heartbeat

Showing posts with label petua. Show all posts
Showing posts with label petua. Show all posts

Friday, June 10, 2016

Khasiat Air Nabeez

Assalamualaikum..

Lama tak bersiaran. Kekangan waktu tu membuatkan terlepas pandang blog ku ini..

Sempena Ramadan Al Mubarak ini, nak share sesuatu yang bagus untuk di amalkan, tak kira bulan puasa mahupun bukan bulan puasa. Amalan meminum air ini boleh untuk elak angin, gastrik, reflux dalam badan kita. 

Jom tengok resepi buat air Nabeez. Air nabeez adalah pemakanan Nabi Muhammad SAW. 

Rendam kurma dengan air masak pada waktu malam sebelum tidur, boleh diminum waktu sahur. Air Nabeez ni bagus untuk minum sekali minum, jangan simpan lama, nanti masam.

Caranya:-
1. Ambil kurma dalam bilangan ganjil. Anggaran air dlm 500ml ke 1liter. Ambil kurma dalam bilangan ganjil tu dan buang bijinya. Carik2 isi kurma. Ada juga yg guna kismis tapi jangan campur ye. (Kalau buat kurma, kurma aje. Kalau kismis, kismis aje)

2. Rendam isi kurma dalam air masak biasa malam sebelum tidur. Letak di luar sahaja. Tak perlu simpan dalam peti sejuk tau. Tutup bekas air tu jangan biarkan terbuka.

3. Sahur esok air tu dah boleh diminum.

Selain daritu...

Air ni boleh juga diamalkan sebelum sarapan pagi bila hari hari lain walaupun bukan di bulan Ramadan. Amalkan masa perut kosong.


Friday, May 16, 2014

Pelbagai Kegunaan Soda Bikarbonat

Error matching blog to blogger entry. If you are the owner of this blog, please check that there is no typo in your blog address and that you have pasted the code from the Add Ads page correctly (file:///var/mobile/Applications/3F7EDC49-3C6E-464A-A740-9BB5CB0A9827/Documents/Blogger/)

Assalamualaikum..

Soda bikarbonat... selain digunakan dalam masakan boleh digunakan untuk pelbagai perkara lain okey...

Meh baca petikan dari Utusan Online ni.. Baguslah untuk kita semua yang mencari bahan yang berpatutan untuk kecantikkan....


Rawatan rambut

Bagi sesiapa yang mempunyai masalah rambut berminyak, boleh mencuba petua ini.

Ambil satu sudu soda bikarbonat dan campurkan ke dalam botol syampu kamu. Kamu juga boleh menaburkan sedikit serbuk itu pada rambut kering bagi mempertahankan kemilau rambut.

Serbuk putih itu juga membantu menghilangkan klorin pada rambut,
selain menghilangkan pigmentasi yang disebabkan oleh kandungan klorin di dalam air.

Pemutih gigi

Untuk mendapatkan gigi putih tanpa perlu membelanjakan sejumlah wang yang besar, kamu boleh mencampurkan satu sudu kecil soda bikarbonat bersama sedikit garam dan air, kemudian gaulkan sehingga menjadi seperti pes gigi.

Pes ini boleh disimpan selama beberapa hari. Selain digunakan untuk memutihkan gigi, ia juga berkesan untuk menyingkirkan bau mulut.

Deodoran

Soda bikarbonat juga berfungsi sebagai bahan antiseptik. Bagi kamu yang mengalami masalah berpeluh serta bau badan yang tidak menyenangkan, bahan ini memberikan rasa kering sepanjang hari.

Pastikan bawah lengan kamu dalam keadaan kering, kemudian sapukan soda bikarbonat dengan menggunakan kapas muka lembab. Lap perlahan-lahan pada satu arah sehingga kering. Akhir sekali, pakai pakaian anda seperti biasa tanpa perlu membilas soda bikarbonat itu.

Rawatan kaki

Kaki yang kering dan kusam ditambah lagi dengan tumit kaki pecah membuatkan kamu berasa tidak selesa, lebih-lebih lagi bagi kaum wanita.

