heartbeat

Showing posts with label anak. Show all posts
Showing posts with label anak. Show all posts

Tuesday, July 19, 2016

Apakah maksudnya lapar


Assalamualaikum semua..

Ha... apa yang kita paham mengenai LAPAR?? kita tahu bila lapar maksudnya kita nak kena makan lah kan... Tapi sebaliknya, kita kene tahu bahawa lapar ni ade kategori tau.. Ha ade ketegori jugak tu... Nak tahu ape yang di maksudkan dengan lapar? Jom kita belek dan baca artikel dari Utusan Online ni, Bagus sangat ni.

Hasil tulisan dari Dr Rushmini Maris Ismail ni sangat bermafaat untuk kite semua..



Apakah maksudnya lapar

- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/apakah-maksudnya-lapar-1.190356#sthash.Nid8f3wU.dpuf


Lapar ialah keadaan di mana kita mempunyai keinginan yang amat kuat untuk makan. Keinginan ini memulakan keinginan untuk makan, membuatkan seseorang akan mula mencari makanan untuk melegakan sensasi lapar. Rangsangan untuk makan atau lapar ialah suatu cetusan yang bermula daripada otak kita. Ia menandakan sel dalam tubuh kita tidak mempunyai cukup makanan dan memerlukan tenaga.

Kenyang pula bermaksud rangsangan daripada otak bahawa kita patut berhenti makan, atau keinginan untuk makanan telah pun dipuaskan. Dua keadaan iaitu lapar dan kenyang ini telah dikenal pasti sebagai tipikal untuk individu berberat badan normal.Namun begitu, bagi mereka yang obes atau gemuk ia tidak semudah itu.

Banyak kajian berkaitan perkara ini diambil kira sebelum membuat cadangan program penurunan berat badan yang berkesan dan meningkatkan kesihatan seseorang. Ternyata melawan ketagihan memerlukan suatu pendekatan yang spesifik dan saintifik. Inilah enzim terapi. Enzim terapi turut menghilangkan ketagihan terhadap karbohidrat.

Tanggapan bahawa seseorang mungkin mengalami ketagihan makanan bukanlah sesuatu yang baru. Seawal tahun 1940-an, saintis telah melaporkan seseorang itu boleh menjadi penagih untuk sesetengah jenis makanan. Jenis-jenis makanan yang mungkin menimbulkan ketagihan telah dikenal pasti.

Pada awal 1960-an, para saintis semakin yakin karbohidrat khususnya, boleh menyebabkan ketagihan makanan. Ketagihan karbohidrat telah dijelaskan pada tahun 1963, apabila penyelidik tersohor, J. Kemp melaporkan “Ramai orang yang gemuk menunjukkan keputusan positif terhadap ketagihan karbohidrat.”

Dalam kajiannya, J. Kemp mendapati karbohidrat tinggi merupakan punca ketagihan makan. Pada pertengahan 1980-an, banyak saintis mula tertarik dan berminat dalam bidang ini, dan dunia penyelidikan yang sedang pesat membangun mula meneroka bahan kimia otak, termasuklah neurotansmiter serotonin.

Antara faktor-faktor fisiologi untuk orang obes ialah masalah dalam keseimbangan hormon terutamanya sensitiviti insulin.

Terkini, para saintis menyokong pendapat bahawa pengeluaran insulin dalam masa tiga puluh minit pertama selepas pengambilan makanan menentukan sama ada seseorang akan menambahkan makanan atau tidak. Apabila seseorang mula makan, insulin akan meningkat perlahan-lahan. Dalam tubuh seseorang yang obes, kadar peningkatan insulin sangat cepat bahkan lebih cepat berbanding orang lain.

Maka bagi membolehkan seseorang menurunkan berat badan, kadar kenaikan insulin haruslah diperlahankan. Rawatan yang tepat membolehkan seseorang lebih aktif bertenaga dan mudah menurunkan berat badannya.

Rangsangan untuk makan atau lapar ialah suatu cetusan yang bermula dari otak kita. Ia menandakan sel dalam tubuh kita tidak mempunyai cukup makanan dan memerlukan tenaga.

Empat jenis keadaan lapar

1 Lapar Umum atau Lapar Biasa
Ini adalah dorongan yang kuat untuk makan apa-apa jenis makanan. Walaupun dorongan itu kuat, kelaparan ini akan berlalu dari semasa ke semasa dan kemudian muncul semula. Keadaan ini dipanggil lapar yang normal.

2 Lapar Spesifik atau Mengidam
Mengidam adalah keinginan yang sangat kuat untuk sesuatu makanan yang spesifik (atau kumpulan makanan tersebut). Mengidam ini tidak akan terus hilang dan selalunya meningkat intensitinya.

Walaupun orang normal dan juga penagih karbohidrat juga mengidam, keadaan lapar ini berulang lebih kerap dan lebih mendalam dalam penagih karbohidrat. Mengidam mungkin memuncak dalam intensiti dan kekerapan hingga menjadi ketagih. Mereka tidak puas selagi tidak dapat menikmati makananan idaman.

Contohnya meskipun sudah makan dua keping roti, mereka tetap mahu makan nasi. Atau mungkin telah pun makan seekor ikan tapi keinginan makan nasi tetap melupa-luap dan mereka menjadi kalah dengan keinginan itu.

