heartbeat

Wednesday, April 30, 2014

Katarak Usia Muda


Assalamualaikum..

Katarak.. Sape tau katarak? Selalunya kena kat orang dewasa je kan... ha, jangan tak tau kena kat orang muda jugak tau...

Ni ade artikel menarik yang dipetik dari Utusan Online. Jom baca,, Bagus untuk kita semua menambah ilmu..


KATARAK merupakan satu keadaan kanta mata yang asalnya bersifat jernih dan lutcahaya telah bertukar menjadi keruh.

Masalah tersebut membuatkan penglihatan pesakit kabur atau berkabus kerana tompokan kabur pada kanta matanya.

Kanta mata merupakan struktur mata yang lutsinar terletak di belakang pupil atau anak mata (titik hitam di tengah-tengah mata) yang membenarkan cahaya menembusi bahagian belakang mata iaitu retina.

Lama-kelamaan keadaan tersebut boleh menyebabkan buta kerana selaput katarak menutupi keseluruhan mata.

Katarak biasanya terjadi kepada warga tua atas faktor usia.

Namun, menurut Pakar Optalmologi Pusat Perubatan Tropicana (TMC), Dr. Khor Sim Ee, katarak boleh berlaku kepada golongan dewasa muda (young adult) atas beberapa faktor, malah kanak-kanak dan bayi turut tidak terkecuali.

Katarak selalunya berlaku akibat faktor penuaan iaitu sebanyak 60 peratus daripada keseluruhan kes berlaku kepada mereka berusia 60 tahun ke atas.

Sebanyak 20 hingga 30 peratus kes katarak terjadi kepada golongan dewasa muda manakala dalam empat peratus saja terjadi kepada kanak-kanak.

Bagi golongan kanak-kanak dan dewasa muda, ia terjadi atas beberapa faktor seperti genetik dan trauma," ujarnya ketika ditemui di TMC, baru-baru ini.

Walaupun katarak dalam kalangan bayi dan kanak-kanak sangat jarang berlaku, dianggarkan tiga hingga empat kanak-kanak setiap 10,000 kanak-kanak di United Kingdom menghidapinya.

Katarak kanak-kanak

Katarak yang biasa dalam kalangan kanak-kanak ialah katarak kongenital iaitu katarak yang berlaku sejak bayi dilahirkan atau tidak lama selepas dilahirkan.

Terang Dr. Sim Ee, katarak kongenital selalunya berlaku akibat genetik ibu bapanya yang mungkin seorang atau kedua-dua daripadanya mempunyai masalah katarak.

"Ada juga kes ibu pesakit mengalami jangkitan kuman ketika mengandungkan bayi tersebut.

Selain itu, katarak kongenital turut berlaku akibat masalah metabolisma," ujarnya.

Jangkitan kuman seperti cacar air, rubela dam herpes.

Bayi atau kanak-kanak yang lambat menerima rawatan katarak mungkin boleh menjadi buta kerana kanta yang kabur itu menghalang cahaya daripada pergi ke retina.

Apabila retina itu gagal menghantar maklumat kepada otak ketika saat genting mata dan otak sedang bekerjasama untuk belajar melihat, otak mungkin tidak dapat belajar melihat walaupun katarak tersebut dibuang kemudian hari.

LANGKAH pencegahan dengan menggunakan gogel yang betul dapat mengelakkan daripada berlakunya katarak akibat kecederaan di tempat kerja.

Dewasa muda

Menurut Dr. Sim Ee, golongan dewasa muda pula sering mendapat katarak akibat kecederaan terutamanya di tempat kerja.

Kanta mata yang sihat ialah jernih dan lutsinar kerana mempunyai metabolisma tertentu. Apabila berlaku 
kecederaan, ia akan mengganggu metabolisma tersebut.

Antara kecederaan yang mungkin berlaku mengakibatkan terbentuknya katarak ialah ketika memotong rumput, terkena hentakan dan lain-lain.

Selalunya ia berlaku kerana kecuaian pekerja dan tidak memakai gogal yang benar-benar dapat melindungi mata," ujarnya.

Selain itu, katarak sering berlaku kepada mereka yang menghidap diabetes yang semakin ramai golongan muda menghidapinya.

Ujarnya, pesakit diabetes mengalami katarak apabila gula memasuki kanta lalu mengeluarkan cecair di dalamnya lalu menyebabkan bengkak dan katarak.

Punca lain ialah ubat-ubatan yang diambil seperti steroid dalam tempoh terlalu lama terutamanya bagi pesakit Lupus Eritematosus Sistemik (SLE).

Radiasi yang diterima pesakit kanser seperti nasopharyngeal carcinoma juga boleh menyebabkan katarak.


Sumber di petik dari:-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20140427/kn_02/Katarak-usia-muda#ixzz30MNS7gNw
© Utusan Melayu (M) Bhd 


No comments:

Post a Comment