heartbeat

Monday, February 22, 2010

Resipi Perkahwinan Bahagia

Terdapat banyak rahsia atau resipi untuk perkahwinan yang bahagia. Bagaimanapun di bawah dikongsikan tujuh saranan yang boleh diamalkan anda dalam mengekalkan keharmonian rumah tangga.

Cadangan ini memang ringkas dan boleh dibuat dengan mudah oleh mana-mana pasangan suami isteri. antara cadangannya adalah:-
 
1. Jika anda mahukan perkahwinan yang telah dibina bertahun-tahun kekal segar-bugar seperti hari pertama berkahwin, anda perlulah berusaha untuknya. Caranya ialah dengan meletakkan perkahwinan itu pada tempat utama. Berikan perhatian padanya dan selalu memperuntukkan masa untuk setiap perkara yang berkaitan rumah tangga. Tidak kiralah apa yang anda selalu katakan tentang rumah tangga anda yang penting sekali ialah bagaimana cara anda menanganinya.


Tip: Buat penilaian sejauh mana anda telah memberi komitmen terhadap perkahwinan anda. Adakah anda telah meluangkan masa dan tenaga yang sepatutnya demi keharmonian rumah tangga anda?


2. Fokuskan tentang perkara yang disukai tentang pasangan anda dan abaikan apa jua perkara yang tidak berkenan tentang dia. Jika berjaya melakukan ini maka anda telah mengelakkan banyak perkara negatif yang mungkin berlaku seperti adanya hubungan sulit, perselisihan faham antara suami isteri dan yang paling penting dapat mengelakkan penceraian. Jadi fokuskan yang positif dan buang tanggapan negatif jauh-jauh.


Tip: Jangan asyik mengkritik dan mencari kelemahan pasangan. Walaupun perkara tersebut terdetik jangan biarkan ia bersarang di hati. Bila anda mula memikirkan perkara baik tentang pasangan, ia sekali gus merangsang rumah tangga menjadi lebih bahagia.


3. Sifat baik hati amat penting dalam sesebuah rumah tangga. Maka, jadilah seorang yang baik. Menerusi kajian yang dilakukan kebanyakan suami atau isteri akan lebih melayan orang luar berbanding layanan terhadap ahli keluarga sendiri. Jika anda diberi pilihan untuk menjadi 'yang benar' atau 'yang baik' maka pilihlah untuk menjadi yang baik. Itu memang satu nasihat yang bagus.


Tip: Dalam minggu ini cuba buat sesuatu yang menggembirakan hati pasangan anda. Buat kejutan seperti belikan hadiah atau menyediakan makan malam istimewa. Pastikan hati anda ikhlas ketika melakukannya dan jangan pula harapkan balasan.


4. Bila pasangan membantu anda dalam sesuatu perkara walaupun nilainya tidak seberapa, berilah dia penghargaan. Cukup sekadar mengucapkan terima kasih atas bantuan tersebut yang telah meringankan beban anda. Jadikan sikap itu satu amalan dan jika ia sudah sebati dengan diri anda pasti rumah tangga akan dipenuhi keceriaan dan kegembiraan.


Tip: Lihat balik betapa pasangan anda itu bermakna dalam hidup anda. Cuba renung sesekali ke dalam mata mereka dan senyum. Anda boleh bermula dengan ayat-ayat penghargaan yang amat ringkas seperti 'saya suka senyuman awak' atau 'terima kasih atas hidangan makan malam yang lazat malam tadi.


5. Jika anda berhajat tentang sesuatu perkara jangan pendam dalam hati dan harapkan pasangan anda dapat 'membaca' isi hati anda. Jika perkara dimahukan tidak terjadi tentu anda berang, beritahu pasangan apa yang anda mahukan dengan cara berhemah dan jelas, Komunikasi yang baik memudahkan hubungan anda berjalan lancar. Jadi bercakaplah dan jangan harap pasangan anda boleh menjadi 'ahli nujum' pula.


Tip: Selalunya anda harapkan pasangan anda memahami apa hajat anda tanpa perlu mengatakannya? Tidak kira lelaki atau wanita masing-masing mengharapkan pasangan berlaku romantis dan mengidamkan masa berdua-duaan. Tidak kurang juga yang mengharapkan pasangan membantu dalam urusan kerja rumah. Senang saja, cakaplah pada pasangan apa yang anda mahukan.