Ayat yang sering mereka katakan ialah; “Saya tidak boleh jika tidak menjamah nasi” atau “Saya tidak sanggup jika tidak makan nasi.” Ada juga yang menggantikan nasi dengan buah-buahan manis dan tidak boleh berhenti mengunyah buah-buahan manis. Alasan yang sering diberikan ialah “buah buahan ialah bahan semula jadi jadi saya boleh memakannya sebanyak mana pun.”

3 Lapar yang Tidak Selesa atau Tidak Kenyang
Ini mungkin lebih disebut sebagai ‘kepuasan mengunyah’. Ia adalah kepuasan dan keinginan yang berterusan untuk makan makanan ringan atau snek. Keadaan ini sering disertakan rasa tidak selesa; atau tidak tenang. Sehinggakan mungkin ada juga yang percaya hanya satu jenis makanan yang spesifik sahaja yang boleh memberikan sensasi yang puas dan mengenyangkan seseorang, tetapi makanan tersebut adalah ilusi dalam otak penagih makanan.

Sebagai contohnya dia merasa ingin makan kek, ingin makan keropok atau kentang goreng. Meskipun dia tahu makanan sebegitu pasti meningkatkan berat badannya namun dia tetap juga mahu makan.

Adakalanya dia merasa resah apabila berada dalam keadaan yang tidak kenyang dan akan selalu ‘melompat’ dari satu makanan ke satu makanan yang lain demi mencari kepuasan.
Imej klasik untuk individu dalam keadaan suka mengunyah ini ialah seseorang berdiri di depan peti sejuk yang terbuka, mencari sesuatu untuk dimakan. Atau merayau-rayau di pasar malam membeli pelbagai jenis makanan yang tampak sedap dan membeli pelbagai jenis makanan itu. Untuk penagih karbohidrat, keadaan lapar ini biasanya muncul dengan lebih kerap, walaupun tidak semestinya lebih kuat daripada orang yang normal.

4 Lapar Secara 
Separuh Sedar
Keadaan lapar ini selalunya berlaku tanpa disedari sebelum dorongan untuk makan mengambil alih minda individu tersebut. Lapar secara tidak sedar ini adalah perasaan yang sangat kuat dan selalunya tidak terkawal untuk makan; menyebabkan pengambilan makanan secara tidak dirancang ataupun tidak dijangka.

Penagih karbohidrat selalu mengalami insiden impulse-eating ini kerana konflik secara psikologi . Mungkin di peringkat awal mereka merupakan orang yang tidak obes ataupun penagih karbohidrat yang tidak serius tetapi, lama-kelamaan mereka akan menjadikan makan secara impuls ini sebagai tabiat. Mereka tidak boleh berhenti walaupun mereka ingin berhenti.

Ketika makan secara impuls, makanan selalunya diambil dengan cepat dengan kunyahan yang sedikit. Sebagai contohnya apabila makan beramai-ramai, dia sudah kenyang namun tetap menambah nasi.


Tuesday, February 23, 2016

Awasi gusi, hidung anak berdarah



Assalamualaikum semua..

Hari ini nak kongsikan satu artikel berkenaan dengan anak anak kesayangan kita. Artikel ni dipetik dari Utusan Malaysia Online. Bagus untuk kita semua ketahui dan ambil berat kan. Yelah sekurangnya kita dah ada sedikit ilmu yang berkaitan kan.

Jom kita baca artikel dibawah ni. Kredit kepada Utusan Malaysia Online, hasil penulisan daripada tak dapat dipaastikan, takde pulak nama penulisnya. Tapi tak pe, ape pon terima kasih pada penulis Utusan Online ni, bagus sangat info dia beri kat kita semua ni kan.



Awasi gusi, hidung anak berdarah

Pendarahan tanpa henti petanda anak hidap ITP


Jika anak anda pernah mengalami keadaan gusi dan hidung berdarah tanpa henti, atau mempunyai gejala seperti lebam-lebam dan ruam atau bintik merah pada sesuatu anggota badan, segeralah membawa mereka berjumpa doktor kerana anak anda mungkin menghidap penyakit ITP atau dalam bahasa klinikalnya, Idiopathic Thrombocytopenic Purpura.

Umumnya, ITP adalah penyakit yang mempunyai kaitan dengan darah iaitu berlakunya kecelaruan dalam sistem ketahanan atau imun badan. Kekurangan platelet dalam darah disebabkan badan menghasilkan antibodi untuk menyerang platelet tersebut (auto-imun) yang dianggap sebagai benda asing.

Menurut Perunding Paediatrik dan Neonatologi Hospital KPJ Damansara, Dr. Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar, sistem imun pesakit akan sentiasa memerangi dan memusnahkan platelet sehingga jumlahnya dalam badan pesakit menjadi terlalu kecil.
Katanya, punca berlakunya ITP masih tidak diketahui dan dalam beberapa kes, sekiranya tidak dirawat dengan kadar segera kiraan platelet yang rendah boleh menyebabkan pendarahan yang teruk pada bahagian otak dan usus.