Oleh itu, untuk mendapatkan kaki yang cantik, rendamkan kaki kamu di dalam air suam yang dicampur dengan soda bikarbonat. Rawatan ini membantu mengurangkan tumit retak dan kegatalan pada kaki.

Soda bikarbonat merupakan salah satu ramuan yang digunakan untuk membuat kek dan kuih muih. Selain menjadi salah satu ramuan dalam masakan, serbuk berwarna putih itu juga mempunyai pelbagai kebaikan lain khusus untuk kecantikan.

Tambahan pula, soda bikarbonat mudah didapati di pasar raya, selain dijual pada harga yang murah.
Mari kita lihat beberapa petua yang boleh dicetuskan oleh salah satu ramuan penting bagi membuat kek ini. - FATIEHAH


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20140510/kn_01/Ajaibnya-soda-bikarbonat#ixzz31sxhwmne
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Monday, February 17, 2014

Kunyit: Ubat sebelum sakit

Error matching blog to blogger entry. If you are the owner of this blog, please check that there is no typo in your blog address and that you have pasted the code from the Add Ads page correctly (file:///var/mobile/Applications/3F7EDC49-3C6E-464A-A740-9BB5CB0A9827/Documents/Blogger/)

Assalamualaikum...


Khasiat KUNYIT.. banyak khasiat daripada kunyit ini tau... Nak tahu ape yang berkhasiat sangat tu, kita kene la baca artikel dari Utusan Online ni ha.. Jomssss...

Kita sering mengambil mudah tentang kehebatan kunyit. Mungkin kerana kunyit hanya dikenali dan ditemui di dapur. Namun bahan yang digunakan nenek moyang kita kini mendapat perhatian yang serius daripada pakar-pakar dan hospital ternama di Amerika dan Eropah. Kehebatan herba ini terletak kepada ekstrak pigmen yang menjadikan kunyit kelihatan kuning. Pigmen yang begitu besar khasiatnya dan berupaya mengubati pelbagai jenis penyakit dikenali sebagai curcumin.
Khasiat curcumin
Curcumin ialah antara bahan penyembuh terbaik dalam perubatan tradisional dan moden. Sebiji pil daripada ekstrak curcumin ini seolah-olah mengambil 20 sudu teh serbuk kunyit yang terdapat di setiap dapur. Pakar perubatan Pusat Kanser Texas mendapati curcumin mempunyai keupayaan anti oksida yang meneutralkan radikal bebas yang menjadi akar umbi kepada penyakit kanser. Radikal bebas ialah bahan kimia yang meresap ke dalam darah dan merosakkan sel-sel di dalam badan. Menurut salah seorang pasukan penyelidik ini, Dr. Thomas Evans, curcumin mengandungi komponen bioaktif polifenol yang membantu mencegah tanda-tanda awal kanser.
Anti radang
Selain kanser, curcumin juga baik untuk melawan radang yang menyebabkan bengkak, angin, sakit-sakit sendi dan sengal badan. Curcumin ialah bahan utama yang meringankan beban kesakitan. Dalam kajian ke atas para pesakit artritis di Eropah, pakar perubatan mendapati khasiat curcumin boleh dibandingkan dengan ubat-ubatan tahan sakit moden seperti phenylbutazone. Malah didapati para penghidap artritis merasakan kekurangan sakit pada waktu pagi, mampu berjalan dengan lebih lama dan bengkak berkurangan. Selain itu, curcumin juga membantu mengurangkan risiko serangan jantung dan strok.
Teh hijau
Salah satu lagi herba tradisional yang turut mendapat perhatian masyarakat dunia ialah teh hijau. Teh hijau ialah daun teh yang masih hijau dan belum diproses untuk dijadikan serbuk minuman. Daun teh hijau
kaya dengan pelbagai komponen aktif baik terutamanya polifenol baik untuk kesihatan dan kecantikan. Lagi hijau daun teh itu, lagi tinggi kandungan polifenolnya. Menurut pakar nutris di Boston Amerika, Dr. Beth Reardon, teh hijau turut mengandungi bahan aktif Catechins yang mencegah kerosakan sel-sel di dalam badan.
Untuk jantung, kencing manis dan otak
Teh hijau juga turut dipercayai melancarkan peredaran darah dan menurunkan kadar kolesterol. Malah ia kini menjadi saranan kepada mereka yang menghidap penyakit berkaitan jantung dan tekanan darah tinggi. Teh hijau juga baik untuk otak. Satu kajian MRI di Switzerland membuktikan mereka yang mengamalkan pengambilan teh hijau setiap hari berjaya meningkatkan tahap memori dan menghalang pembentukan plag yang menjadi punya kepada penyakit Alzheimer. Menurut Dr. Reardon, teh hijau juga boleh diambil oleh penghidap kencing manis bagi menstabilkan paras gula dalam darah.
Ubat sebelum sakit
Kombinasi curcumin yang diekstrak dari kunyit dan teh hijau merupakan kombinasi terbaik bagi melawan dan mencegah pelbagai jenis penyakit dengan mudah. Tidak terhad untuk mereka yang ingin mengatasi masalah kesihatan, curcumin dan teh hijau harus dijadikan amalan harian untuk menguatkan sistem imunisasi badan dan mengurangkan kerosakan sel-sel badan. Pendek kata, kombinasi ini adalah seumpama ubat untuk sebelum sakit.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20140216/kn_02/Kunyit-Ubat-sebelum-sakit#ixzz2tYFVBa13
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Tuesday, December 3, 2013