6. Buang sifat suka menghukum atau mempertahankan diri secara perlahan-lahan. Lapangkan hati menerima pendapat pasangan anda dan itu tidak bermakna anda tidak mempunyai pendirian sendiri. Tidak bermakna juga jika anda tidak menyangkal maka anda salah sebab dalam hubungan suami isteri ini memang perlu selalu bertolak ansur terutama untuk mengekalkan kasih sayang antara satu sama lain. Tidak rugi mengalah kerana dialah insan yang anda mahukan berada di sisi anda seumur hidup bukan?


Tip: Pilih satu sifat pasangan anda yang selalu membuatkan anda marah. Bila anda dan pasangan berdebat tentang perkara tersebut cuba dengar sahaja dan jangan berfikir tentangnya walaupun dalam hati. Cuba tengok apa hasilnya?


7. Buka hati anda seikhlas-ikhlasnya untuk pasangan anda. Kebanyakan daripada kita yang telah bertahun-tahun berumah tangga masih membatasi kasih sayang sepenuhnya buat pasangan. Jika anda mahukan rumah tangga yang harmoni dan sentiasa bersemarak bahagia, cubalah ambil risiko tersebut dan jangan fikirkan tentang perkara negatif.


Tip: Buangkan sifat buruk sangka. Memang konflik sesekali akan tercetus tapi jika anda pandai mengawal diri dan yakin pasangan anda juga patut diberi peluang maka runtuhkanlah tembok keegoaan itu. Pasti rumah tangga anda akan kekal harmoni hingga ke akhir hayat.

:: Source:- Utusan Online ::

Friday, February 5, 2010

Cipta saat saat romantis bersama pasangan anda

Luang masa
Menonton rancangan kegemaran bersama, berkelah, bercerita di kamar sebelum tidur, duduk berdua di rumah dan mandi bersama adalah antara masa yang boleh digunakan pasangan suami isteri untuk mencipta suasana romantis.
Selain itu, cara meluah perasaan atau berbincang ketika berdua-duaan juga boleh menghasilkan suasana romantis.


Lafaz cinta
Pasangan yang saling mencintai akan selalu memberikan pujian yang sesuai baik dalam bentuk kata-kata mahupun perbuatan.
Lantas, ucapkanlah perkataan-perkataan cinta, sayang atau rindu dalam nada yang berbeza daripada percakapan biasa ketika bersama.
Lafazkan kata-kata sayang sebagai satu panggilan harian, semasa melakukan hubungan seks atau sebelum anda masuk tidur.


Kejutan
Dengan lambakan kerja di pejabat kebanyakan kita menjalani kehidupan harian yang rutin dan adakalanya ia membosankan.
Tidak ada undang-undang yang menghalang kita daripada membuat kejutan atau memberikan sesuatu yang istimewa kepada pasangan pada hari-hari biasa. Ingatan anda kepada si dia pada masa-masa yang tidak dijangka akan mencetuskan rasa sayang yang menebal di hati.
Sesekali buat kejutan kepada pasangan anda. Lakukan perkara yang jarang dilakukan. Seperti pemberian hadiah, memasak atau membawa pasangan bercuti.


Tarikh penting
Wanita biasanya peka terhadap tarikh penting dalam hidup mereka. Jika anda dapati tiba-tiba isteri memakai pakaian cantik dan menyedia makanan istimewa ketika pulang dari kerja, cuba segera ingat tarikh itu.
Kemungkinan hari itu adalah hari istimewa bagi anda berdua. Mungkin wanita tidak akan memberitahu, sebaliknya dia berharap agar anda sentiasa mengingatinya


Masa berdua
Pastikan anda menyediakan masa untuk anda berdua sahaja. Jika ada anak-anak atau ahli keluarga yang tinggal bersama, beritahu kepada keluarga bahawa anda ingin masa berdua.
Jika ada anak kecil pula, tinggalkan sebentar anak dengan keluarga sementara anda berdua menghabiskan masa bersama
Jika ada kemampuan dari segi kewangan luangkan cuti berdua tanpa kehadiran anak-anak atau kawan-kawan.