“Secara dasarnya, darah mempunyai tiga sel iaitu sel darah merah untuk menghantar oksigen, sel darah putih berfungsi untuk sistem imunisasi badan, dan sel platelet mempunyai fungsi untuk membekukan darah jika berlaku pendarahan pada anggota badan.

“Apabila darah kekurangan platelet akan menyebabkan darah sukar untuk membeku dan berlakunya pendarahan tanpa henti terutama pada bahagian hidung atau gusi. Penghidap juga mudah mendapat lebam pada anggota badan kerana keadaan badan mereka yang ‘rapuh’ walaupun disentuh perlahan, selain ruam-ruam merah kelihatan di sesetengah tempat pada badan mereka.

“Ada banyak sebab berlakunya platelet rendah seperti hamil, demam denggi, penyakit leukimia, dan ITP juga adalah salah satu sebabnya,” katanya ketika ditemui di Hospital KPJ Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Ujarnya, seseorang dikatakan menghidap ITP apabila jumlah platelet dalam darahnya kurang daripada 150,000 bagi setiap mikro liter. Jumlah normal platelet ialah antara 150,000 hingga 400,000 semikro liter.

Seseorang pesakit dikategorikan dalam kumpulan serius jika jumlah plateletnya kurang daripada 20,000 semikro liter dan jumlah yang sedikit ini mampu untuk menghalang darah daripada membeku.

Beliau pernah mengendalikan kes kiraan platelet pesakitnya adalah 0 di mana pesakit memerlukan pemantauan segera bagi meningkatkan kiraan platelet.
Ujarnya, oleh kerana ITP tidak mempunyai tanda dan gejala yang nyata, penyakit ini hanya boleh dikesan dengan melakukan ujian darah dan mengambil sampel sel daripada sumsum tulang.

Berbeza dengan hemofilia

Walaupun ITP dan hemofilia mempunyai keadaan yang hampir sama, iaitu pendarahan berlaku tanpa henti kerana kegagalan proses pembekuan darah, namun kedua-duanya adalah penyakit berbeza.

“Untuk membekukan darah dengan sempurna, sistem badan memerlukan dua keadaan iaitu platelet dan ‘faktor pembekuan’.

“Hemofilia berlaku disebabkan tiadanya faktor untuk melakukan proses membekukan darah, manakala ITP pula berlaku disebabkan kekurangan platelet. Jika pesakit mempunyai masalah kepada kedua-duanya, mungkin dia menghidap leukimia,” katanya.
ITP adalah penyakit yang jarang ditemui dengan kelaziman 1 kes bagi setiap 100,000 orang di dunia, namun di Malaysia jumlah sebenar pesakit tidak diketahui, tetapi kebanyakan pesakit adalah kanak-kanak.

Tambah Dr. Mohammad Iqbal lagi, ITP berlaku secara spontan dan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah mudah mengalaminya terutama selepas jangkitan virus, namun kebanyakannya dikelaskan sebagai IPT akut, iaitu hanya berlaku pada ketika itu dan tidak berlanjutan sehingga dewasa.

Pada kebanyakan kanak-kanak, ITP akan hilang sendiri dalam masa empat hingga enam minggu.

“Hampir 80 peratus kes, penghidap akan pulih dengan sendiri tanpa memerlukan pengubatan, namun reaksi badan pesakit terhadap keadaan kekurangan platelet ini berbeza. Ada yang pulih selepas empat minggu dan ada juga berlarutan sehingga enam bulan yang dikategorikan sebagai ITP kronik yang sangat jarang berlaku.

“Apabila sudah mencapai tahap kronik, ubat-ubatan yang diberi bertujuan untuk merendahkan fungsi imunisasi supaya tidak melawan platelet di dalam darah seperti ubat steroid dan immunoglobulin.

“Dalam kes yang lebih serius, pemindahan platelet mungkin diperlukan bagi membantu menambah jumlah dan mengurangkan gejala pendarahan.” katanya.
Menurutnya, kebanyakan kes ITP hanya memerlukan pemantauan sahaja daripada ahli perubatan bagi memastikan kandungan platelet meningkat dengan sendiri dan mengelakkan kesan sampingan platelet rendah.

Selepas anak disahkan menghidap ITP, doktor akan menasihatkan ibu bapa supaya mengambil langkah berjaga-jaga dalam keadaan anak mereka mempunyai platelet yang rendah, dengan mengelakkan anak melakukan aktiviti yang boleh menyebabkan kecederaan dan segera ke hospital jika anak terhantuk atau kemalangan kerana berisiko untuk berlaku pendarahan di otak.

Ibu bapa fobia anak pernah hidap ITP

Ujar Dr. Mohammad Iqbal, ibu bapa tidak perlu lagi risau akan potensi anak untuk mendapat ITP selepas disahkan pulih sepenuhnya oleh doktor. Kajian menunjukkan sembilan daripada 10 kes ITP akan pulih sepenuhnya selepas setahun.

“Tidak dinafikan kebanyakan ibu bapa fobia untuk membiarkan anak mereka keluar bermain selepas mendapat ITP dan keadaan ini menjadi cabaran buat ahli perubatan untuk mendidik ibu bapa supaya keluar dari kepompong tersebut kerana boleh menyebabkan kesan jangka masa panjang terhadap sosial kanak-kanak.