Atasi Masalah Perut Buncit

Error matching blog to blogger entry. If you are the owner of this blog, please check that there is no typo in your blog address and that you have pasted the code from the Add Ads page correctly (file:///var/mobile/Applications/3F7EDC49-3C6E-464A-A740-9BB5CB0A9827/Documents/Blogger/)

Assalamualaikum

Perut Buncit.. satu masalah yang sangat ditakuti oleh kaum wanita kan..... Ha, ni ada artikel menarik untuk di kongsi bersama.. Bolehlah kita amalkan bersama-sama ye...


KENAIKAN berat badan selalunya berpunca daripada bahan buangan yang terkumpul di dalam usus besar. 

Pakar pemakanan berpendapat individu yang memiliki usus besar akan menghadapi masalah untuk menyerap khasiat daripada makanan yang diambil. Ini menyebabkan mereka cenderung untuk makan lebih daripada sepatutnya.

Makan lebih banyak serat. Anda mungkin pernah mendengar sebelum ini. Tetapi adakah anda tahu mengapa serat begitu penting untuk kesihatan anda?

Serat boleh diperoleh daripada buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan kekacang. Makanan yang mengandungi serat boleh mengatasi sembelit, membantu mengekalkan berat badan yang sihat dan mengurangkan risiko penyakit kencing manis serta penyakit jantung.

Memilih makanan lazat yang menyediakan serat sebenarnya tidak sukar. Anda hanya perlu mengetahui berapa banyak serat yang anda perlukan, makanan apa yang mengandungi serat dan bagaimana untuk menambah serat dalam makanan seharian dan makanan ringan.

Apakah itu serat?Serat juga dikenali sebagai pelawas atau pukal termasuk semua bahagian makanan pada tumbuhan yang badan anda tidak boleh mencerna atau menyerap. Tidak seperti komponen makanan lain seperti lemak, protein atau karbohidrat, badan anda mampu memecahkan dan menyerap serat yang tidak dicerna oleh badan anda. Ia juga melepasi melalui perut, usus kecil, kolon dan keluar dari tubuh anda.

Kelebihan Diet tinggi serat mempunyai banyak manfaat, termasuk:

Menormalkan pergerakan usus

Serat meningkatkan berat dan saiz najis anda selain melembutkannya. Najis besar adalah lebih mudah untuk lulus lalu mengurangkan peluang untuk sembelit. Jika anda mempunyai najis longgar, berair, serat juga boleh membantu mengukuhkan najis kerana ia menyerap air dan menambah pukal kepada najis.