Lima fakta tentang kesihatan

Manfaat mengunyah gula-gula
Pernahkah kita sedar bahawa tabiat mengunyah gula-gula getah sebenarnya baik untuk kesihatan? Bekas Presiden Persatuan Pergigian Pediatrik Amerika, Dr. Stephen J. Moss berkata, terdapat pelbagai manfaat apabila aliran air liur menerusi kunyahan.


"Mengunyah gula-gula getah adalah cara mudah dan paling menarik untuk mengaktifkan aliran air liur. Terdapat pelbagai laporan yang menyokong manfaat mengunyah gula-gula getah. "Antaranya termasuk membantu membersihkan gigi, mengurangkan plak, mengukuhkan enamel gigi, mencegah kerosakan gigi, gingivitis dan pendarahan gusi," katanya.


Malah, beberapa pengeluar gula-gula getah terbesar seperti Wrigley dan Cadbury turut mendakwa kunyahan produk itu boleh memberi pelbagai manfaat kesihatan secara menyeluruh. Ini termasuk memperbaiki memori jangka pendek, mempertingkatkan daya konsentrasi dan mood serta berguna dalam mengawal berat badan serta menghentikan tabiat merokok.


Asid perfluoro oktanoik sebabkan tiroid
Sejenis bahan kimia yang digunakan untuk membuat lapisan tidak lekat pada periuk bertangkai, asid perfluoro oktanoik (PFOA) telah dikaitkan dengan masalah tiroid dalam kalangan orang dewasa.


Para saintis mendapati 25 peratus daripada sejumlah 4,000 orang dewasa di Amerika Syarikat (AS) yang memiliki paras PFOA tertinggi dalam darah adalah dua kali ganda lebih berisiko memperoleh masalah tiroid.


PFOA yang telah dihasilkan sejak lima dekad lalu banyak digunakan dalam pembuatan pelbagai bahan termasuk fabrik dan permaidani. Ia dipercayai memasuki tubuh menerusi diet atau melalui habuk yang disedut masuk ke dalam paru-paru.


Kajian ke atas haiwan mendapati bahan kimia tersebut berpotensi menjejaskan fungsi tiroid yang sememangnya penting untuk mengekalkan kadar degupan jantung. Selain itu, ia juga membantu menyelaraskan suhu tubuh dan menyokong fungsi-fungsi tubuh yang lain.


Hati-hati ambil herba Cina
Asid aristolochic yang bersifat karsinogen dan biasa ditemui dalam kebanyakan produk herba Cina termasuk Guan Mu Tong mungkin berpotensi meningkatkan risiko kanser saluran kencing.


Di kebanyakan negara seperti Taiwan, produk-produk yang mengandungi asid aristolochic telah diharamkan sejak tahun 2003.


Seorang saintis, Jung-Der Wang dari Institut Kebersihan Industrial dan Perubatan Pekerjaan, Universiti Taiwan Nasional telah menjalankan satu kajian ke atas pesakit yang baru didiagnosis dengan kanser saluran kencing. Kajian tersebut berlangsung dari 1 Januari 2001 sehingga 31 Disember 2002.


“Selain pengharaman produk yang mengandungi kandungan asid aristolochic, kami turut mengesyorkan agar pengguna berwaspada kepada produk-produk herba Cina lain. Produk-produk ini juga mungkin telah dicampurkan dengan herba lain yang mengandungi asid tersebut,” katanya.


Pesakit yang mempunyai sejarah menghidap nefropati asid aristolochic atau mengambil Mu Tong sebelum produk tersebut diharamkan disarankan menjalani pemantauan kanser saluran kencing secara kerap.


Vaksin mencegah rotavirus
Satu kempen vaksinasi yang dijalankan untuk mengatasi masalah rotavirus di negara-negara paling daif di dunia berkemungkinan mampu menyelamatkan jutaan nyawa kanak-kanak.


Setiap tahun, lebih daripada setengah juta bayi dan kanak-kanak terkorban akibat jangkitan rotavirus. Ia turut menjadi punca utama masalah cirit-birit serius dalam kalangan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah.


Beberapa kajian baru-baru ini mendapati pelaksanaan kempen-kempen vaksinasi di Malawi dan Afrika Selatan telah berjaya mengurangkan kadar jangkitan rotavirus sebanyak 61.2 peratus pada tahun pertama kehidupan.


