Assalamualaikum..
Mata.. Satu anugerah yang tak ternilai Allah berikan pada kita..
Harini nak share satu artikel kesihatan yang berkaitan dengan mata. Sangat bagus untuk kita semua sebab kita menggunakan mata 24/7 kan? So, infomasi ni sangat berguna untuk kita semua..
Jomss.....
Fungsi mata terjejas secara perlahan-lahan
MATA merupakan deria penglihatan yang amat berharga bagi setiap manusia. Namun malangnya, tidak ramai yang mengambil berat tentang penjagaannya kerana merasakan bahawa sudah dilahirkan dengan upaya penglihatan yang sempurna.
Lazimnya, kita hanya merujuk ke klinik apabila berhadapan dengan masalah sakit mata atau pandangan yang mula kabur. Perkara tersebut diakui seorang pesakit glaukoma yang hanya mahu dikenali sebagai Mei.
Cerita kakitangan swasta itu yang kini berusia 55 tahun, dia juga seperti individu lain yang jarang mengambil berat mengenai pancaindera mata walaupun sewaktu remaja dia sudah menggunakan kanta mata setinggi 400.
Episod duka mula melanda dalam kehidupan Mei ketika dia berusia 49 tahun apabila dia berdepan dengan simptom masalah penglihatan berganda atau melihat sesuatu objek seperti berbayang. Melihatkan kesihatan mata Mei semakin teruk, salah seorang saudara terdekat yang juga merupakan doktor telah menasihatkannya supaya menjalani pemeriksaan mata.
Selepas menjalani beberapa ujian, akhirnya Mei disahkan menghidap penyakit glaukoma.
“Pada masa itu, saya tidak mengetahui apa itu glaukoma tetapi selepas doktor menerangkan penyakit itu, barulah saya lebih memahaminya,” jelasnya yang sedikit terkejut apabila menerima berita itu.
Penyakit glaukoma terjadi disebabkan kerosakan saraf optik dan boleh menyebabkan seseorang menjadi buta tanpa sebarang simptom yang ketara.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu terkesima seketika kerana tidak menyangka dirinya menghidap penyakit terebut.
Begitupun, wanita separuh abad itu mengakui neneknya juga menghidap penyakit yang sama.
“Tidak sangka saya mewarisi penyakitnya itu,” kata Mei.
Tambahnya, memandangkan rawatan peringkat pertama bagi glaukoma ialah ubat titisan mata, jadi dia bergantung kepada ubat tersebut sahaja.
Ubat titis
Sejak hari itu, Mei terpaksa membelanjakan lebih RM100 setiap bulan untuk membeli ubat cecair yang perlu dititiskan ke dalam mata sebanyak dua kali iaitu sebelah pagi dan petang.
Namun, gara-gara sibuk dengan rutin harian di tempat kerja dan rumah, Mei kerap kali mengabaikan pengambilan ubat-ubatan.
Dia hanya meletakkan ubat titis itu ke dalam mata apabila dia teringat untuk melakukannya. Sikap itu berlarutan hampir enam bulan sehingga dia menjalani rawatan susulan di sebuah hospital sekitar Kuala Lumpur selepas penglihatannya bertambah teruk.
“Jika seseorang berdiri di sebelah saya atau terdapat objek yang kedudukannya tinggi di atas kepala, saya sememangnya tidak dapat nampak apa-apa,” katanya dengan nada kesal.
Sejurus doktor menjalani pemeriksaan, doktor mengesahkan Mei berisiko menjadi buta jika terus mengambil mudah pengambilan ubat dan penjagaan mata.
Khuatir menjadi buta, Mei tidak lagi mengabaikan pengambilan ubat-ubatan. Kini, dia mengambil ubat mengikut waktu dan menuruti segala nasihat doktor.
Dalam pada itu, Pakar Bedah Mata dan Okuloplastik, Klinik Pakar Mata Centre For Sight Petaling Jaya, Dr. Zurina Zainal Abidin berkata, penyakit glaukoma berlaku apabila tekanan intraokular meningkat sehingga menyebabkan saraf belakang mata rosak.
Apabila keadaan itu berlaku, ia akan mengakibatkan penurunan daya penglihatan terutamanya di bahagian sisi skop penglihatan mata.
“Ia merupakan penyakit senyap yang boleh menyebabkan buta secara perlahan-lahan dan jika tidak dikesan dan dirawat dengan segera, seseorang itu akan menjadi buta sepenuhnya.
“Oleh itu, setiap orang perlu menjalani pemeriksaan mata secara berkala sebagai usaha mencegah daripada mendapat penyakit mata terutamanya glaukoma,” katanya ketika ditemui di Petaling Jaya baru-baru ini.
Menurutnya lagi, pada kebiasaannya, penyakit tersebut lebih berisiko berlaku terhadap individu yang berusia 40 tahun ke atas. Lebih menakutkan, ia jarang menunjukkan sebarang simptom ketara.
Maka, tidak ramai yang menyedarinya sehingga kehilangan deria penglihatan yang serius.
Faktor risiko yang dikaitkan dengan penyakit itu termasuk sejarah keluarga , diabetes dan miopia (rabun jauh).
“Oleh itu, lebih elok setiap individu menjalani pemeriksaan mata, tidak kira tua atau muda,” tegasnya.
Tekanan dalam mata
Mengulas lanjut mengenai jenis penyakit itu, Zurina berkata, terdapat empat jenis iaitu glaukoma sudut terbuka, glaukoma sudut tertutup, glaukoma akut dan glaukoma kongenital.
Jelasnya, glaukoma sudut terbuka jenis paling lazim berlaku. Ia disebabkan saluran keluar cecair mata kurang berkesan.
Justeru, tekanan dalam mata meningkat secara beransur-ansur hingga mengakibatkan kerosakan saraf optik. Pada kebiasaan, jenis glaukoma ini tidak menunjukkan simptom awal dan penglihatan kekal seperti biasa.
Bagi glaukoma sudut tertutup pula, ia berlaku kepada individu yang mengalami rabun dekat manakala glaukoma akut pula menunjukkan simptom seperti sakit mata, mata merah, kesukaran melihat secara tiba-tiba.
Sementara itu, glaukoma kongenital pula berlaku selepas beberapa bulan bayi dilahirkan. Walaupun jarang terjadi, ia merujuk kepada keadaan bayi atau anak kecil yang mengalami perkembangan yang tidak lengkap lalu menyebabkan tekanan pada bahagian matanya hingga membentuk glaukoma.
“Selain itu, glaukoma juga boleh berlaku kepada individu yang terlibat dalam kemalangan, jangkitan, ketumbuhan dan masalah katarak,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, penyakit tersebut masih boleh dirawat dengan pelbagai jenis ubat titis yang mudah digunakan.
Jika tekanan mata tidak dapat dipulihkan dengan ubat titis, pembedahan harus dilakukan.
Source:-
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0301&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_01.htm#ixzz2MIZeZTrl
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment