Umumnya, ITP adalah penyakit yang mempunyai kaitan dengan darah iaitu berlakunya kecelaruan dalam sistem ketahanan atau imun badan. Kekurangan platelet dalam darah disebabkan badan menghasilkan antibodi untuk menyerang platelet tersebut (auto-imun) yang dianggap sebagai benda asing.

Menurut Perunding Paediatrik dan Neonatologi Hospital KPJ Damansara, Dr. Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar, sistem imun pesakit akan sentiasa memerangi dan memusnahkan platelet sehingga jumlahnya dalam badan pesakit menjadi terlalu kecil.
Katanya, punca berlakunya ITP masih tidak diketahui dan dalam beberapa kes, sekiranya tidak dirawat dengan kadar segera kiraan platelet yang rendah boleh menyebabkan pendarahan yang teruk pada bahagian otak dan usus.

“Secara dasarnya, darah mempunyai tiga sel iaitu sel darah merah untuk menghantar oksigen, sel darah putih berfungsi untuk sistem imunisasi badan, dan sel platelet mempunyai fungsi untuk membekukan darah jika berlaku pendarahan pada anggota badan.

“Apabila darah kekurangan platelet akan menyebabkan darah sukar untuk membeku dan berlakunya pendarahan tanpa henti terutama pada bahagian hidung atau gusi. Penghidap juga mudah mendapat lebam pada anggota badan kerana keadaan badan mereka yang ‘rapuh’ walaupun disentuh perlahan, selain ruam-ruam merah kelihatan di sesetengah tempat pada badan mereka.

“Ada banyak sebab berlakunya platelet rendah seperti hamil, demam denggi, penyakit leukimia, dan ITP juga adalah salah satu sebabnya,” katanya ketika ditemui di Hospital KPJ Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Ujarnya, seseorang dikatakan menghidap ITP apabila jumlah platelet dalam darahnya kurang daripada 150,000 bagi setiap mikro liter. Jumlah normal platelet ialah antara 150,000 hingga 400,000 semikro liter.

Seseorang pesakit dikategorikan dalam kumpulan serius jika jumlah plateletnya kurang daripada 20,000 semikro liter dan jumlah yang sedikit ini mampu untuk menghalang darah daripada membeku.

Beliau pernah mengendalikan kes kiraan platelet pesakitnya adalah 0 di mana pesakit memerlukan pemantauan segera bagi meningkatkan kiraan platelet.
Ujarnya, oleh kerana ITP tidak mempunyai tanda dan gejala yang nyata, penyakit ini hanya boleh dikesan dengan melakukan ujian darah dan mengambil sampel sel daripada sumsum tulang.

Berbeza dengan hemofilia

Walaupun ITP dan hemofilia mempunyai keadaan yang hampir sama, iaitu pendarahan berlaku tanpa henti kerana kegagalan proses pembekuan darah, namun kedua-duanya adalah penyakit berbeza.

“Untuk membekukan darah dengan sempurna, sistem badan memerlukan dua keadaan iaitu platelet dan ‘faktor pembekuan’.

“Hemofilia berlaku disebabkan tiadanya faktor untuk melakukan proses membekukan darah, manakala ITP pula berlaku disebabkan kekurangan platelet. Jika pesakit mempunyai masalah kepada kedua-duanya, mungkin dia menghidap leukimia,” katanya.
ITP adalah penyakit yang jarang ditemui dengan kelaziman 1 kes bagi setiap 100,000 orang di dunia, namun di Malaysia jumlah sebenar pesakit tidak diketahui, tetapi kebanyakan pesakit adalah kanak-kanak.

Tambah Dr. Mohammad Iqbal lagi, ITP berlaku secara spontan dan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah mudah mengalaminya terutama selepas jangkitan virus, namun kebanyakannya dikelaskan sebagai IPT akut, iaitu hanya berlaku pada ketika itu dan tidak berlanjutan sehingga dewasa.

Pada kebanyakan kanak-kanak, ITP akan hilang sendiri dalam masa empat hingga enam minggu.

“Hampir 80 peratus kes, penghidap akan pulih dengan sendiri tanpa memerlukan pengubatan, namun reaksi badan pesakit terhadap keadaan kekurangan platelet ini berbeza. Ada yang pulih selepas empat minggu dan ada juga berlarutan sehingga enam bulan yang dikategorikan sebagai ITP kronik yang sangat jarang berlaku.

“Apabila sudah mencapai tahap kronik, ubat-ubatan yang diberi bertujuan untuk merendahkan fungsi imunisasi supaya tidak melawan platelet di dalam darah seperti ubat steroid dan immunoglobulin.

“Dalam kes yang lebih serius, pemindahan platelet mungkin diperlukan bagi membantu menambah jumlah dan mengurangkan gejala pendarahan.” katanya.
Menurutnya, kebanyakan kes ITP hanya memerlukan pemantauan sahaja daripada ahli perubatan bagi memastikan kandungan platelet meningkat dengan sendiri dan mengelakkan kesan sampingan platelet rendah.

Selepas anak disahkan menghidap ITP, doktor akan menasihatkan ibu bapa supaya mengambil langkah berjaga-jaga dalam keadaan anak mereka mempunyai platelet yang rendah, dengan mengelakkan anak melakukan aktiviti yang boleh menyebabkan kecederaan dan segera ke hospital jika anak terhantuk atau kemalangan kerana berisiko untuk berlaku pendarahan di otak.

Ibu bapa fobia anak pernah hidap ITP

Ujar Dr. Mohammad Iqbal, ibu bapa tidak perlu lagi risau akan potensi anak untuk mendapat ITP selepas disahkan pulih sepenuhnya oleh doktor. Kajian menunjukkan sembilan daripada 10 kes ITP akan pulih sepenuhnya selepas setahun.

“Tidak dinafikan kebanyakan ibu bapa fobia untuk membiarkan anak mereka keluar bermain selepas mendapat ITP dan keadaan ini menjadi cabaran buat ahli perubatan untuk mendidik ibu bapa supaya keluar dari kepompong tersebut kerana boleh menyebabkan kesan jangka masa panjang terhadap sosial kanak-kanak.

“Mereka risau anak-anak mereka boleh cedera jika bermain kasar tetapi sehingga bila mahu mengurung anak di dalam rumah? Ibu bapa harus meletakkan sepenuh kepercayaan kepada doktor jika anak disahkan pulih sepenuhnya dan boleh meneruskan aktiviti harian mereka seperti biasa,” ujarnya.