Membantu mengekalkan kesihatan usus

Diet tinggi serat boleh mengurangkan risiko untuk mendapat buasir dan kantung kecil di usus anda (penyakit diverticular ).

Merendahkan tahap kolesterol

Serat larut terdapat dalam kacang, oat, flaxseed dan oat bran boleh membantu jumlah paras kolesterol darah yang lebih rendah dengan mengurangkan lipo protein berketumpatan rendah atau " buruk," paras kolesterol. 

Kajian juga menunjukkan bahawa serat membantu mengurangkan tekanan darah dan keradangan.

Membantu mengawal tahap gula dalam darah

Bagi mereka yang menghidapi penyakit kencing manis, serat larut boleh melambatkan penyerapan gula dan membantu meningkatkan tahap gula dalam darah. Diet sihat yang merangkumi serat larut juga boleh mengurangkan risiko untuk mendapat diabetes jenis 2.

Membantu dalam mencapai berat badan yang sihat

Makanan tinggi serat biasanya memerlukan lebih banyak masa untuk dikunyah, yang memberi masa badan anda untuk mendaftar apabila anda tidak lagi lapar, jadi anda kurang cenderung untuk makan terlalu banyak. 

Selain itu, makanan yang tinggi serat cenderung membuat makanan berasa lebih padat dan kenyang yang berpanjangan, jadi perut anda akan rasa penuh bagi masa lebih lama.

Diet tinggi serat juga cenderung untuk menjadi kurang "tenaga padat" bermakna mereka yang mengamalkannya mempunyai kurang kalori walaupun jumlah makanan diambil sama dengan orang lain.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20131124/kn_01/Atasi-masalah-perut-buncit#ixzz2mOhTgWt0
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Monday, February 4, 2013

11 keajaiban tomato


11 keajaiban tomato

AMALAN memakan tomato sejak usia muda memberi banyak kebaikan. - Gambar hiasan

LUPAKAN sejenak produk kecantikan yang anda gunakan dan kembali kepada cara klasik. Sesekali tidak salah bereksperimen dengan bahan semula jadi untuk tujuan kecantikan.

Kali ini, kami bawakan anda mengenali 11 kelebihan buah tomato yang boleh digunakan dalam rejim kecantikan harian anda.

1Gunakan jus tomato bagi mengecilkan liang pori-pori kulit wajah. Gabungkan dua hingga empat titis jus lemon bersama satu sudu jus tomato. Sapukan ia pada wajah dan biarkan selama 15 minit. Kemudian, bilas menggunakan air suam.

2 Lenyek tomato dan sapukannya pada keseluruhan wajah dengan rata. Biarkan ia selama satu jam sebelum dibilas. Akhiri proses tersebut dengan menggunakan pelembap. Jerawat akan dapat dikurangkan menerusi penggunaan yang berterusan. Tomato memiliki fungsi penyejuk bagi melicinkan kulit dan menyerap minyak berlebihan pada wajah.

3Potong separuh tomato dan sapukan ia pada bintik gelap. Bilas dan sapukan pelembap. Menyapu hirisan tomato pada bintik gelap merupakan antara penawar mujarab bagi menghilangkan bintik yang tidak dikehendaki itu.

4Ambil jus tomato dan kisarkan ia bersama jus timun. Selepas itu, celup segumpal kapas di dalam adunan jus tadi dan sapukan pada wajah setiap hari. Cara tersebut mampu mengawal penghasilan minyak pada wajah dan mengekang pertumbuhan jerawat.

5Campurkan dua sudu jus tomato bersama empat sudu susu mentega dan sapukannya pada kulit anda kemudian bilas selepas 30 minit. Cuba langkah ini di rumah bagi menyembuhkan kulit akibat selaran matahari. Difahamkan, likopena yang ditemui dalam tomato mampu melindungi kulit daripada sinaran ultraungu.

