heartbeat

Monday, February 17, 2014

Sindrom sakit sendi facet tengkuk

Error matching blog to blogger entry. If you are the owner of this blog, please check that there is no typo in your blog address and that you have pasted the code from the Add Ads page correctly (file:///var/mobile/Applications/3F7EDC49-3C6E-464A-A740-9BB5CB0A9827/Documents/Blogger/)


PENYAKIT seperti ini telah dikenal pasti menjadi trend dewasa ini yang menimpa ramai masyarakat yang umur mereka masih muda iaitu sekitar 30-an ke atas terutama yang bekerja menghadap komputer seharian.
Mengikut Penyarah Kanan Jabatan Anesthesiologi dan Pain Medicine, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan, Prof. Madya Dr. Nizar Abdul Jalil, sakit tengkuk, bahu dan belikat merupakan gejala klasik bagi sindrom sakit sendi facet tengkuk atau cervical facet syndrome.
Penyakit ini katanya, sejenis keradangan sendi (artritis) yang boleh berlaku sepanjang tulang belakang.
Bahagian paling biasa berlaku ialah di pinggang dan leher kerana kedua-dua bahagian ini pada tulang belakang yang paling banyak melakukan pergerakan (wear and tear).
Sakit pada tengkuk jelasnya, akan lebih ketara waktu pagi selain rasa kejang, pening atau rasa terhoyong-hayang juga boleh menyusul. Selain daripada itu otot-otot pada bahu dan leher juga menjadi menebal dan sangat sakit bila dipicit.
Pesakit juga jelasnya akan berasa lemah pada otot bahu sehingga tidak dapat bertahan lama jika mengangkat tangan seperti membaca akhbar atau menyidai baju di ampaian. Rasa seperti kebas pada tangan atau jari-jari juga menyusul sehingga adakalanya pen atau cawan yang dipegang terlepas.
Dr. Nizar memaklumkan, penyakit ini sepatutnya dialami oleh mereka yang berumur terutama 60 ke 70 tahun dan ke atas kerana penyakit ini berkaitan dengan proses penuaan melibatkan sakit sendi artritis seperti juga sakit lutut.
Namun trend sekarang ini memperlihatkan ramai orang muda mengalaminya dan paling banyak menghidap penyakit ini adalah golongan wanita dengan nisbah 10 orang yang mengalami kesakitan ini tujuh daripadanya adalah golongan Hawa.
Ini agak merisaukan kerana trend penyakit orang tua kini dialami oleh orang-orang muda yang sedang produktif menyebabkan mereka tidak boleh melakukan kerja mereka dengan sempurna. Ini kerana ada yang tiba-tiba pening, terhoyong-hayang (dizzy) dan pitam apabila sedang bekerja dan ada yang sampai ke tahap kritikal tidak boleh berjalan atau memandu. Selain daripada itu, ramai juga yang menerima simptom mudah lupa, hilang konsentrasi dan mengantuk," katanya.
Penyebab sakit sendi facet tengkuk
Jelasnya, terdapat beberapa perkara yang menyebabkan sakit sendi facet tengkuk pada usia muda.
Antaranya, mungkin disebabkan oleh si penghidapnya pernah terlibat dengan kemalangan yang menyebabkan kecederaan pada tengkuk lalu mencetuskan proses penuaan pada sendi facet tersebut.
Kesakitan sendi facet ini akan timbul setelah beberapa tahun kemudian. Penyebab lain yang banyak dikenal pasti ialah kesilapan postur kepala, tangan dan tengkuk semasa bekerja di pejabat.
Perlu diingatkan bahawa posisi leher menegak yang statik ketika bekerja depan komputer merupakan satu bentuk kerja keras melampau yang oleh mencetuskan penuaan pada sendi facet tengkuk ini.
Terlalu aktif bersukan semasa umur muda di peringkat sekolah juga telah dikenal pasti salah satu penyebabnya," jelas Dr. Nizar.
Ujar Dr. Nizar, jika si penghidapnya berhadapan dengan kemalangan sebelum ini, penyakit ini adalah adalah susulan akibat hayunan kuat pada tulang tengkuk menyebabkan kerosakan pada sendi facet.
Kemalangan bagaimanapun secara umumnya tragedi yang tidak boleh dielakkan.
Bagi kerjaya pula kemungkinan individu ini berhadapan dengan komputer untuk seharian waktu, cara dia duduk, postur badan, egonomik, mungkin kedudukannya ketika di hadapan komputer tidak seimbang dengan kerusi dan sebagainya memungkinkan individu berkenaan menghidap sakit ini.
Oleh itu pekerja pejabat perlu prihatin tentang penyakit ini dan mengambil tindakan untuk mengelakkan daripada sakit ini berlaku.
Jadi salahlah apabila orang berkata bekerja duduk sahaja di pejabat adalah kerja yang ringan kerana tengkuk golongan ini terpaksa bekerja keras menampung kepala sehingga menimbulkan kesakitan," jelasnya.
Simptom klasik sakit sendi facet tengkuk
Dalam pada itu Dr. Nizar memberitahu antara simptom klasik sakit sendi facet tengkuk ini adalah sakit dan kejang di bahagian tengkuk, sakit otot bahu dan belikat, pening kepala sehingga menangkap ke mata dan penglihatan akan menjadi rabun.
Dalam keadaan lain menurut beliau, ramai penghidap penyakit ini akan terasa seolah-olah pening (hanyut) seperti mabuk laut, terasa terumbang-ambing, mata jadi kelabu, mudah pitam, telinga berdesing, manakala perut akan banyak angin menjadikan gastrik.
Selain daripada itu penyakit ini juga boleh mimic (mirip) seperti penyakit ENT (sakit mata, hidung dan tekak) dan juga seperti sakit jantung dan asma menyebabkan pesakit rasa sesak nafas dan sakit dada.
Ini disebabkan otot pada dada menjadi kejang dan mencengkam menyebabkan susah untuk bernafas.
Biasanya pesakit akan panik dan cepat-cepat pergi berjumpa doktor pakar jantung untuk pemeriksaan.
Pandai meniru
Penyakit ini juga pandai meniru sakit gastrik. Pesakit akan mengeluh memberitahu perutnya banyak angin dan selalu sendawa terutamanya jika dipicit di otot bahu dan leher.
Banyak pesakit akan tersasar dan berjumpa doktor gastro dan pemeriksaan gastroendoscopy dilakukan. Seperti dijangka, hasilnya negatif atau cuma ada sedikit gastrik," ujarnya lagi.
Apa yang membimbangkan, kesakitan ini tidak akan berkurangan malah akan berterusan seumur hidup seiring dengan usia selagi faktor-faktor egonomik dan cara hidup tidak berubah.
- Rosmah Dain


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20140211/kn_01/Sindrom-sakit-sendi-facet-tengkuk#ixzz2tYHC2TL8
© Utusan Melayu (M) Bhd 


No comments:

Post a Comment