“Mereka risau anak-anak mereka boleh cedera jika bermain kasar tetapi sehingga bila mahu mengurung anak di dalam rumah? Ibu bapa harus meletakkan sepenuh kepercayaan kepada doktor jika anak disahkan pulih sepenuhnya dan boleh meneruskan aktiviti harian mereka seperti biasa,” ujarnya.


Saturday, January 30, 2016

Congratulations my dear daughter. She did it again.


Assamualaikum..

Sebagai mana berjanji dalam entry yang lepas, dah janji nak update kerap entry kan.

Memulakan semangat update entry dengan throwback memori meraikan anak daraku cemerlang dalam peperiksaan akhirntahun 2015. Syukur Alhamdulillah, ku panjat kesyukuran padaMu Ya Allah atas doaku dimakbulkan, dia berjaya mengekalkan nombor dalam darjah iaitu tempat pertama di dalam kelas. Sesuatu yang indah buat dia dan mak dia of course.. Hehehe.. Di sebalik kejayaan dia mengekalkan kedudukan dalam kelas, terselit 1001 ujian.. Ye lah kan, tahun 2015, kita di banjiri dengan kepulan kepulan asap jerebu yang sangat menggangu kita di bumi Malaysia. Sehingga sekolah ditutup akibat jerebu yang amat teruk. Kena pulak dengan minggu peperiksaan akhir tahun. Kacau betol.. Sape tak susah hati kan nak lepaskan anak ke sekolah andainya sekolah dibuka tapi keadaan jerebu masih teruk, dengan nak exam lagi. Makin susah hati mak bapak semua.

Tapi Alhamdulillah sangat sangat. Syukur tak terhingga bila jerebu berkurangan, minggu exam yang ditangguhkan kembali berjalan lancar, anakku tidak terkecuali mengambil exam dengan penuh debaran. Sudah la baca buku on and off dek terganggu dengan sekejap sekolah sekejap cuti. Penat mentelaah buku, alih alih esoknya cuti akibat herebu teruk. Memang mencabar tahun 2015 dan peperiksaan. Huhuhu.

Tapi anak dara ku berjaya membuat dan menjawap peperiksaan dengan baik.  Menurut dia lah kan. Budak budak semua jawap boleh aje.. Macam kita dulu exam, bila orang tanya mesti jawap semua boleh.. Hahaha.. 
Yang menjadi kerisauan adalah Bahasa Malaysia (BM), dia mmg agak kurang cekap dengan BM, jadi kerisauan tu lebih tinggi dari biasa. Ku cuba juga mengajar walaupon tidak mahir seperti cikgu BM dia kan.. Ade juga la kuncirahkan ilmu tak seberapa tu, dengan harapan dia serap ke dalam kepala dia. Alhamdulillah, dia boleh menjawab soalan. Ada juga tips dari ku yang boleh di guna pakai. Syukur sangat.



Dan akhirnya penantian tu berakhir bila mendapat keputusan exam dia. Mula mula memang tak meletakkan harapan, yelah kan dengan jerebunya, dengan cuaca panas sangat sangat, dengan sekolah dicutikan, pelbagai dugaan bumi Malaysia.. Mak dia mengharapkan dia dapat top 3 pon dah mencukupi agar tak jatuh sangat dar tahun sebelumnya. 

Ternyata, anak ku memberikan lagi sekali kejutan. Dia mendapat nombor 1 dalam kelas, dan keseluruhan darjah pulak nombor 14, memberangsangkan juga bagiku... Mak dia memang tak menduga.. Mak dia lagi sekali mendapat kejutan besar. Dia berjaya mengekalkan kedudukan dengan markah Matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab tertinggi kelas. Fuuuuh.. Mak dia memang terkejut.. Bahasa Malaysia yang dirisaukan tu pon dapat ditawan dengan baik walaupon tidak tertinggi markahnya tapi cukuplah dia mengekalkan markah A kan. 




Teringat lagi dia tersenyum lebar bila pulang dari sekolah membawa result exam. Yang sebetulnya ku sudah tau keputusan dia sebabnya boleh semak dilaman web SAPS aje kan. Tapi ma dia sengaja merahsiakan biar dia resah sikit lah. Acah seronok pulak dia tidak keruan. Hehehe nakal mak dia kan.. Berbalik pada kisah dia senyum lebar tu, sampai di pintu rumah, dia belom masuk lagi dia dengan girangnya bagitahu dia nombor 1 lagi. Mak dia pon berlakon la sikit, menjerit seronok.. Padahal mak dia dah tahu 2-3 hari sebelum tu. Hehehe.. Bila dah petang sikit baru ku beritahu yang result dia mak dia dah tahu sebelum dia ambil result kat sekolah. Dia punyalah geram sebab sengaja bagi dia tak keruan katanya.. Mak dia memang sengajalah kan, biarlah dia tahu dari cikgunya baru lah seronok lebih sikit.. 