6 Sekiranya kulit anda kasar dan kusam, tomato dan topeng yogurt mampu menjadi penyelamat bagi masalah tersebut. Sapukan jus tomato yang dicampur dengan yogurt pada kulit dan bilas selepas 20 minit menggunakan air suam. Yogurt menjadikan kulit berseri secara sihat dan meningkatkan kandungan protein pada kulit manakala tomato meneutralkan permukaan kulit sambil menyejukkannya.

7Sapu jus tomato bersama madu pada wajah dan biarkan ia kering selama 15 minit sebelum dibilas. Penawar yang boleh dibuat di rumah itu sangat berkesan untuk mencerahkan kulit. Tomato kaya dengan vitamin A dan C yang dapat membantu mencerahkan kulit yang kusam.

8Makan tomato pada waktu pagi bagi menyingkirkan lemak pada badan yang tidak diingini. Anda juga boleh meminum jus tomato dua kali sehari bagi menurunkan berat badan. Minum jus tersebut 10 minit sebelum makan untuk mengurangkan selera. Ia sangat berkesan kerana ia menghentikan proses penapaian di dalam usus. Semasa proses penapaian, gula dan alkohol dihasilkan di dalam badan dan mendorong kenaikan berat badan.

9Lumurkan jus atau hirisan tomato pada rambut anda bagi meningkatkan nilai neutral pH pada rambut dan mengembalikan warna natural rambut. Tomato merupakan pelembap semula jadi yang memberikan kilauan natural pada rambut.

10Sapukan isi tomato pada kulit kepala yang mempunyai masalah kelemumur selama 30 minit dan kemudian bilas dengan syampu bagi merawat kelemumur tersebut.

11Campurkan jus tomato bersama avokado bagi menjadikan topeng yang sesuai untuk kulit pelbagai jenis. Sifat hidrasi dan antiseptik avokado bersama gabungan astringen tomato amat efektif untuk menyerikan kulit.

Sumber:-
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Stailo&pg=st_03.htm#ixzz2JveTl6ez
Hakcipta terpelihara

Thursday, January 31, 2013

Elak tangan sentuh muka

Elak tangan sentuh muka

Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin


SETIAP kali melihat kulit wajah seorang rakan, rasa cemburu berbunga di hati penulis. Cemburu melihat kulitnya yang gebu dan bersih. Sudahlah orangnya manis, kulitnya yang cantik itu menaikkan lagi seri wajahnya, meskipun tidak mengenakan sebarang solekan. Kalau adapun, hanya dioles bedak kompak.
Sepanjang berkawan dengannya, tidak pernah penulis melihat wajahnya kusam. Apa rahsianya yang membuatkan kulitnya seolah-olah kebal daripada jerawat atau masalah lain? Katanya, selain mendapatkan tidur yang cukup, dia juga mengamalkan minum banyak air dan mengurangkan makanan berminyak.
Ini nasihat umum dan terlalu biasa, kata penulis, yang membuatkan si kecil molek itu tersenyum. Rahsia kecantikan seterusnya juga bukanlah luar biasa dia memastikan mukanya ‘terjaga’ daripada tangannya sendiri. Maknanya, tangannya tidak bebas menyentuh mukanya kecuali selepas dicuci bersih.

Apabila difikirkan memang benar kata-katanya. Tangan kita adalah ejen penyebar kekotoran termasuk bakteria dan virus yang paling cekap. Cuba anda kira, sebaik keluar dari rumah hingga sampai ke pejabat, berapa banyak permukaan yang kita sentuh? Kunci kereta, beg tangan, tombol pintu, gril, pintu kereta, pintu pagar luar, stereng kereta, butang lif dan papan kekunci komputer. Itu tidak termasuk kita memegang beg plastik sampah, pintu tandas, kepala paip di tandas tempat kerja dan sebagainya - jumlahnya tidak terhitung.


Di sepanjang perjalanan itu, tanpa disedari kita mengutip terlalu banyak mikro organisma pada setiap objek yang kita sentuh, walaupun hanya beberapa saat. Mikro organisma ini dipindahkan ke muka apabila tangan kita menyentuh bahagian yang menjadi perhatian pertama apabila berhadapan dengan orang lain ini.

