heartbeat

Tuesday, February 9, 2016

Resepi : Kek Coklat Mudah dan Ringkas.


Assalamualaikum.

Hari ini nak share satu resepi kek yang mudah dan ringkas tapi bergaya sangat. Resepi kek ni sangat mudah untuk dibuat sebab tak perlukan mixer langsung, hanya gaul dgn sudip atau spatula sahaja uolls. 

Kek ni sangat memberi inspirasi bagi korang yang cuba buat kek tapi takde alatan mixer tu.

Jom ikuti resepi kek coklat dibawah:-


Resepi Kek Coklat
Masa penyediaan: 10-15minit. 
Proses membakar: 30-40minit

Bahan-bahan kek coklat:-

Bahan A:
2 cawan tepung gandum atau all purpose flour
4 sudu kecil baking powder
1 1/2 cawan gula caster
1 cawan cocoa powder

Bahan B:
1 cawan minyak sayur atau minyak masak biasa
1 cawan buttermilk ( 1 cawan susu segar+2 sudu besar cuka)

Bahan C:
4 biji telor saiz B
100ml air suam

Hiasan kek:-
** Topping coklat:
1/2 cawan cocoa powder
1/2 susu pekat
1/4 cawan susu segar
2 sudu besar butter
--> masukkan semua bahan di atas dalam periuk dan masakkan atas api yang kecil sekali. Kacau sentiasa sampailah likat dan berkilat. 

Bahan hiasan lain:- 
Badam panggang dan conflakes madu yanh dihancurkan. 


Cara-cara membuat kek coklat:-

Ayak bahan A, kemudian masukkan ke dalam mangkuk besar. Gaul sebati biar semua bergaul mesra.

Masukkan bahan B, gaul serata secara kaup balik. 

Dah sebati tu kan, masukkan bahan C. Gaul lagi, sama juga secara kaup balik sampai semua bahan dah mesra kat dalam mangkuk tu. Aduan memang pekat, tapi tak mengapa, memang begitu kejadiannya.

Masukkan ke dalam loyang. Loyang ni sapu la butter kat sekeliling dan bahagian dalam loyang tu. Ini untuk memudahkan proses nak terbalikkan kek bila dah siap masak nanti ke dalam pinggan besar. 

Ratakan adunan kek dalam loyang tu, bagi la nampak sekata kan.

Bakar dalam oven yang dah disiap panaskan terebih dahulu dalam 15 minit pada suhu 180'C. Proses membakar mengambil masa dalam 30-40 minit. Bila dah 30 minit bole check kek, cucuk gunakan pencukil gigi kat tengah tengah tu, tengok ade tak melekat pada pencukil gigi tu. Kalau ade, tambah sikit masa memasak. Bila dah cucuk lagi sekali dengan pencukil gigi, keluar bersih, maknanya kek dah masak sempurna. 

Keluarkan dari oven dan sejukkan. 


Cara cara letak topping coklat atas kek:-

Bila kek dah sejuk, terbalikkan ke atas pinggan dan mulakan lah pulak proses letak topping coklat yang dimasak awal tadi. 

Seeloknya panaskan sekali lagi sebelum letak atas kek, lagi mudah sebab topping tak likat sangat. 

Kemudian ratakan topping tu ke seluruh kek. Tabur badam di panggang atas tu. Bole juga letak kekacang yang lain macam badam, macadamia, walnut atau buah strawberry, berry, cherry atau ape sahaja kesukaan korang.

Macam ku buat tu, tabur badam panggang aje. Kemudian bahagian tepi kek tu, ku hancurkan conflakes honey tu dan lekatkan bahagian tepi. Sedap juga rasa crunchy crunchy gitu. Hehehe. 


Selamat mencuba korang. Dijamin mudah dan ringkas. Percayalah. Tak percaya? Cer buat tengok mcmner. Hehehe. 

Jumpa
Lagi di entry akan datang. Peace yawl. 

~ hUShSYA ~


Tuesday, February 2, 2016

Permindahan Emosi


Assalamulaikum..

Hari ini nak kongsi info mengenai emosi. Artikel yang sangat bagus dipetik dari Utusan Malaysia Online. 

Hasil tulisan dari PROF. MADYA DR. HAIRUL ANUAR HASHIM ini sangat bagus dan patut dikongsikan dengan semua pembaca.