Dan acara penghujung tahun adalah Hari  Anugerah. Dia memang teruja untuk mengambil anugerah tahun 2015, dia kata seronok naik pentas bila nama disebut dan cikgu meraikan dia.. Yelah kan sape tak gembira bila diraikan.. Ku nasihatkan dia, supaya lebih fokus di tahun 5 nanti. Sebabnya dia dah masuk pra UPSR, jadi tak bole leka dan tak fokus. Dengan format UPSR ditukar, menggunakan format KSSR dan Bahasa Inggeris dipecahkan menjadi 2 kertas seperti Bahasa Malaysia. Jadi kena lebih berusaha untuk memahami konsep baru KSSR dalam UPSR kan.. Dia memberikan janji, cuba lebih giat dan fokus lebih lagi. Tapi biasalahkan namanya budak, akal untuk bermain senantiasa ada, jadi mak dan ayah dia harus sama sama memberikan sokongan dan dorongan untuk dia lebih fokus dan kekal fokus.. Insya Allah semoga dimudahkan urusan anakku. 

Terima kasih Ya Allah atas pemberianMu yang sangatku hargai ini. Terima kasih Ya Allah.

Friday, April 24, 2015

Bahaya katarak pada kanak-kanak Boleh menyebabkan buta, rencat tumbesaran otak


Assalamualaikum...


Lama tak bersiaran, sejak dua menjak ni kurang mood nak menulis dan berkongsi bahan bacaan. entah kemana perginya mood pon tak tau.. jangan kan nak berkongsi bahan bacaan, membaca pon tak sekarang ni..... sighh...

hari ini cuba la update sesuatu untuk kita semua membaca dan berkongsi ilmu ya.....

credit kepada Utusan Online. Jom baca artikel mengenai bahaya katarak kepada kanak-kanak.


Bahaya katarak pada kanak-kanak

Boleh menyebabkan buta, rencat tumbesaran otak


  3  0 Google +0

- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/bahaya-katarak-pada-kanak-kanak-1.83941#sthash.TJjYBgcY.dpuf



Katarak atau penyakit selaput mata ialah keadaan di mana terdapat tompok-tompok pada kanta yang dikatakan kelegapan menyebabkan gangguan kepada penglihatan manusia. Ini kerana, kanta mata bersifat lut sinar dan apabila terdapat keadaan keruh menyebabkan berlakunya gangguan penglihatan.

Lazimnya, katarak mata sinonim berlaku kepada golongan dewasa. Namun katarak juga boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang biasa dikenali sebagai katarak kongenital.

Katarak tersebut berlaku sejak bayi berada di dalam kandungan ibunya apabila pembentukan kanta mata tidak normal iaitu kabur dan tidak lut sinar.

Penyakit ini boleh berlaku sama ada kepada perempuan atau lelaki dan boleh berlaku pada satu mata atau kedua-dua belah mata kanak-kanak.

Apa yang dibimbangkan, katarak yang berlaku kepada kanak-kanak memberi kesan yang lebih buruk berbanding orang dewasa atau warga emas.

Ini kerana, kejadian katarak menyebabkan perkembangan otak kanak-kanak terganggu kerana usia dari lahir hingga dua tahun pertama, merupakan tempoh masa terbaik untuk perkembangan mata dan otak kanak-kanak.

Masalah katarak tidak boleh diambil mudah kerana apa sahaja yang dilihat kanak-kanak secara visual akan diproses ke otak bagi membolehkan visual itu dibaca dan diterjemahkan.

Namun, jika proses berkenaan tidak dapat dibuat ekoran mereka mengalami masalah penglihatan, ini akan menyebabkan otak gagal memproses imej tersebut serasi dengan keupayaan mata yang normal.

Menurut Konsultan Oftamologi KPJ Kajang, Dr. Saira Fairma Ismail Mokhtar, keadaan itu menyebabkan kejadian lazy eye atau mata malas kerana mata penghidap katarak tidak boleh melihat objek dengan jelas.

Ini sekali gus mengganggu proses penglihatan yang membawa kepada ketidakmampuan mengenal huruf, membaca dan menulis.

Katanya, lebih membimbangkan, keadaan mata malas itu boleh menyebabkan kecacatan mata kekal seperti rabun dan buta serta gangguan pembelajaran.

Tambah beliau, keadaan katarak terbahagi kepada tiga jenis kejadian iaitu katarak kongenital (ketika dilahirkan), katarak developmental (perkembangan tumbesaran) dan katarak trauma (disebabkan kejadian kemalangan).

“Lazimnya kejadian katarak mata berlaku kepada golongan dewasa, namun keadaannya berbeza kerana katarak yang berlaku kepada golongan berkenaan disebabkan faktor usia dan penuaan.

“Katarak pada kanak-kanak pula disebabkan daripada pelbagai punca antaranya, mempunyai sejarah keluarga katarak atau disebabkan jangkitan kuman semasa dalam kandungan seperti rubella, syphilis, toxoplasmosis dan herpes.

“Penghidap sindrom Down juga berisiko mendapat katarak kongenital selain disebabkan kejadian penderaan, kemalangan di bahagian mata, hentakan ketika terjatuh, gegaran di sekitar kawasan mata dan kecederaan ketika kelahiran misalnya penggunaan forseps yang mungkin tertekan pada bahagian mata bayi.