Rahsia kecantikan teman tadi amat berguna khususnya pada individu yang berhadapan masalah jerawat yang tidak berkesudahan. Pun begitu nasihat yang kedengarannya mudah ini sebenarnya agak sukar dilakukan.

Bagaimanapun, kalau anda termasuk dalam golongan yang sering menyentuh muka, jangan risau kerana anda tidak bersendirian. Dalam satu kajian didapati secara purata orang menyentuh muka mereka 16 kali dalam masa sejam; kebanyakannya dilakukan tanpa disedari.

Mengapa kita tidak digalakkan menyentuh muka atau menopang dagu? Menyentuh muka dan menekan sel kulit boleh membantu menyebarkan bakteria dan merengsakan kulit, khususnya pada wajah yang sememangnya sudah ‘tertekan’ akibat kehadiran jerawat.

Kebanyakan individu yang mempunyai masalah jerawat berkongsi satu tabiat umum iaitu suka menyentuh dan memecahkan jerawat di wajah mereka walaupun tahu ia hanya memburukkan keadaan.

Memecahkan jerawat dengan jari sebenarnya membuka jalan kepada jangkitan. Tindakan ini memperbanyakkan penghasilan sebum dan merosakkan membran di bawah kulit. Jangkitan dan sebum tersebar di bawah kulit anda, menyebabkan kemunculan lebih banyak jerawat. Apa yang dibimbangkan ialah jika ia meninggalkan parut pada wajah. Apa yang anda perlu lakukan ialah membersihkan wajah dengan produk yang bersesuaian.


Cara untuk mengelakkan tangan daripada menyentuh muka:
  • Lakukan sesuatu untuk membuatkan tangan anda sibuk. Jika anda tekun bekerja, anda tiada masa untuk meraba-raba muka atau menggeselkan tangan di muka. Bagaimanapun, ini bukan bermakna anda boleh melayari Internet atau bersembang di laman sosial kerana ia mengganggu tumpuan pada kerja.
  • Bagi yang masa kerjanya lebih banyak dihabiskan dalam pejabat, lekat peringatan di meja atau di tepi skrin komputer anda.
  • Pakai sarung tangan. Ini khusus bagi mereka yang ada tabiat suka menyentuh muka sedangkan kulit wajah bermasalah. Anda akan rasa tidak selesa untuk menyentuh muka dengan tangan yang bersarung. Namun, pastikan sarung tangan anda sentiasa bersih supaya ia tidak menjadi ‘rumah tumpangan’ kepada bakteria.
  • Dapatkan kerja sama ahli keluarga dan rakan untuk menjadi ‘pemerhati’ supaya mereka boleh menegur setiap kali anda menyentuh muka. Kalau mahu lebih efektif, anda mungkin boleh mendenda diri sendiri dengan membayar beberapa puluh sen setiap kali anda menyentuh muka. Anda akan terkejut dengan jumlah yang terkumpul dalam sebulan.
  • Tetapkan sasaran bila anda mahu meninggalkan tabiat ini, contohnya dalam masa 30 hari. Lekatkan stiker besar pada hari ke-30. Catatkan perkembangan anda setiap hari. Jika berjaya, berilah hadiah kepada diri sendiri dengan membeli sesuatu yang anda gemari atau setidak-tidaknya manjakan diri anda di pusat rawatan kecantikan.
  • Jika tidak mencapai sasaran atau kejayaan anda hanya bertahan satu atau dua minggu saja, jangan putus asa. Cuba lagi dan kali ini berazamlah untuk melupuskan tabiat ini sepenuhnya. Cabar diri anda untuk berusaha melakukannya.
  • Belajar teknik solekan ringkas. Jika anda perlu menghadiri acara tertentu, anda boleh bersolek sendiri dan tidak perlu lagi mengharapkan sentuhan juru solek. Bukan meragukan kepekaan mereka terhadap aspek kebersihan, tetapi anda tentu lebih yakin dengan kebersihan tangan sendiri.
  • Pada masa sama, amalkan minum air secukupnya kerana air boleh membantu pengeluaran bahan kotor di dalam badan dengan lebih cepat dan berkesan. Selain itu masukkan bersenam sebagai agenda harian, supaya anda lebih sibuk dengan aktiviti yang bukan saja menyihatkan, malah ia secara tidak langsung dapat menyerlahkan kecantikan.