Di negara-negara perindustrian pula, vaksin adalah sebahagian daripada protokol imunisasi pediatrik standard.


Seorang profesor kesihatan dari Universiti John Hopkins, Mathuram Santosham berkata, vaksin rotavirus seharusnya secepat mungkin diperkenalkan di kawasan yang mengalami kes maut yang tinggi. “Ia perlu digunakan sebagai perangsang bagi mengukuhkan program-program pengawalan cirit-birit dan memperbaiki kaedah rawatan lain yang terbukti berkesan untuk cirit-birit,” katanya.


Tidak cukup vitamin D risiko hidap riket
Pengambilan diet dan vitamin D yang tidak mencukupi dikhuatiri menyumbang kepada kehadiran semula penyakit riket dalam kalangan masyarakat negara membangun. Ini berpunca daripada kecenderungan generasi muda masa kini yang lebih suka menghabiskan masa di rumah bermain permainan komputer.


Penyakit riket sudah dihapuskan sepenuhnya di negara-negara membangun sejak awal 1900-an. Ia merupakan satu masalah yang mengakibatkan tulang orang muda menjadi lemah dan cacat.


Menurut profesor endokrinologi, Simon HS Pearce, kekurangan vitamin telah dikaitkan dengan kejadian penyakit kardiovaskular, diabetes, penyakit autoimun dan pelbagai jenis kanser.


Kebanyakan susu yang dikeluarkan di Amerika Syarikat telah diperkayakan dengan vitamin D. Tetapi, pengamal-pengamal perubatan berkata, kandungan vitamin D yang diperlukan oleh kanak-kanak adalah dua kali ganda daripada amaun yang diambil sekarang.


Selain memperoleh vitamin D daripada matahari, kanak-kanak boleh mencuba suplemen alternatif seperti minyak hati ikan kod, tuna, keju dan kuning telur.

Psikologi putus cinta

Apakah cara anda berdepan dengan hubungan goyah yang sedang menanti belah? Adakah anda memutuskan hubungan, bersuara untuk membetulkan keadaan, terus setia atau mengabaikannya begitu sahaja?

Lewat kebelakangan ini kisah putus cinta selebriti tempatan dan antarabangsa semakin banyak disiarkan dan diperkatakan media. Dengan ikrar janji, pampasan wang ringgit dan naik turun mahkamah kisah cinta selebriti menjadi sensasi sehingga adakala kelihatan begitu dramatik.

Pada kaca mata umum kisah permasalahan cinta kelihatan remeh, kebudak-budakan serta tidak matang malah, dipandang serong kerana ada perkara yang lebih penting daripada kisah basa basi cinta dan putus cinta.

Tetapi kepada mereka yang sedang atau pernah melalui episod putus cinta mengakui kesakitan psikologikal yang terpaksa ditanggung begitu berat. Kesan putus cinta begitu mendalam sehingga boleh melumpuhkan diri menyebabkan seseorang tidak berdaya, putus asa dan tidak berupaya berdepan dengan realiti. Ia mempengaruhi diri dalam perhubungan interpersonal pada masa hadapan. Tempoh merawat dan memulih diri kesan putus cinta tidak dapat dijangkakan.

Baik di kalangan selebriti mahu pun individu biasa yang pernah melalui detik kesukaran putus cinta, ia bukan sesuatu yang mudah dikendalikan. Emosi membelenggu dan menghimpit. Fikiran bercelaru, kebingungan, tidak keruan adalah reaksi-reaksi psikologikal pemikiran dan emosional menjadikan konflik intrapersonal putus cinta membebankan.

Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan putus cinta. Antaranya ketidaksamaan status, kurang mahu berkongsi serta ketiadaan individu terdekat yang boleh menyatukan semula keintiman antara pasangan yang sedang bersengketa. Kecurangan juga adalah punca lain yang membawa kepada episod putus cinta.

Pakar psikologi, Rusbult mengenalpasti empat gerak balas dalam bentuk reaksi-reaksi psikologikal kesan putus cinta:-

Pertama, keluar daripada perhubungan yang merujuk kepada tindakan menarik diri atau mengancam untuk tidak meneruskan perhubungan percintaan yang dijalin.

