heartbeat

Thursday, January 30, 2014

Tujuan Mendidik Anak

Error matching blog to blogger entry. If you are the owner of this blog, please check that there is no typo in your blog address and that you have pasted the code from the Add Ads page correctly (file:///var/mobile/Applications/3F7EDC49-3C6E-464A-A740-9BB5CB0A9827/Documents/Blogger/)
Assalamualaikum....

Hari ini nak share kisah mengenai mendidik anak.. Artikel ni diambil dari Uusan Online, sangat menarik untuk dikongsikan..

Jom kita sama-sama baca dan fahamkan eh..


Jika dibandingkan dengan pokok, tip sebenarnya adalah ranting. Ranting ini hanya akan segar dan membesar dengan sihat jika akar pokok itu sihat. Jika kita mengharapkan buah daripada pokok itu dengan hanya membaja ranting, maka tentunya itu perbuatan sia-sia.

Namun, itulah yang sering dilakukan oleh ramai ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak.

Sebelum boleh berharap tip yang diambil itu boleh berkesan kepada anda, fahamilah apakah akar di dalam pendidikan anak-anak.

Tip untuk tip pendidikan anak-anak itu berkesan, ialah memastikan pendidikan anak-anak adalah berdasarkan bahawa anak-anak itu dilahirkan suci, bersih, berpotensi tinggi dan mempunyai kehebatan yang diperlukan oleh dunia. Inilah dinamakan fitrah.

Jika seorang ibu atau bapa menerima satu tip untuk menjadikan anaknya rajin belajar, tetapi ibu atau bapa itu tidak percaya bahawa anaknya itu mempunyai potensi yang tinggi, malah merasakan anaknya itu susah untuk berjaya, maka tip itu tidak akan berjaya.

Tip untuk tip keibubapaan menjadi berkesan ialah untuk bertolak daripada satu kefahaman bahawa anak itu sememangnya dilahirkan hebat dan penuh kemampuan.

Dalam kemelut untuk menangani banyak cabaran dan isu membesarkan anak-anak, apatah lagi ditambah dengan kerja di pejabat dan di rumah yang membukit dari sehari ke sehari, ramai ibu bapa menjadi terkeliru dan lupa apakah sebenarnya tujuan mendidik anak-anak ini.

Bila orang mengatakan anaknya sudah boleh ke bilik air sendiri atau anak mereka sudah boleh berjalan tegap, namun anak sendiri masih hanya merangkak, maka ada ibu bapa yang menjadi gelisah.

Normal ke anakku ini? Betulkah cara aku mendidik? Malah yang ada yang lebih daripada itu, memaksa dan merasakan anak mereka tidak sebijak anak orang lain, atau adakah mereka ibu atau bapa yang tidak bijak?

Tekanan seperti ini tidak sepatutnya wujud. Kerana kita tidak perlu berlawan dengan sesiapa di dalam mendidik dan membesarkan anak-anak ini.

Jika anak kawan sudah boleh potty train, dan anak sendiri belum boleh, maka cari sajalah jalan untuk melatihnya. Jika dia belum bersedia, maka ambil langkah untuk menyediakannya. Tidak perlu berasa diri anda kalah atau tidak bijak, yang penting tambahkan ilmu dan skil untuk membantu anda menjadi ibu atau bapa yang bijak.

Kerana matlamat mendidik anak bukan sekadar untuk dia boleh potty train pada sesuatu usia, tetapi untuk dia boleh menjadi anak yang berdaya tingg dan mempunyai keyakinan diri.

Boleh potty train pada usia dua tahun, adalah bagus dan sedikit sebanyak menunjukkan usaha ibu atau bapa berkesan. Pada masa yang sama jika anak itu belum boleh potty train lagi, janganlah pula merasakan diri itu tidak bagus.

Begitu juga dengan memasukkan anak ke sekolah. Dalam kesibukkan seharian ramai yang terlupa tujuan sebenar pendidikan. Kita terlupa tujuan utama, sehinggakan, kita menjadi sibuk dengan perkara ranting, sedangkan perkara akar diabaikan.

Not seeing the forest for the trees atau tidak melihat gambaran yang besar kerana terlalu fokus kepada sesuatu yang kecil.

Contohnya, mahukan anak meraih A dalam peperiksaan dan kejayaan hanya diukur berapa banyak A yang diraih, sedangkan, anak hanya menjadi ulat buku dan tidak bijak mengendalikan diri dan menjaga diri sendiri.

Malah segala urusan diri dilakukan oleh ibu dan bapa. Sehinggakan sudah masuk ke kolej pun tidak tahu menjaga diri sendiri. Makan pakai perlu diuruskan oleh orang lain. Jika tidak hidup menjadi tidak keruan.

Tujuan keibubapaan bukan sekadar anak akan pandai bercakap umur berapa, berjalan umur berapa, mendpat berapa A di dalam peperiksaan dan sebagainya.

Tujuan keibubapaan adalah sama dengan tujuan ciptaan manusia itu sendiri. Iaitu secara kasar dan tidak mengkhususkan kepada mana-mana agama, tujuan ciptaan manusia adalah untuk menambah nilai ke dalam kehidupan di dunia ini. Supaya meninggalkan legasi dan kebaikan kepada dunia setelah kita tiada.

Oleh itu, tujuan pendidikan adalah untuk membina, membantu, menyokong, membebas kehebatan diri setiap anak itu agar mereka boleh menjadi yang terbaik yang mereka boleh jadi dalam konteks untuk menambah nilai kepada dunia.

Semoga kita berusaha untuk lebih mendidik diri kita agar kita menjadi ibu bapa dan pendidik yang membina generasi cemerlang.

Kepada pembaca atau ibu bapa yang ingin bertanyakan tentang tip atau permasalahan berkaitan keibubapaan boleh mengajukan soalan kepada Ibu Rose melalui alamat laman sosial di atas.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140123/ke_03/Tujuan-mendidik-anak#ixzz2rt9jiVCi
© Utusan Melayu (M) Bhd 


No comments:

Post a Comment