Assalamualaikum..
Harini ada terbaca info yang bagus untuk para ibu bapa diluar sana.. Info di petik dari Utusan Malaysia Online. Mengenai imunisasi yang ada disediakan di hospital negara kita, Malaysia.. Bagus jugak kalau dapat di share kat sini, untuk panduan bersama di masa depan jugak kan...
Checkidaut uolls.. Jemputlah membacanya yer...
SUHU badan yang agak panas, dengan tangisan tanpa henti seorang bayi boleh membuatkan mana-mana ibu gusar. Pada mulanya Norma (bukan nama sebenar) menyangka keadaan itu mungkin kerana anaknya sedang tumbuh gigi ataupun perutnya berangin.
Kegusaran Norma bertambah dan terlintas di hati persoalan mungkinkah ia sesuatu yang lebih serius? Dia dan suami lantas segera membawa bayi mereka ke hospital pakar berdekatan.
Jika anda seorang ibu atau bapa, pasti anda akan melakukan tindakan sama seperti Norma.
Bila dikatakan kecemasan, bukan dari segi kecederaan fizikal semata-mata tetapi lebih kepada masalah kesihatan kronik yang semakin menular kini. Antara yang paling biasa didengar, obesiti, penyakit jantung, diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi mahupun asma.
Kementerian Kesihatan baru-baru ini melancarkan kempen ' 1,000 Hari Pertama Kehidupan Ke Arah Generasi Sihat ' kerana menginsafi dalam tempoh tersebut, simptom penyakit tidak berjangkit mudah menyerang bayi dan kanak-kanak.
Menurut kajian, masalah kurang berat badan bayi ketika lahir dan tidak mendapat cukup zat makanan memberikan kesan kepada penyakit tidak berjangkit.
Dalam pada itu, hasil tinjauan kesihatan dan morbiditi kebangsaan pada 2006 mendapati, kekurangan berat badan bagi kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun adalah 19.8 peratus manakala susut badan 17.2 peratus.
Oleh itu, pemberian susu ibu kepada bayi yang baru lahir sehingga berumur enam bulan secara eksklusif amat digalakkan memandangkan khasiatnya dapat mengelakkan daripada terdedah dengan penyakit berjangkit.
Walaupun kesihatan si kecil menjadi keutamaan melebihi segala-galanya tetapi masih ramai tidak menyedari bahawa kesihatan anak mereka juga boleh terjejas gara-gara kemerosotan imuniti tubuh berpunca daripada nutrisi yang tidak mencukupi.
Tambah Dr. Anthony, bayi yang berusia bawah enam bulan jarang diserang penyakit kerana pada peringkat ini, bayi mempunyai imuniti atau pertahanan semula jadi yang dijana oleh badan terhadap penyakit.
Pertahanan terhadap penyakit bagi seorang bayi bermula ketika bayi berada di dalam rahim ibu lagi. Ketika dalam rahim, antibodi daripada darah ibu dibekalkan kepada bayi melalui tali pusat.
Antibodi daripada ibu akan melindungi bayi itu untuk jangka masa enam bulan pertama hidupnya selepas lahir. Kemudian bayi tersebut akan mula menjana antibodinya sendiri.
Ini menjelaskan mengapa seorang bayi itu lebih terlindung daripada penyakit pada enam bulanpertama hidupnya dan mudah mendapat jangkitan kuman selepas umur enam bulan.
"Namun bayi masih terdedah kepada pelbagai jenis kuman selepas dilahirkan berpunca daripada persekitaran. Misalnya, bayi yang dijangkiti kuman akibat jangkitan dengan kanak-kanak lain yang kebetulan menghidapi selesema dan batuk di taska. Oleh itu, sebagai ibu bapa perlu prihatin terhadap perubahan kesihatan anak.
"Bayi dan kanak-kanak Malaysia sangat bertuah kerana kita ada imunisasi yang baik untuk melawan penyakit," ujarnya.
Dr. Anthony memberitahu, proses imunisasi adalah satu kaedah memasukkan suatu komponen kuman yang diketahui ke dalam badan manusia untuk merangsang sistem imun manusia menjana antibodi yang spesifik kepada kuman tersebut tanpa menyebabkan penyakit kepada penerima.
Apabila antibodi telah dihasilkan secukupnya, maka individu tersebut akan terlindung daripada penyakit itu hampir 100 peratus.
"Nutrisi sangat penting terhadap kesihatan kanak-kanak. Dalam hal ini, susu ibu merupakan nutrisi terbaik untuk seorang bayi baru lahir sehingga umurnya lima hingga enam bulan yang memerlukan makanan tambahan kemudiannya.
Pemakanan tambahan selain susu ibu ialah dari unsur beras atau gandum akan ditambahkan lagi dengan sumber lain sehingga makanan diet yang terdiri daripada nasi, daging , sayuran dan buah-buahan menjadi lebih utama daripada susu.
Ibu bapa perlu mengetahui keperluan pemakanannya berbeza dan bertambah sepanjang tumbesaran seorang kanak-kanak," ujarnya.
Menurut Dr. Anthony, susu badan ibu atau susu formula sudah cukup untuk membina dan menambahkan berat bayi enam bulan pertama hidupnya.
Susu ini mengandungi jumlah protein, lemak, karbohidrat yang tinggi serta vitamin dan elemen lain yang lengkap.
Ini akan membantu pembesaran seorang bayi sehingga mereka mula merangkak, berdiri dan berjalan.
Apabila bayi mencapai umur setahun ke atas, jumlah keperluan kalori, protein, lemak, vitamin dan elemen lain akan bertambah.
"Pada peringkat usia tersebut, kita melihat keperluan susu formula. Berbeza dengan lima tahun dahulu, susu formula yang ada di pasaran semakin baik. Ibu bapa tidak perlu lagi risau kerana mereka boleh memberi apa jua susu formula mengikut kesesuaian anak mereka.
Nutrisi yang lengkap kepada seorang kanak-kanak memberikan peluang baginya untuk mencapai status keupayaan mental dan fizikal yang baik. Hasilnya, seorang kanak-kanak yang sihat tubuh badan boleh menghadiri sekolah setiap hari, bersenam dan beriadah bersama ibu bapa," ujarnya.
Sebaliknya, apabila nutrisi berkurangan, peluang kanak-kanak itu membesar tanpa serangan penyakit adalah tinggi manakala keupayaan mental dan fizikal mereka lemah.
Selain nutrisi, persekitaran juga merupakan faktor penting yang mempengaruhi tahap kesihatan kanak-kanak yang sedang membesar.
Misalnya, bayi yang terpaksa ditinggalkan di taska atau rumah pengasuh mungkin berpotensi tinggi mudah terkena jangkitan kuman dan diserang penyakit walaupun menerima nutrisi yang lengkap.
Faktor ini berpunca daripada jangkitan virus yang berterusan dan berubah-ubah.
Oleh itu, bagi mengatasi masalah tersebut, ibu bapa perlu berani merawat anak-anak mereka sendiri pada tahap awal penyakit termasuk mempunyai stok ubatan mudah seperti ubat demam, selesema dan cirit-birit.
Dengan rawatan awal, anak berpeluang untuk pulih lebih cepat dan imunisasi perlu diberikan untuk melindungi anak-anak daripada penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan kematian atau kecacatan kekal.
Dr. Anthony turut menasihati ibu bapa supaya mendidik anak mereka bersenam seperti bermain di taman permainan kanak-kanak.
"Faktor ini penting untuk melatih badan menghasilkan antibodi secara semula jadi. Aktiviti fizikal ini juga penting untuk membentuk generasi akan datang minat bersukan dan bersenam sebagai langkah awal mengelak serangan penyakit," ujarnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130210/kn_02/Nutrisi-imunisasi-pelindung-penyakit#ixzz2KlLw2UrI
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment