadi keruh.

“Pilihan kedua ialah menggunakan cermin mata bagi menggantikan fungsi kanta mata asal, tetapi biasanya cermin mata itu sangat tebal kerana mata telah tiada kanta.

“Pilihan ketiga pula, dengan menggunakan kanta sentuh. Kaedah ini lebih sesuai memandangkan bola mata serta kuasa pada kanta mata bayi berbeza dan akan berubah semasa bayi itu membesar. Kanta sentuh tersebut perlu ditukar mengikut perubahan kuasa mata bayi dan keperluan penglihatan mereka, menjadikannya ideal sementara menunggu  usia yang sesuai untuk memasukkan kanta tiruan,” jelasnya.

Begitu pu, jelas Dr. Saira Fairma, pilihan rawatan pertama iaitu pembedahan memasukkan kanta tiruan adalah paling disyorkan dan terbaik untuk kanak-kanak.Lazimnya katarak yang telah dibuang tidak akan berulang.

Tambah beliau, kanak-kanak yang telah menjalani pembedahan katarak perlu mendapat rawatan lanjut oleh pakar mata dari masa ke semasa bagi memastikan perkembangan mata mereka baik selepas melalui proses pembedahan.


Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa agar lebih peka kepada keadaan mata anak-anak bagi membolehkan katarak dikesan dengan lebih awal kerana pengesanan awal dapat menyelamatkan penglihatan anak mereka.

Ini kerana jelasnya, mengikut statistik, dalam 10,000 kelahiran, terdapat tiga hingga empat bayi di negara ini yang mungkin mengalami katarak yang berpotensi menyebabkan kebutaan.


“Kegagalan ibu bapa mengesan kehadiran katarak pada anak-anak mereka pada usia awal boleh menyebabkan mereka mengalami kebutaan.

“Justeru, ibu bapa perlu peka dengan anak-anak mereka kerana kelewatan mereka mengesan atau mendapatkan rawatan sangat merugikan kanak-kanak itu.

“Ramai beranggapan operasi pembedahan yang dilakukan ketika bayi berusia dua bulan membahayakan bayi berkenaan. Itu tidak benar sama sekali, sebaliknya adalah masa terbaik untuk pembedahan dilakukan memandangkan pada usia itu bayi mula mengenal dan meneroka, jika penglihatan mereka terganggu ketika usia itu, maka seluruh perkembangan otak mereka juga terjejas,” katanya.