  • Sumber: Harian Metro

    Khasiat jus lemon

     
    Khasiat jus lemon

    Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

    Kulit putih bersih, tanpa sebarang noda yang mampu mencacatkan penampilan wajah menjadi idaman setiap wanita. Tidak kira apa latar belakang seseorang itu, semua menginginkan rupa paras sempurna.
    Keinginan memiliki kulit cerah terutama di kalangan wanita di negara Asia membuatkan ramai mencuba pelbagai bahan kosmetik dan teknik supaya kelihatan menawan.
    Ada yang mengeluarkan perbelanjaan besar untuk mencapai tujuan itu. Malah ada sanggup mengambil risiko memakai produk yang mempunyai bahan kimia terlarang hydroquinone, asalkan kulit mereka menjadi cerah.

    Biarpun jumlah melanin dalam kulit sudah ditentukan secara genetik dan sukar untuk seseorang yang gelap bertukar menjadi putih, setiap kulit mampu kelihatan berseri-seri dan bersih dengan penjagaan serta rawatan.


    Tidak perlu berhabis wang atau berhadapan risiko kulit terbakar dan rosak semata-mata mahu kelihatan cantik, sedangkan alam semula jadi sudah menyediakan penyelesaiannya di sekeliling kita.

    Hampir setiap bahan semula jadi daripada keluarga tumbuh-tumbuhan mempunyai pelbagai khasiat kepada kulit dan ia tidak seharusnya dipersiakan.

    Tidak perlu berada dalam kerisauan memikirkan mengenai kesan sampingan atau wang yang mengalir keluar dari poket kerana bahan semula jadi sememangnya satu anugerah tidak ternilai kepada manusia yang tahu menghargainya.

    Antara bahan yang boleh digunakan tanpa mengeluarkan perbelanjaan besar untuk kelihatan cantik ialah lemon yang boleh dibeli pada harga jauh lebih murah dan lebih penting ia selamat pada tubuh.

    Lemon berupaya memberikan kesan yang mampu memudarkan noda atau tanda pada kulit yang membuatkan wajah kelihatan kusam dan kurang berseri.

    Selain mencerahkan kulit, jus lemon membantu untuk mengurangkan kedutan, noda hitam dan sel kulit mati pada kulit, seterusnya mendapat kulit lebih bermaya.

    Lima hingga enam peratus komponen lemon ialah asid sitrik yang memberikannya rasa masam dan mampu mencerahkan kulit manakala kandungan pH yang rendah membuatkannya bersifat antibakteria.

    Di negara India, lemon digunakan dengan meluas dalam perubatan tradisional Siddha dan Ayurveda bagi merawat beberapa masalah kesihatan dan kecantikan.

    Ada beberapa cara yang boleh digunakan bagi mendapatkan hasil optimum daripada lemon terhadap kecantikan kulit. Antaranya, memerah jus limau nipis dan masukkan ke dalam bekas penyembur yang dicampur dengan air dalam nisbah yang sama.

    Jus lemon itu kemudiannya boleh disembur pada kulit wajah bila perlu untuk kesan menyegarkan dan pada masa sama, mampu mencerahkan kulit jika dilakukan secara konsisten.

    Namun pastikan jus lemon tidak terkena pada bahagian kulit yang terluka atau termasuk dalam mata kerana ia akan menyebabkan kepedihan.

    Lemon yang sudah dikisar bersama kulitnya juga boleh digosok pada kulit secara membulat. Bukan saja ia dapat membersihkan kulit tetapi ia juga akan mencerahkan kulit jika sering dilakukan.

    Buah itu juga boleh digunakan sebagai pencuci, pupur dan penyental kulit dengan cara mencampurkan jus lemon, air, madu dan aloe, kemudian sapukan pada wajah setiap pagi sebelum dicuci bersih.