Jom kita baca apa yang ditulis mengenai permindahan emosi. 


Pemindahan emosi 

1

Jaringan sosial merupakan salah satu tema yang sering ditekankan melalui ruangan ini memandangkan kepentingannya terhadap aspek psikologi individu. Setiap individu di pelbagai peringkat umur mempunyai hubungan jaringan sosial masing-masing dengan pelbagai jenis. Hubungan ini terbentuk melalui kepelbagaian institusi sosial dalam kehidupan seseorang seperti keluarga, sekolah, kejiranan, sukan, pekerjaan dan lain-lain. Hubungan sosial dalam setiap institusi sosial terbentuk berasaskan peranan individu dalam institusi tersebut sama ada berbentuk formal atau tidak formal.


Emosi yang dialami oleh setiap individu merupakan reaksi terhadap perkara yang berlaku di persekitarannya. Ia memainkan peranan yang sangat penting terhadap tahap kesihatan dan kesejahteraan diri seseorang. Kesannya, tahap kesihatan dan kesejahteraan yang baik menyumbang terhadap fungsi individu dalam kehidupan seharian. Kepentingan mengurus dan mengawal emosi bagi diri individu adalah jelas dan sering diulas dalam ruangan ini dari pelbagai sudut. Antaranya kesan emosi melalui perkahwinan, memelihara haiwan kesayangan, kaedah relaksasi, dan interaksi sosial.


Kesan emosi terhadap diri individu adalah jelas. Namun, penyelidikan saintifik turut mendapati bahawa emosi yang dialami oleh seseorang mempengaruhi emosi orang di sekeliling mereka. Sebagai contoh, ada kajian yang menunjukkan bahawa emosi seseorang berubah mengikut individu yang mempamerkan emosi yang paling kuat walaupun tanpa komunikasi verbal. Kajian lain menunjukkan bahawa emosi murung yang di alami oleh seseorang akan mempengaruhi emosi orang lain di sekeliling mereka. Selain itu, ada juga kajian yang menunjukkan emosi seseorang akan mempengaruhi emosi pasangannya. Dalam kajian melibatkan kumpulan, emosi seseorang dalam sesuatu kumpulan cenderung untuk mengikut emosi kumpulan, terutama emosi ketuanya.


Satu tema yang konsisten dari kajian-kajian tersebut ialah pemindahan emosi masih berlaku walaupun seseorang tidak bergantung kepada punca yang mencetuskan emosi tersebut. Dalam satu kajian yang diterbitkan oleh penyelidik Barsade pada tahun 2000, mendapati bahawa seseorang boleh memanipulasi emosi individu di sekeliling mereka mengikut emosi semasa yang mereka alami. Dalam satu kajian jangka panjang melibatkan seramai 4,000 orang responden yang diterbitkan oleh penyelidik Fowler dan Christakis pada tahun 2008, penyelidik mendapati bahawa kegembiraan individu mempunyai hubungan yang sangat kuat dengan kegembiraan orang di sekeliling mereka.


Pemindahan emosi


Dua mekanisme yang menerangkan bagaimana pemindahan emosi berlaku adalah berdasarkan mekanisme automatik dan mekanisme inferential. Bagi mekanisme automatik, atau juga dikenali sebagai penularan emosi primitif, pemindahan emosi berlaku apabila individu mengajuk atau memimik lakuan pasangan interaksinya. Lakuan seperti senyuman dan kerutan akan mengaktifkan tindak balas minda dan fisiologi untuk menyamai emosi yang sama.


Mekanisme kedua melibatkan proses penilaian kognitif apabila seseorang menilai kandungan interaksi yang berlangsung dan emosi yang dialami oleh pasangan interaksi mereka sebelum memberi reaksi yang bersesuaian dengan keadaan. Mekanisme ini turut menjelaskan bagaimana proses empati berlaku. Oleh kerana individu mempunyai pengaruh terhadap emosi yang dirasai oleh orang di sekeliling mereka, kepentingan untuk memahami kesan pemindahan emosi adalah jelas. 

Pertama, jaringan sosial seseorang cenderung untuk mempengaruhi emosi individu tersebut. Oleh yang demikian, individu cenderung untuk mengalami emosi positif jika jaringan sosialnya dikuasai oleh emosi positif. 