“Jika kejadian ini berlaku sama ada di awal kelahiran atau dua bulan selepas kelahiran, ibu bapa perlu terus merujuk pakar mata dengan segera agar rawatan dapat diberikan dengan cepat bagi mengelakkan kesan yang lebih buruk,” katanya.

Menurut Dr. Saira Fairma, katarak boleh dirawat dengan syarat masalah itu perlu dikesan awal serta mendapat rawatan dengan segera, jika tidak masalah katarak menjadi lebih buruk pada usia kanak-kanak melepasi dua tahun iaitu pada tahap kematangan maksimum mata.


Kaedah rawatannya pula adalah melalui pembedahan kerana katarak tidak dapat dirawat melalui ubat-ubatan biasa serta tradisional.

“Bagi rawatan peringkat awal, kanak-kanak itu perlu menjalani pemeriksaan secara menyeluruh bagi memastikan tahap penglihatan mereka. Jika kita dapati mereka mempunyai masalah katarak yang serius, kita akan menyarankan pembedahan.


“Jika katarak dikesan ketika masih bayi, pembedahan perlu dilakukan seawal usia bayi berkenaan dua bulan terutama bagi katarak yang mengganggu paksi penglihatan. Usia dua bulan adalah usia yang paling baik untuk pembedahan dilakukan kerana selalunya kematangan mata berlaku secara maksimum sehingga umur kanak-kanak itu dua tahun.

“Ini bermakna, jika pembedahan dibuat ketika itu, potensi untuk kematangan untuk pulih adalah tinggi dan risiko mata untuk mendapat gangguan penglihatan adalah rendah,” ujarnya.



Jelas beliau, dalam kes tertentu, ada juga katarak yang berlaku gagal dikesan ibu bapa sehingga umur kanak-kanak berkenaan mencecah dua tahun.

Begitu pun, belum terlambat untuk masalah katarak dirawat kerana kematangan mata kanak-kanak masih boleh berlaku sehingga usia lapan tahun, cuma mendapat rawatan lebih awal adalah lebih baik bagi mengelakkan risiko buta.

“Bila lambat buat pembedahan, mata kanak-kanak itu telah ada sindrom mata malas, jadi walaupun katarak itu sudah dibuang mata mereka tetap gagal melihat dengan jelas.

“Untuk pembedahan katarak kita ada tiga pilihan, pertama, dengan memasukkan kanta mata tiruan yang mempunyai keupayaan melihat seperti kuasa mata biasa bagi menggantikan kanta mata asli yang telah menjadi keruh.

“Pilihan kedua ialah menggunakan cermin mata bagi menggantikan fungsi kanta mata asal, tetapi biasanya cermin mata itu sangat tebal kerana mata telah tiada kanta.

“Pilihan ketiga pula, dengan menggunakan kanta sentuh. Kaedah ini lebih sesuai memandangkan bola mata serta kuasa pada kanta mata bayi berbeza dan akan berubah semasa bayi itu membesar. Kanta sentuh tersebut perlu ditukar mengikut perubahan kuasa mata bayi dan keperluan penglihatan mereka, menjadikannya ideal sementara menunggu  usia yang sesuai untuk memasukkan kanta tiruan,” jelasnya.

Begitu pu, jelas Dr. Saira Fairma, pilihan rawatan pertama iaitu pembedahan memasukkan kanta tiruan adalah paling disyorkan dan terbaik untuk kanak-kanak.Lazimnya katarak yang telah dibuang tidak akan berulang.

Tambah beliau, kanak-kanak yang telah menjalani pembedahan katarak perlu mendapat rawatan lanjut oleh pakar mata dari masa ke semasa bagi memastikan perkembangan mata mereka baik selepas melalui proses pembedahan.


Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa agar lebih peka kepada keadaan mata anak-anak bagi membolehkan katarak dikesan dengan lebih awal kerana pengesanan awal dapat menyelamatkan penglihatan anak mereka.

Ini kerana jelasnya, mengikut statistik, dalam 10,000 kelahiran, terdapat tiga hingga empat bayi di negara ini yang mungkin mengalami katarak yang berpotensi menyebabkan kebutaan.


“Kegagalan ibu bapa mengesan kehadiran katarak pada anak-anak mereka pada usia awal boleh menyebabkan mereka mengalami kebutaan.

“Justeru, ibu bapa perlu peka dengan anak-anak mereka kerana kelewatan mereka mengesan atau mendapatkan rawatan sangat merugikan kanak-kanak itu.

“Ramai beranggapan operasi pembedahan yang dilakukan ketika bayi berusia dua bulan membahayakan bayi berkenaan. Itu tidak benar sama sekali, sebaliknya adalah masa terbaik untuk pembedahan dilakukan memandangkan pada usia itu bayi mula mengenal dan meneroka, jika penglihatan mereka terganggu ketika usia itu, maka seluruh perkembangan otak mereka juga terjejas,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/bahaya-katarak-pada-kanak-kanak-1.83941#sthash.TJjYBgcY.dpuf

Thursday, November 20, 2014

Congratulations My Dear Daughter



Assalamualaikum.