    Cara lain yang boleh digunakan adalah dengan memicitkan jus lemon pada bola kapas dan sapukan pada wajah. Biarkan selama kira-kira 30 minit sebelum dicuci dengan air.

    Bagi mereka yang mahukan kulit lembut, lemon juga boleh dijadikan losen badan dengan mencampurkan dua bahagian jus lemon dan tiga bahagian glycerin. Kacau hingga rata dan sapu pada kulit.

    Pupur lemon boleh dihasilkan dengan mencampurkan satu sudu makan jus lemon, satu sudu makan jus tomato, satu sudu makan jus timun dan satu sudu makan sudu makan serbuk gaharu, menjadi pes. Sapu pada kulit dan biarkan selama 15
    hingga 20 minit sebelum dibilas dengan air suam.

    Satu lagi cara membuat pupur adalah dengan mencampurkan satu sudu makan serbuk susu, satu sudu makan madu, satu sudu makan jus lemon dan dua titik minyak pati. Sapukan pada kulit dan biarkan selama 20 minit sebelum dicuci dengan air suam.

    Bagi menghasilkan penyental kulit, campurkan dua sudu makan gula perang, putih telur dan satu sudu makan jus lemon. Sapukan pada kulit dalam gerakan membulat dan sental secara lembut. Biar pada kulit kira-kira 15 minit sebelum dicuci.

    Biarpun lemon terbukti membantu untuk mencerahkan kulit wajah, ia mengambil masa lebih lama berbanding penggunaan bahan kimia.

    Selain itu, elakkan terdedah lama di bawah matahari sekiranya dalam proses mencerahkan kulit menggunakan lemon kerana bukan saja lebih melambatkan proses, kulit juga mudah rosak.

    Penggunaan jus lemon disarankan dilakukan selang sehari kerana penggunaan jus lemon boleh menyebabkan kulit menjadi sedikit kering jika digunakan setiap hari. Selepas rawatan menggunakan jus lemon, digalakkan memakai pelembap kulit bagi mengelakkannya kering.

    Rawatan menggunakan jus lemon juga perlu dilakukan secara konsisten dan sabar bagi melihat hasilnya.


    Sumber: Harian Metro
     

    Monday, July 16, 2012

    Petua Dapur part 2


    • BROKOLI KEMBALI SEGAR
      Brokoli yang sudah kuning setelah disimpan berhari-hari masih boleh digunakan
    • LEMBUTKAN KEK YANG KERAS
      Ada kalanya bila membuat kek, kek menjadi keras. Tapi jangan kecewa dan kek terus dibuang.
    • KURANGKAN HAMIS DAGING KAMBING
      Bagi mengurangkan bau masakan daging kambing cubalah petua berikut.
    • MENYEDAPKAN TEMPOYAK IKAN PATIN
      Bagi menyedapkan hidangan tempoyak ikan patin cuba petua ini. Basuh ikan patin dengan cuka dan tos.
    • ELAK BISKUT LEMAU
      Biskut yang disimpan di dalam bekas kadangkala mudah lemau. Bagaimana cara untuk atasinya?
    • HILANGKAN RASA PAHIT BUNGA BETIK
      Bunga betik memang enak rasanya jika kita tahu cara menyediakan hidangannya tanpa meninggalkan rasa pahit.
    • LAZATKAN LAUK NASI DAGANG
      Adakah anda tahu bahawa dengan memasukkan batang tebu ke dalam air rebusan ikan tongkol lebih menaikkan rasa enak kuah nasi dagang?
    • ELAK BELAKANG PERIUK HITAM
      Setiap kali memasak pasti anda akan berasa runsing untuk menyental belakang periuk yang hitam.
    • LAMBATKAN NASI BASI
      Beras yang tidak dicuci dengan bersih cenderung untuk basi lebih cepat. Namun bukan hanya cara dibersihkan, faktor lain seperti jenis beras itu sendiri turut menjadi faktor utama nasi cepat basi.




      Credit to Majalah Rasa



    Petua Di Dapur part 1