heartbeat

Friday, February 5, 2010

Lima fakta tentang kesihatan

Manfaat mengunyah gula-gula
Pernahkah kita sedar bahawa tabiat mengunyah gula-gula getah sebenarnya baik untuk kesihatan? Bekas Presiden Persatuan Pergigian Pediatrik Amerika, Dr. Stephen J. Moss berkata, terdapat pelbagai manfaat apabila aliran air liur menerusi kunyahan.


"Mengunyah gula-gula getah adalah cara mudah dan paling menarik untuk mengaktifkan aliran air liur. Terdapat pelbagai laporan yang menyokong manfaat mengunyah gula-gula getah. "Antaranya termasuk membantu membersihkan gigi, mengurangkan plak, mengukuhkan enamel gigi, mencegah kerosakan gigi, gingivitis dan pendarahan gusi," katanya.


Malah, beberapa pengeluar gula-gula getah terbesar seperti Wrigley dan Cadbury turut mendakwa kunyahan produk itu boleh memberi pelbagai manfaat kesihatan secara menyeluruh. Ini termasuk memperbaiki memori jangka pendek, mempertingkatkan daya konsentrasi dan mood serta berguna dalam mengawal berat badan serta menghentikan tabiat merokok.


Asid perfluoro oktanoik sebabkan tiroid
Sejenis bahan kimia yang digunakan untuk membuat lapisan tidak lekat pada periuk bertangkai, asid perfluoro oktanoik (PFOA) telah dikaitkan dengan masalah tiroid dalam kalangan orang dewasa.


Para saintis mendapati 25 peratus daripada sejumlah 4,000 orang dewasa di Amerika Syarikat (AS) yang memiliki paras PFOA tertinggi dalam darah adalah dua kali ganda lebih berisiko memperoleh masalah tiroid.


PFOA yang telah dihasilkan sejak lima dekad lalu banyak digunakan dalam pembuatan pelbagai bahan termasuk fabrik dan permaidani. Ia dipercayai memasuki tubuh menerusi diet atau melalui habuk yang disedut masuk ke dalam paru-paru.


Kajian ke atas haiwan mendapati bahan kimia tersebut berpotensi menjejaskan fungsi tiroid yang sememangnya penting untuk mengekalkan kadar degupan jantung. Selain itu, ia juga membantu menyelaraskan suhu tubuh dan menyokong fungsi-fungsi tubuh yang lain.


Hati-hati ambil herba Cina
Asid aristolochic yang bersifat karsinogen dan biasa ditemui dalam kebanyakan produk herba Cina termasuk Guan Mu Tong mungkin berpotensi meningkatkan risiko kanser saluran kencing.


Di kebanyakan negara seperti Taiwan, produk-produk yang mengandungi asid aristolochic telah diharamkan sejak tahun 2003.


Seorang saintis, Jung-Der Wang dari Institut Kebersihan Industrial dan Perubatan Pekerjaan, Universiti Taiwan Nasional telah menjalankan satu kajian ke atas pesakit yang baru didiagnosis dengan kanser saluran kencing. Kajian tersebut berlangsung dari 1 Januari 2001 sehingga 31 Disember 2002.


“Selain pengharaman produk yang mengandungi kandungan asid aristolochic, kami turut mengesyorkan agar pengguna berwaspada kepada produk-produk herba Cina lain. Produk-produk ini juga mungkin telah dicampurkan dengan herba lain yang mengandungi asid tersebut,” katanya.


Pesakit yang mempunyai sejarah menghidap nefropati asid aristolochic atau mengambil Mu Tong sebelum produk tersebut diharamkan disarankan menjalani pemantauan kanser saluran kencing secara kerap.


Vaksin mencegah rotavirus
Satu kempen vaksinasi yang dijalankan untuk mengatasi masalah rotavirus di negara-negara paling daif di dunia berkemungkinan mampu menyelamatkan jutaan nyawa kanak-kanak.


Setiap tahun, lebih daripada setengah juta bayi dan kanak-kanak terkorban akibat jangkitan rotavirus. Ia turut menjadi punca utama masalah cirit-birit serius dalam kalangan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah.


Beberapa kajian baru-baru ini mendapati pelaksanaan kempen-kempen vaksinasi di Malawi dan Afrika Selatan telah berjaya mengurangkan kadar jangkitan rotavirus sebanyak 61.2 peratus pada tahun pertama kehidupan.


Di negara-negara perindustrian pula, vaksin adalah sebahagian daripada protokol imunisasi pediatrik standard.


Seorang profesor kesihatan dari Universiti John Hopkins, Mathuram Santosham berkata, vaksin rotavirus seharusnya secepat mungkin diperkenalkan di kawasan yang mengalami kes maut yang tinggi. “Ia perlu digunakan sebagai perangsang bagi mengukuhkan program-program pengawalan cirit-birit dan memperbaiki kaedah rawatan lain yang terbukti berkesan untuk cirit-birit,” katanya.


Tidak cukup vitamin D risiko hidap riket
Pengambilan diet dan vitamin D yang tidak mencukupi dikhuatiri menyumbang kepada kehadiran semula penyakit riket dalam kalangan masyarakat negara membangun. Ini berpunca daripada kecenderungan generasi muda masa kini yang lebih suka menghabiskan masa di rumah bermain permainan komputer.


Penyakit riket sudah dihapuskan sepenuhnya di negara-negara membangun sejak awal 1900-an. Ia merupakan satu masalah yang mengakibatkan tulang orang muda menjadi lemah dan cacat.


Menurut profesor endokrinologi, Simon HS Pearce, kekurangan vitamin telah dikaitkan dengan kejadian penyakit kardiovaskular, diabetes, penyakit autoimun dan pelbagai jenis kanser.


Kebanyakan susu yang dikeluarkan di Amerika Syarikat telah diperkayakan dengan vitamin D. Tetapi, pengamal-pengamal perubatan berkata, kandungan vitamin D yang diperlukan oleh kanak-kanak adalah dua kali ganda daripada amaun yang diambil sekarang.


Selain memperoleh vitamin D daripada matahari, kanak-kanak boleh mencuba suplemen alternatif seperti minyak hati ikan kod, tuna, keju dan kuning telur.

No comments:

Post a Comment