Assalamualaikum semua..
Ha... apa yang kita paham mengenai LAPAR?? kita tahu bila lapar maksudnya kita nak kena makan lah kan... Tapi sebaliknya, kita kene tahu bahawa lapar ni ade kategori tau.. Ha ade ketegori jugak tu... Nak tahu ape yang di maksudkan dengan lapar? Jom kita belek dan baca artikel dari Utusan Online ni, Bagus sangat ni.
Hasil tulisan dari Dr Rushmini Maris Ismail ni sangat bermafaat untuk kite semua..
14 Februari 2016 4:00 PM
| - See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/apakah-maksudnya-lapar-1.190356#sthash.Nid8f3wU.dpuf
Lapar ialah keadaan di mana kita mempunyai keinginan yang amat kuat untuk makan. Keinginan ini memulakan keinginan untuk makan, membuatkan seseorang akan mula mencari makanan untuk melegakan sensasi lapar. Rangsangan untuk makan atau lapar ialah suatu cetusan yang bermula daripada otak kita. Ia menandakan sel dalam tubuh kita tidak mempunyai cukup makanan dan memerlukan tenaga.
Kenyang pula bermaksud rangsangan daripada otak bahawa kita patut berhenti makan, atau keinginan untuk makanan telah pun dipuaskan. Dua keadaan iaitu lapar dan kenyang ini telah dikenal pasti sebagai tipikal untuk individu berberat badan normal.Namun begitu, bagi mereka yang obes atau gemuk ia tidak semudah itu.
Banyak kajian berkaitan perkara ini diambil kira sebelum membuat cadangan program penurunan berat badan yang berkesan dan meningkatkan kesihatan seseorang. Ternyata melawan ketagihan memerlukan suatu pendekatan yang spesifik dan saintifik. Inilah enzim terapi. Enzim terapi turut menghilangkan ketagihan terhadap karbohidrat.
Tanggapan bahawa seseorang mungkin mengalami ketagihan makanan bukanlah sesuatu yang baru. Seawal tahun 1940-an, saintis telah melaporkan seseorang itu boleh menjadi penagih untuk sesetengah jenis makanan. Jenis-jenis makanan yang mungkin menimbulkan ketagihan telah dikenal pasti.
Pada awal 1960-an, para saintis semakin yakin karbohidrat khususnya, boleh menyebabkan ketagihan makanan. Ketagihan karbohidrat telah dijelaskan pada tahun 1963, apabila penyelidik tersohor, J. Kemp melaporkan “Ramai orang yang gemuk menunjukkan keputusan positif terhadap ketagihan karbohidrat.”
Dalam kajiannya, J. Kemp mendapati karbohidrat tinggi merupakan punca ketagihan makan. Pada pertengahan 1980-an, banyak saintis mula tertarik dan berminat dalam bidang ini, dan dunia penyelidikan yang sedang pesat membangun mula meneroka bahan kimia otak, termasuklah neurotansmiter serotonin.
Antara faktor-faktor fisiologi untuk orang obes ialah masalah dalam keseimbangan hormon terutamanya sensitiviti insulin.
Terkini, para saintis menyokong pendapat bahawa pengeluaran insulin dalam masa tiga puluh minit pertama selepas pengambilan makanan menentukan sama ada seseorang akan menambahkan makanan atau tidak. Apabila seseorang mula makan, insulin akan meningkat perlahan-lahan. Dalam tubuh seseorang yang obes, kadar peningkatan insulin sangat cepat bahkan lebih cepat berbanding orang lain.
Maka bagi membolehkan seseorang menurunkan berat badan, kadar kenaikan insulin haruslah diperlahankan. Rawatan yang tepat membolehkan seseorang lebih aktif bertenaga dan mudah menurunkan berat badannya.
Rangsangan untuk makan atau lapar ialah suatu cetusan yang bermula dari otak kita. Ia menandakan sel dalam tubuh kita tidak mempunyai cukup makanan dan memerlukan tenaga.