Lamanya tak update apa-apa dalam blog ni. Sejak kehilangan ayahanda tersayang, mood terus hilang. Lama mencari kekuatan diri. Lama mencari kerajinan diri.. Mungkin lepas ni, akan rajin kembali update blog.. Insya Allah..

Tapi hari ini, rasa nak update blog ni sebab ada sesuatu yang ingin ku dedikasikan. Ku ingin dedikasikan untuk anakku yang sulung, a.k.a Baby a.k.a Kakak. 


Dedikasi ini khas untuk anakku yang mendapat result cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun bagi penggal 2014. Dia mendapat nombor 1 dalam kelas dia. Keseluruhan dalam darjah pulak dapat nombor 14. Insya Allah tahun 2015, tahun 4 nanti dia tukar kelas dari kelas kedua ke kelas pertama. 


Bercerita tentang subjek dia pulak semua memberangsangkan.. Subjek teras dia semua A, yakni 5A. Alhamdulillah.... Hanya subjek dunia seni visual(lukisan) dapat C. Ini salah diriku lah sebab mak dia pandai sangat suruh buat lukisan chop-chop guna kentang, karot, bendi, timun bagai. Ingatkan senang, chop aje atas kertas. Entah mcmner la lukisan dia sampai dpt C. Tapi tak pelah, subjek itu tak termasuk dalam subjek teras, jadi tak risau sangat. Lain kali ada periksa lagi, jangan buat lukis melukis dah, silalah pilih yang buat kraftangan ke, topeng ke, gelang ke.. Pengajaran untuk diri mak dia ni...

Berbalik kepada keputusan peperiksaan akhir tahun anakku itu. Sebenar-benarnya keputusan dia sangat memeranjatkan diriku ini. Mak dia tak sangka dengan keputusan tu, mak dia mengharapkan dia dapat top 5 aje. Sebaliknya dia memberikan mak dia ala-ala heart attack uolls! Hahahaha.. Melompat dia bila ku semak keputusan dia dalam Laman web SAPS tu. Dia pon tak sangka. Tersenyum lebar dia dibuatnya. Mak dia pon lagi lah tersenyum lebar kan.. Sungguh ku tak sangka dia akan cemerlang macam tu, haaa pengajaran lagi, jangan pandang rendah ye.. Mak mintak maaf ye nak... 


Untuk anak mama yang comel, sekalung tahniah atas pencapaian yang sangat baik. Dapat naik pentas lagi semasa hari Penanugerahan Kecemerlangan merupakan detik yang indah kan. 
Mama doakan kakak dapat kekalkan prestasi belajar tu. Tahun depan akan sekelas dengan pelajar yang semua hebat-hebat. Mama tak harapkan dapat nombor satu, jikalau dapat syukur alhamdulillah.... Tapi tak dapat nombor satu tak bermakna tak pandai, yang penting dapat faham dan dapat tangkap semua ilmu yang cikgu ajar tu yang lagi penting. Time UPSR nanti takde nombor-nombor dah, semua markah A yang jadi taruhan. Cukuplah kalau kakak dapatkan kekalkan markah A tu utuk semua subjek. Itu yang lebih memberi maknanya sebenarnya. 



Mama akan terus dan terus memberikan nasihat, support, marah(ni tak boleh elaklah..hihihi) untuk kakak ye. Mama akan terus bantu mana yang mama tahu sebab mama ni pon bukan pandai sangat. Mama pon tak penah dapat nombor 1! Paling best top 10 aje sayangku.. Jadi, anak mama lagi pandai dari mama ni tau... 

Tahniah dari mama. semoga Kakak terus berusaha dan berusaha ya sayang. 

Mama loves you so much!! 

Wednesday, April 30, 2014

Batuk Pagi dan Malam

Error matching blog to blogger entry. If you are the owner of this blog, please check that there is no typo in your blog address and that you have pasted the code from the Add Ads page correctly (file:///var/mobile/Applications/3F7EDC49-3C6E-464A-A740-9BB5CB0A9827/Documents/Blogger/)


Asslamualaikum..

Hari ini ada artikel yang sangat bagus untuk para ibu bapa seperti ai ni, sebab artikel ni pasal asma dan kanak-kanak.

Batuk di kalangan kanak-kanak ni ada beberapa jenis. Ada yang batuk biasa, ada juga batuk yang disebabkan asma..

Jom baca artikel dari Utusan Malaysia ni.. Bagus sangat uolls...


PERASAAN anda seringkali terganggu kerana anak yang berusia dua tahun sering mengalami batuk yang berpanjangan pada waktu pagi.

Kemudian, apabila malam menjelma batuknya datang kembali, tambahan jika keadaan cuaca sedikit dingin dan sejuk batuknya semakin menjadi-jadi.

Jika seringkali berhadapan dengan situasi ini, berwaspada dan ambil tindakan segera untuk membawa anak berjumpa dengan doktor.

Simptom-simptom awal yang ditunjukkan itu, besar kemungkinan anak menghidap penyakit asma.

Menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi, Pusat Perubatan Sime Darby ParkCity Sdn. Bhd., Dr. Salehuddin Samsudin, asma adalah penyakit kronik yang berlaku akibat keradangan disebabkan saluran pada paru-paru membengkak dan sempit.