Kedua, pemindahan emosi menguatkan keupayaan untuk berempati. Seperti yang diulas dalam ruangan terdahulu (Mingguan Malaysia, 10 Januari 2016), ini menyumbang terhadap hubungan sosial yang berkualiti. 

Ketiga, perkongsian emosi secara rela ini turut menguatkan hubungan sosial di dalam kumpulan tersebut.

Keempat, perkongsian dan pemindahan emosi didapati dapat menguatkan semangat kerjasama dalam sesebuah kumpulan sosial. Dalam konteks kerja, hubungan sosial dengan elemen ini mampu meningkatkan tahap produktiviti kumpulan. 

Di sebalik kesan positif, pemindahan emosi ini turut memberi kesan negatif jika ia tidak ditangani dengan baik. Antaranya adalah terbawa-bawa emosi negatif yang dialami di tempat kerja ke rumah dan mempengaruhi emosi pasangan dan anak-anak. 

Adalah tidak sihat jika persekitaran sesebuah keluarga sentiasa dikuasai oleh emosi negatif. Selain itu, perkongsian emosi di laman – laman sosial tanpa mengetahui punca turut harus diambil perhatian. Pemindahan emosi adalah sesuatu yang kompleks dan mempengaruhi pelbagai faktor lain dalam kehidupan. 

Oleh yang demikian, adalah penting bagi individu membentuk satu halangan daripada mudah terpengaruh dengan emosi orang di sekeliling mereka. Penulis ialah pensyarah Psikologi Sukan dan Senaman di Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Credit: Utusan Online. 


Pembawa genetik kanser ovari

Assalamualaikum. 

Kanser ovari. Bunyinya tak sedap kan. Mengerikan pon ada.. 

Di bawah ada maklumat mengenai kanser ovari. Di petik daripada Utusan Online, tulisan dari RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM. Maklumat yang sangat berguna buat kita semua. 

KANSER ovari adalah pembunuh wanita secara senyap. Bukan sahaja salah satu kanser reproduktif wanita yang paling berbahaya dan sukar dirawat, ia juga sering lambat dikesan.


Sering disedari hanya bila tiba tahap yang tinggi iaitu tahap tiga dan empat, simptomnya yang tidak nyata membuatkan ia sukar dikesan.


Penyakit yang amat berbahaya ini merupakan punca kepada kebanyakan kematian daripada mana-mana kanser reproduktif yang lain.


Tidak seperti kanser-kanser reproduktif yang lain seperti kanser pangkal rahim yang sering diterangkan kepada umum, ramai yang tidak sedar akan kanser ovari.

Sedangkan, berdasarkan Pendaftaran Kanser Kebangsaan 2006 di Malaysia, kanser ovari merupakan kanser keempat paling banyak ditemui dalam kalangan wanita.


Menurut Konsultan Perubatan Onkologi Hospital Beacon, Dr. Azura Rozila Ahmad, penemuan pada tahap yang tinggi membuatkan ia sukar dirawati kerana ia telah merebak ke organ lain.


“Kanser ovari sememangnya diagnosis yang menakutkan tetapi tahap kejayaan untuk pulih bergantung kepada tahap kanser yang ditemui.


"Malangnya, kira-kira 70 peratus kanser ovari dikesan pada tahap yang tinggi bermaksud hanya dalam satu daripada lima ditemui di peringkat awal sedangkan 90 peratus kanser ovari di tahap satu boleh dirawat.


Simptom kanser ovari tidak jelas seperti perut buncit, perubahan cara pembuangan air besar, kurang nafsu makan, cepat kenyang dan rasa tidak selesa di bahagian perut.


“Simptom tersebut sering disalah erti sebagai masalah biasa membuatkan mereka tidak bertemu dengan pakar untuk mengadakan pemeriksaan terperinci,” terangnya ketika ditemui di Hospital Beacon, Petaling Jaya, baru-baru ini.


Terang Dr. Azura, selain simptomnya yang tidak nyata, diagnosis kewujudan kanser ini menggunakan pengimejan ultra bunyi dan CT-Scan hanya dapat mengesahkan kewujudan ketumbuhan kerana ia terlalu jauh di dalam pelvis.


Credit: Utusan Online