Pada pasangan yang mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama, maka tiada lagi pertemuan-pertemuan istimewa yang biasa dilakukan bersama. Status kekasih atau kawan istimewa bertukar kepada kawan biasa.
Keluar daripada perhubungan adalah tindakan aktif yang pada masa sama bersifat distruktif. Ini kerana adakala ia disusuli dengan tindakan-tindakan di luar jangkaan yang memburukkan lagi suasana dalam diri dan status perhubungan. Emosi menguasai tindakan dan perilaku. Sifat yang tidak disedari muncul dalam keadaan tidak sedar atau kurang disedari.

Kedua, bersuara di mana pasangan di ambang perpisahan bersuara dengan membuat perbincangan, cuba berkompromi, menghadiri sesi kaunseling atau terapi dalam usaha mengubah pasangan. Bersuara tidak bermaksud meluahkan secara lisan apa yang berlaku tetapi bersuara melibatkan reaksi-reaksi aktif positif yang membina.

Ketiga, kesetiaan untuk terus bersama dengan pasangan walaupun menyedari wujudnya masalah dalam perhubungan intim. Mereka yang tidak setia sebenarnya tidak cuba menyelesaikan masalah yang melanda perhubungan tetapi lebih kepada percubaan untuk terus bertahan mengharungi pergolakan perhubungan percintaan mahupun perkahwinan.

Mereka yang menganggap diri setia mempercayai keadaan akan berubah dengan berlalunya masa. Mereka menekankan kepentingan dengan meyakinkan diri untuk terus kekal bersama. Kesetiaan dari sudut psikologi adalah sesuatu yang pasif tetapi bersifat konstruktif.

Keempat, pengabaian di mana keengganan untuk bersama mengendali, mengurus permasalahan yang sedang memporak-perandakan perhubungan percintaan. Lantas, seseorang itu lebih rela membiarkan perhubungan dibubarkan saja.

Tindakan mengabai, ditunjukkan dalam bentuk tindakan seperti tidak mempedulikan pasangan, mengurangkan masa bersama, tidak mahu membincangkan masalah sebenar, melayan pasangan dengan cara yang tidak sesuai, tidak wajar atas desakan emosional, mengkritik pasangan dengan perkara-perkara yang tidak ada kena mengena dengan masalah sebenar.

Pada yang tidak arif dalam mengendalikan putus cinta ia bagaikan luka bengkak yang menjadi nanah, secara kronik merungut, tidak puas hati tidak mahu berusaha, berikhtiar mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan sebenar dalam perhubungan percintaan. Pengabaian yang bersifat pasif dan distruktif ini memburukkan lagi keadaan.

Perlu diingati keempat-empat reaksi-reaksi emosional serta tindakan psikologikal akibat putus cinta sebagaimana yang dijelaskan di atas berlaku dalam keadaan yang berbeza antara individu. Perbezaan ini dipengaruhi oleh personaliti, latar belakang, jangka masa perhubungan percintaan, tahap pendidikan dan corak rangkaian pergaulan yang membentuk mentaliti menghadapi.

Mereka yang bertindak untuk keluar daripada perhubungan cinta mempercayai tiada apa yang perlu ditakuti dengan bertindak sedemikian dan percaya perhubungan tidak perlu diselamatkan.
Bersuara juga adalah tindak balas yang bersesuaian apabila perhubungan yang dijalin dihargai tetapi berada dalam status bahaya.

Kesetiaan dilakukan dalam usaha untuk mengekalkan status quo. Mereka yang berpuas hati dan banyak melabur dalam perhubungan percintaan sebelum berbalah mempercayai masalah perhubungan yang dialami secara relatifnya kecil lantas berkemungkinan untuk terus setia.

Pengabaian adalah tindakan distruktif yang menghancurkan perhubungan yang kerap dilakukan oleh mereka yang tidak tahu bagaimana lagi untuk memperbaiki perhubungan yang goyah.

Kajian Choo, Levine & Hatfield (1996) mendapati perempuan lebih banyak menyalahkan lelaki bila putus cinta sementara lelaki menyibukkan diri dengan kerjaya atau melibatkan diri dalam aktiviti sukan.