"Asma terjadi apabila saluran pernafasan menjadi semakin sempit dan diselaputi oleh lendir-lendir. Situasi ini menyebabkan berlaku sesak nafas dan semput.

"Penyempitan pada saluran pernafasan kanak-kanak penghidap asma boleh berlaku secara tiba-tiba dan berulang kali, menyebabkan kanak-kanak tersebut menghadapi kesukaran untuk bernafas," katanya.

Menurut Dr. Salehuddin, asma merupakan penyakit kronik yang menyerang kanak-kanak berumur setahun ke bawah sehingga mencapai umur peringkat dewasa.

Kajian juga menunjukkan sebanyak 10 hingga 20 peratus kanak-kanak yang masih bersekolah diserang penyakit tersebut.

Begitupun beliau menambah, ia adalah penyakit yang susah dikenalpasti pada kanak-kanak yang berumur kurang dari dua hingga tiga tahun berikutan simptom yang seakan dengan penyakit lain.

Ini kerana, dalam lingkungan umur sebegini kanak-kanak tersebut mudah terdedah dengan penyakit seperti jangkitan bakteria dan kuman pada paru-paru.

"Berlainan pula dengan individu yang mencapai umur dewasa, kekerapan diserang asma semakin berkurang berikutan paru-paru yang semakin membesar.

"Keadaan ini membantu mengatasi masalah kesempitan saluran pernafasan agar menjadi lebih baik lancar," katanya.

Menurut Dr. Salehuddin lagi, penyakit asma kerap dikaitkan dengan faktor genetik dan persekitaran.

Mereka yang dilahirkan dengan sejarah yang mempunyai masalah asma lebih berisiko mendapat penyakit ini.

Potensi mereka menghidap asma juga lebih tinggi jika keluarga mempunyai masalah kesihatan seperti alahan dan ekzema.

"Persekitaran yang menyebabkan mereka selalu terdedah dengan asap rokok, debu, keadaan cuaca sejuk, alahan dengan debunga dan jangkitan kuman pada paru-paru, akan meningkatkan kadar diserang asma.

"Seeloknya apabila mengetahui anak menghidap asma elakkan mereka daripada berhadapan dengan keadaan ini yang boleh meningkatkan potensi diserang penyakit tersebut," katanya lagi.

Ujar Dr. Salehuddin lagi, secara jelasnya penyakit asma menyebabkan kanak-kanak akan mengalami batuk berterusan, nafas berbunyi dan semput.

Biasanya batuk yang dialami kanak-kanak itu adalah basah dan berkahak.

"Bagaimanapun, terdapat sebahagian daripada kanak-kanak yang tidak mempunyai tanda-tanda tersebut. Ini akan menyukarkan diagnosis dan kebanyakan kanak-kanak ini akan mengalami batuk berterusan yang tidak 
baik walaupun sudah makan pelbagai jenis ubat.

"Sekiranya ada juga simptom alahan seperti ruam, resdung atau selesema awal pagi, ia lebih meninggikan lagi kemungkinan asma atau lelah.

"Kanak-kanak yang mempunyai masalah asma senang mengalami jangkitan kuman pada paru-parunya.

"Kanak-kanak yang mempunyai berat badan berlebihan dan selalu mengeluh penat dan semput jika melakukan aktiviti luar seperti bersukan juga berpotensi menghidap asma," katanya.

Ujarnya lagi, kanak-kanak yang diserang asma akan terjejas corak kehidupan mereka dan perlu melalui kesan jangka masa panjang.

Apabila kanak-kanak ini selalu mengalami sesak nafas mereka akan kerap dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Keadaan ini akan mengganggu dan membantutkan proses pembelajaran mereka.

"Sekiranya sejak kecil mereka sudah menghidap asma, keadaan ini mengganggu proses tumbesaran dan fungsi paru-paru kerana tidak dapat membesar dengan sempurna.

"Apabila pesakit ini meningkat usia tahap kecergasan dan stamina badan akan berkurangan menyebabkan mereka mudah terdedah kepada penyakit berkaitan paru-paru di usia tua," katanya.

Dr. Salehuddin berkata, tiada rawatan khusus yang digunakan untuk memulihkan penyakit asma, tetapi boleh diatasi dengan menggunakan kaedah rawatan yang bersesuaian.

"Kita boleh atasi sebahagian daripada simptom asma, tetapi untuk mengubatinya agar kembali normal dan penyakit tidak berulang agak susah kerana penyakit asma berkaitan dengan genetik. Begitupun, faktor persekitaran boleh dielakkan, di samping menggunakan rawatan yang bersesuaian.

"Antara rawatan yang boleh digunakan adalah melalui ubat yang dimakan atau menggunakan pam oksigen. 

Malah kebanyak pesakit asma akan pulih dengan sendiri apabila mereka besar atau mencapai peringkat remaja.

"Ada dua kategori ubat ketika memberi rawatan kepada kanak-kanak menghidap asma iaitu ubat-ubatan yang mencegah kanak-kanak daripada serangan asma dan ubat-ubatan yang mengurangkan simptom asma," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20140424/kn_01/Batuk-waktu-pagi-dan-malam#ixzz30MP0ilLo
© Utusan Melayu (M) Bhd