heartbeat

Saturday, July 27, 2013

Diabetes bukan halangan berpuasa


Assalamualaikum...

Salam Ramadan Al-Mubarak. Bersyukurlah kita sebab diberi kesempatan untuk menunaikan ibadah puasa di bulan penuh keberkatan ini. Tapi bagi yang sakit macam diabetes, mesti risau kan, macam mana nak harungi sakit dan puasa pada masa yang sama..

Jangan risau, ada satu artikel menarik bagi mereka yang menghidapi diabetes untuk mengharungi bulan Ramadan ni. Artikel dipetik dari Utusan Online ni sangat berguna uolls... Chekidaut..


Diabetes bukan halangan berpuasa



pesakit diabetes perlu berjumpa dengan doktor supaya perubahan dos ubat dan insulin dapat dilakukan mengikut keadaan kesihatan mereka.

UMAT Islam berada dalam minggu pertama Ramadan, pesakit diabetes yang beragama Islam dinasihati mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengawasi paras gula darah mereka demi mengelakkan hipoglisemia (paras gula darah yang terlalu rendah) pada siang hari dan hiperglisemia (paras gula darah yang terlalu tinggi) pada waktu malam.

Oleh demikian, pesakit-pesakit diabetes yang ingin melaksanakan ibadah puasa diminta terlebih dahulu mendapatkan nasihat daripada doktor mereka.

Semasa berpuasa, risiko gula darah menurun ke bawah paras normal adalah lebih tinggi daripada waktu biasa. Jika tanda-tanda hipoglisemia timbul, anda harus mempertimbangkan berhenti puasa dan mengambil jus buah-buahan ataupun satu sudu besar gula dengan segera. Lakukan ujian paras gula darah anda jika telah berhenti puasa dan juga laporkan sebarang ketidakselesaan ataupun keletihan yang dialami kepada doktor anda.

Menurut Pakar Runding Endokrin Dr. Norashinah Datuk Kamarudin, pengawasan secara tetap terhadap paras gula darah adalah mandatori semasa bulan Ramadan.

"Pengukuran tahap gula darah sebaik-baiknya dijalankan pada awal pagi sebelum puasa dan selepas Iftar dan Sahur. Bagaimanapun, anda adalah dinasihati supaya berhenti puasa jika bacaan gula darah menurun ke bawah paras sasaran yang sepatutnya pada waktu pagi dan tengahari," ujarnya yang ditemui di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.

Beliau menambah, umat Islam dengan penyakit kencing manis jenis 2 yang tidak memerlukan suntikan insulin biasanya dapat menjalankan ibadah puasa tanpa sebarang masalah semasa Ramadan.

Pesakit-pesakit yang hanya memerlukan satu suntikan insulin biasanya boleh berpuasa tanpa masalah besar tetapi mereka dinasihati berjumpa doktor untuk mengetahui jenis insulin yang sesuai untuk mereka.

Semasa berpuasa, adalah penting untuk pesakit-pesakit mengenali tanda-tanda hipo dan hipeglisemia, mengetahui cara-cara menangani mereka, mengukur paras gula darah dengan cara yang tertentu, meminum air yang cukup dan mengamalkan kesederhanaan dari segi pemakanan.

Di samping masalah-masalah yang tersebut di atas, terdapat satu lagi perkara yang tidak kurang pentingnya iaitu mengetahui tentang tanda-tanda ketoasidosis. Ketoasidosis adalah sejenis keadaan serius yang mengancam nyawa dan ia berlaku apabila badan pesakit benar-benar kekurangan insulin dan tahap gula darah menjadi terlalu tinggi.

HipoglisemiaTambah Dr. Norshinan, hipoglisemia merujuk kepada keadaan apabila kandungan glukosa berkurangan dalam darah dan berada di bawah paras normal.

"Tanda-tanda hipoglisemia termasuklah rasa gelisah dan tidak tentu arah, lemah, teramat lapar, berpeluh, pucat, berdebar-debar, menggeletar, denyutan nadi terlalu laju dan tidak sedarkan diri sekiranya terlalu serius. "Pengetahuan mengenai tanda-tanda komplikasi kesihatan ini sangat penting untuk difahami pesakit untuk mengelakkan sebarang masalah serta komplikasi lebih teruk," ujarnya.

Siapa yang berisiko?Salah satu punca hipoglisemia berlaku adalah ia ada kaitan dengan jenis ubat yang diambil oleh pesakit untuk mengawal paras glukos dalam darah. Dua jenis ubat yang selalu digunakan di hospital iaitu metformin dan sulfonylurea. Metformin yang berfungsi memperbaiki paras glukos dalam darah tanpa merangsang pengeluaran insulin mampu meminimumkan atau tidak mendatangkan risiko hipoglisemia .

Sulfonylurea pula boleh menyebabkan risiko ketara hingga tercetusnya hipoglisemia kerana ia merangsang pengeluaran insulin selagi berada dalam badan.

Dr. Norshinah turut menasihatkan, seelok-eloknya sebelum menjalani ibadat puasa, mereka yang berisiko khususnya pesakit diabetes berjumpa dengan doktor supaya perubahan dos ubat dan insulin dapat dilakukan mengikut keadaan kesihatan mereka.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130714/kn_03/Diabetes-bukan-halangan-berpuasa#ixzz2aEITTNsB
© Utusan Melayu (M) Bhd


No comments:

Post a Comment