Asslamualaikum semua.
Hari ini pulak nak share something berkenaan dengan kesihatan diri. Artikel ni di petik dari Utusan Malaysia Online. Hasil penulisan dari Prof Madya Dr Hairul Anuar Hashim.
Bagus juga kita dapat baca pasal kesihatan psikologi ni. berguna lah kita semua pelajari serba sedikit psikologi diri ni. Jom kita baca apa artikel ni ditulis eh.
Hubungan imej diri dan gangguan psikologi
21 Februari 2016 4:00 PM
|
Persepsi imej diri yang positif adalah salah satu ciri minda yang positif. Imej diri merujuk kepada pendapat dan pandangan individu terhadap diri sendiri. Imej diri merupakan satu bentuk persepsi terhadap ciri -ciri yang menerangkan diri seperti bijak, cantik, hodoh, berbakat, mementingkan diri sendiri, baik hati dan lain-lain.
Ciri-ciri ini membentuk idea dalaman yang kolektif bagi kelebihan dan kekurangan diri sendiri. Persepsi imej diri berkait rapat dengan konsep efikasi kendiri dan kepercayaan diri yang diulas dalam ruangan yang lepas. Imej diri yang positif boleh memberikan keyakinan kepada seseorang dalam pemikiran dan tindakan mereka. Sebaliknya imej diri yang negatif akan membuatkan seseorang individu meragui keupayaan dan kebolehan diri mereka.
Imej diri adalah satu bentuk persepsi yang dimiliki oleh individu. Dalam sesetengah keadaan, ia sangat berbeza bagaimana orang lain melihat individu tersebut. Sesetengah individu secara zahirnya seolah-olah mempunyai semua kelebihan seperti kecerdasan, kecantikan, kekayaan dan kejayaan peribadi. Namun, mereka boleh mempunyai persepsi imej diri yang lemah. Sebaliknya, sesetengah individu lain mempunyai kehidupan yang sukar, tetapi mempunyai imej diri yang positif.
Persepsi imej tubuh pula adalah sebahagian daripada imej diri. Ia merujuk kepada corak persepsi diri terhadap ciri-ciri fizikal diri. Pelbagai faktor mempengaruhi pembentukan imej tubuh termasuk pengaruh agen sosial seperti keluarga dan rakan-rakan. Selain itu, media mempunyai pengaruh yang sangat kuat terhadap pembentukan imej tubuh seseorang. Penerimaan terhadap bentuk tubuh yang ideal dan takrifan berkenaan kecantikan dan ketampanan menyumbang terhadap pembentukan persepsi imej tubuh seseorang.
Individu dengan imej tubuh yang positif cenderung untuk tidak terpengaruh dengan momokan media berkenaan ciri-ciri kecantikan dan ketampanan. Namun, individu dengan imej tubuh yang lemah cenderung untuk terpengaruh dengan persekitaran sosialnya. Kecenderungan masyarakat untuk menggunakan bahan kesihatan dan kecantikan tanpa mengira risiko sampingan adalah contoh tindakan yang diambil oleh individu untuk memenuhi persepsi imej tubuh mereka.
Gangguan pemakanan
Imej tubuh yang negatif menyumbang terhadap pelbagai gangguan psikologi seperti gangguan pemakanan. Banyak yang telah diulas berkenaan gangguan psikologi ini. Secara umumnya, ia boleh diklasifikasikan kepada anoreksia nervosa, bulimia nervosa dan gangguan makan lewah (binge eating).
Mereka yang mengalami gangguan anoreksia nervosa cenderung untuk melihat diri mereka sebagai mempunyai berat badan berlebihan, sungguhpun berat mereka sangat kurang dan membahayakan kesihatan. Mereka juga cenderng untuk menyekat jumlah pengambilan makanan dengan kuantiti makanan yang sangat kecil. Gangguan psikologi ini jika tidak ditangani akan mempengaruhi kesihatan fizikal seperti penipisan tulang (osteopenia atau osteoporosis), tekanan darah rendah, perlahan pernafasan dan nadi, kerosakan kepada struktur dan fungsi jantung, kegagalan organ tubuh dan lain-lain.
Individu dengan gangguan bulimia nervosa pula cenderung untuk makan dalam jumlah yang besar dan kerap. Makan lewah ini akan diikuti oleh paksaan untuk memuntahkan makanan yang dimakan, penggunaan berlebihan laksatif atau diuretik, berpuasa, senaman yang berlebihan, atau gabungan tingkah laku ini. Tidak seperti anorexia nervosa, golongan bulimia nervosa biasanya mengekalkan apa yang dianggap berat badan yang sihat atau yang agak biasa. Namun, kesan daripada gabungan makan dan muntah tersebut cenderung untuk mengakibatkan kemerosotan tahap kesihatan diri. Gejala seperti radang dan sakit tekak, bengkak kelenjar di leher dan rahang, masalah usus, dehidrasi yang teruk daripada penyingkiran cecair, ketidakseimbangan elektrolit dalam badan mampu menyumbang terhadap penyakit yang lebih berbahaya seperti strok atau serangan jantung.
Kategori gangguan pemakanan ketiga adalah gangguan makan lewah. Tidak seperti bulimia nervosa, tempoh makan lewah ini tidak diikuti dengan paksaan untuk menghilangkannya seperti muntah paksa atau pengambilan bahan diuretik seperti julap. Akibatnya, golongan ini cenderung untuk mempunyai tahap berat badan berlebihan atau obes. Antara gejala makan lewah adalah makan dalam jumlah yang luar biasa besar dan makan walaupun tidak lapar. Walaupun, gangguan pemakanan ini cenderung untuk dialami oleh golongan remaja, namun ia boleh berterusan sehingga dewasa.
Persepsi imej badan bukanlah sesuatu yang kekal. Persepsi individu terhadap diri dan persekitarannya berubah selaras dengan peningkatan usia. Namun, diperingkat berisiko seperti remaja, aspek ini haruslah ditangani dengan baik agar kesihatan diri, dari sudut psikologi dan juga fizikal, kekal baik untuk kesejahteraan yang menyeluruh.
Penulis ialah pensyarah Psikologi Sukan dan Senaman di Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM).
No comments:
Post a Comment