Empat jenis keadaan lapar
1 Lapar Umum atau Lapar Biasa
Ini adalah dorongan yang kuat untuk makan apa-apa jenis makanan. Walaupun dorongan itu kuat, kelaparan ini akan berlalu dari semasa ke semasa dan kemudian muncul semula. Keadaan ini dipanggil lapar yang normal.
2 Lapar Spesifik atau Mengidam
Mengidam adalah keinginan yang sangat kuat untuk sesuatu makanan yang spesifik (atau kumpulan makanan tersebut). Mengidam ini tidak akan terus hilang dan selalunya meningkat intensitinya.
Walaupun orang normal dan juga penagih karbohidrat juga mengidam, keadaan lapar ini berulang lebih kerap dan lebih mendalam dalam penagih karbohidrat. Mengidam mungkin memuncak dalam intensiti dan kekerapan hingga menjadi ketagih. Mereka tidak puas selagi tidak dapat menikmati makananan idaman.
Contohnya meskipun sudah makan dua keping roti, mereka tetap mahu makan nasi. Atau mungkin telah pun makan seekor ikan tapi keinginan makan nasi tetap melupa-luap dan mereka menjadi kalah dengan keinginan itu.
Ayat yang sering mereka katakan ialah; “Saya tidak boleh jika tidak menjamah nasi” atau “Saya tidak sanggup jika tidak makan nasi.” Ada juga yang menggantikan nasi dengan buah-buahan manis dan tidak boleh berhenti mengunyah buah-buahan manis. Alasan yang sering diberikan ialah “buah buahan ialah bahan semula jadi jadi saya boleh memakannya sebanyak mana pun.”
3 Lapar yang Tidak Selesa atau Tidak Kenyang
Ini mungkin lebih disebut sebagai ‘kepuasan mengunyah’. Ia adalah kepuasan dan keinginan yang berterusan untuk makan makanan ringan atau snek. Keadaan ini sering disertakan rasa tidak selesa; atau tidak tenang. Sehinggakan mungkin ada juga yang percaya hanya satu jenis makanan yang spesifik sahaja yang boleh memberikan sensasi yang puas dan mengenyangkan seseorang, tetapi makanan tersebut adalah ilusi dalam otak penagih makanan.
Sebagai contohnya dia merasa ingin makan kek, ingin makan keropok atau kentang goreng. Meskipun dia tahu makanan sebegitu pasti meningkatkan berat badannya namun dia tetap juga mahu makan.
Adakalanya dia merasa resah apabila berada dalam keadaan yang tidak kenyang dan akan selalu ‘melompat’ dari satu makanan ke satu makanan yang lain demi mencari kepuasan.
Imej klasik untuk individu dalam keadaan suka mengunyah ini ialah seseorang berdiri di depan peti sejuk yang terbuka, mencari sesuatu untuk dimakan. Atau merayau-rayau di pasar malam membeli pelbagai jenis makanan yang tampak sedap dan membeli pelbagai jenis makanan itu. Untuk penagih karbohidrat, keadaan lapar ini biasanya muncul dengan lebih kerap, walaupun tidak semestinya lebih kuat daripada orang yang normal.
4 Lapar Secara
Separuh Sedar
Keadaan lapar ini selalunya berlaku tanpa disedari sebelum dorongan untuk makan mengambil alih minda individu tersebut. Lapar secara tidak sedar ini adalah perasaan yang sangat kuat dan selalunya tidak terkawal untuk makan; menyebabkan pengambilan makanan secara tidak dirancang ataupun tidak dijangka.
Penagih karbohidrat selalu mengalami insiden impulse-eating ini kerana konflik secara psikologi . Mungkin di peringkat awal mereka merupakan orang yang tidak obes ataupun penagih karbohidrat yang tidak serius tetapi, lama-kelamaan mereka akan menjadikan makan secara impuls ini sebagai tabiat. Mereka tidak boleh berhenti walaupun mereka ingin berhenti.
Ketika makan secara impuls, makanan selalunya diambil dengan cepat dengan kunyahan yang sedikit. Sebagai contohnya apabila makan beramai-ramai, dia sudah kenyang namun tetap menambah nasi.