Sememangnya putus cinta dalam perhubungan interpersonal adalah suatu pengalaman menyakitkan. Keperitan psikologikal putus cinta adakalanya tidak tertanggung. Namun perlu disedari dalam kemelut permasalahan putus cinta ada kemanisannya tetapi kebijaksanaan mengatasi segalanya

Bagaimana menghadapi kerenah degil si kecil anda

Degil adalah tanda si kecil sudah membina identitinya sendiri, selain berasa dirinya sudah berada dalam zon selamat.

Anak anda enggan makan bersama apabila diajak? Kalau diminta mengemas barang permainannya, dia hanya berdiam diri atau cuba mengelak. Mungkin juga si kecil itu sengaja membuat bising apabila si adik sedang tidur atau akan lari ketika disuruh mandi.

Anda yang mempunyai anak kecil mungkin sudah biasa menghadapi situasi seperti ini. Siapa sangka dalam usia sementah itu, si comel ini sudah mula mengaplikasi soal pendirian dan kemahuannya.

Percaya atau tidak, anak yang berusia tiga tahun ke atas berasa kurang bergantung pada anda. Itu adalah tanda bahawa dia sudah membina identitinya sendiri selain berasa dirinya sudah dalam zon selamat. Namun, itu bukan bermakna dia menjadi pemberontak.

Berdegil adalah cara bagi anak kecil itu menunjukkan ketegasannya. Jadi, apabila dia menolak untuk bekerjasama dengan anda, dia sebenarnya cuba memberitahu, 'saya tidak sukakan peraturan mama'. Maka, apakah yang perlu anda lakukan?

Menurut jurnal Adolescent Child Specialty Services yang ditulis oleh Rebecca S. Blakeman, setiap kanak-kanak akan menunjukkan kemerdekaan diri melalui cara yang tidak sepatutnya dari semasa ke semasa. Meskipun begitu, adalah sangat penting bagi ibu bapa itu memahami situasi anak tersebut.
Ibu bapa tidak harus berleter apabila tidak berasa senang dengan kelakuan anak-anak. Ia sebaliknya akan membuatkan sikap anak menjadi lebih buruk.

Jurnal Rebecca itu meminta ibu bapa cuba memahami kehendak anak mereka. Dalam situasi anda memintanya makan namun dia menjerit tidak mahu, usah dipaksa lagi. Paksaan hanya akan membuatkan dia menangis atau menunjukkan kemarahan.

Maka, cuba letakkan diri anda di tempatnya. Jika anak sibuk bermain, hampiri dia dan dakap si kecil itu sambil memberitahunya mengapa perlu makan. Itu adalah langkah pujukan psikologi.

Tanpa disedari, anda sebenarnya menunjukkan bahasa tubuh dan ucapan yang membuatkan dia sedar dirinya diambil berat. Tanpa perlu memarahinya, tunjukkan betapa anda hendak ambil tahu mengapa dia tidak mahu makan.

Walau apapun yang dilakukannya, pastikan anak anda tahu bahawa semua perkara ada hadnya. Pendirian mereka mudah dilentur apabila anda menyatakan bahawa anda menyayanginya dan setiap yang disuruh itu adalah untuk kebaikannya.

Memberi pilihan adalah cara terbaik untuk si anak mematuhi sesuatu peraturan. Jika dia ada masalah mengikuti sesuatu permintaan atau suruhan, fikirkan alternatif untuk mencari penyelesaiannya.

Contohnya, jika anak kecil sering 'meragam' gara-gara tidak mahu tidur dalam gelap, berikannya lampu suluh atau pasangkan lampu yang bercahaya suram. Di situ, aspek tolak ansur sudah terbina antara ibu bapa dengan si anak tersebut.

Orang dewasa perlu sentiasa menunjukkan sikap yang baik. Selain memberi perhatian ketika dia menunjukkan kenakalan atau kedegilan, anak kecil perlu sentiasa didekati dan dilayani semasa dia sedang dalam keadaan 'angin baik' atau mengikut kata.

Beritahu anak-anak tentang apa yang betul atau tidak betul. Selalunya apabila si anak membuat kesalahan, dia pasti akan rasa bersalah.

Oleh itu, jangan cepat marah. Sebaliknya, cakaplah secara baik dan terangkan kepadanya mengapa anda tidak mahu kesalahan itu diulanginya.

Source:Kosmo Online