heartbeat

Showing posts with label child. Show all posts
Showing posts with label child. Show all posts

Tuesday, February 23, 2016

Awasi gusi, hidung anak berdarah



Assalamualaikum semua..

Hari ini nak kongsikan satu artikel berkenaan dengan anak anak kesayangan kita. Artikel ni dipetik dari Utusan Malaysia Online. Bagus untuk kita semua ketahui dan ambil berat kan. Yelah sekurangnya kita dah ada sedikit ilmu yang berkaitan kan.

Jom kita baca artikel dibawah ni. Kredit kepada Utusan Malaysia Online, hasil penulisan daripada tak dapat dipaastikan, takde pulak nama penulisnya. Tapi tak pe, ape pon terima kasih pada penulis Utusan Online ni, bagus sangat info dia beri kat kita semua ni kan.



Awasi gusi, hidung anak berdarah

Pendarahan tanpa henti petanda anak hidap ITP


Jika anak anda pernah mengalami keadaan gusi dan hidung berdarah tanpa henti, atau mempunyai gejala seperti lebam-lebam dan ruam atau bintik merah pada sesuatu anggota badan, segeralah membawa mereka berjumpa doktor kerana anak anda mungkin menghidap penyakit ITP atau dalam bahasa klinikalnya, Idiopathic Thrombocytopenic Purpura.

Umumnya, ITP adalah penyakit yang mempunyai kaitan dengan darah iaitu berlakunya kecelaruan dalam sistem ketahanan atau imun badan. Kekurangan platelet dalam darah disebabkan badan menghasilkan antibodi untuk menyerang platelet tersebut (auto-imun) yang dianggap sebagai benda asing.

Menurut Perunding Paediatrik dan Neonatologi Hospital KPJ Damansara, Dr. Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar, sistem imun pesakit akan sentiasa memerangi dan memusnahkan platelet sehingga jumlahnya dalam badan pesakit menjadi terlalu kecil.
Katanya, punca berlakunya ITP masih tidak diketahui dan dalam beberapa kes, sekiranya tidak dirawat dengan kadar segera kiraan platelet yang rendah boleh menyebabkan pendarahan yang teruk pada bahagian otak dan usus.

“Secara dasarnya, darah mempunyai tiga sel iaitu sel darah merah untuk menghantar oksigen, sel darah putih berfungsi untuk sistem imunisasi badan, dan sel platelet mempunyai fungsi untuk membekukan darah jika berlaku pendarahan pada anggota badan.

“Apabila darah kekurangan platelet akan menyebabkan darah sukar untuk membeku dan berlakunya pendarahan tanpa henti terutama pada bahagian hidung atau gusi. Penghidap juga mudah mendapat lebam pada anggota badan kerana keadaan badan mereka yang ‘rapuh’ walaupun disentuh perlahan, selain ruam-ruam merah kelihatan di sesetengah tempat pada badan mereka.

“Ada banyak sebab berlakunya platelet rendah seperti hamil, demam denggi, penyakit leukimia, dan ITP juga adalah salah satu sebabnya,” katanya ketika ditemui di Hospital KPJ Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Ujarnya, seseorang dikatakan menghidap ITP apabila jumlah platelet dalam darahnya kurang daripada 150,000 bagi setiap mikro liter. Jumlah normal platelet ialah antara 150,000 hingga 400,000 semikro liter.

Seseorang pesakit dikategorikan dalam kumpulan serius jika jumlah plateletnya kurang daripada 20,000 semikro liter dan jumlah yang sedikit ini mampu untuk menghalang darah daripada membeku.

Beliau pernah mengendalikan kes kiraan platelet pesakitnya adalah 0 di mana pesakit memerlukan pemantauan segera bagi meningkatkan kiraan platelet.
Ujarnya, oleh kerana ITP tidak mempunyai tanda dan gejala yang nyata, penyakit ini hanya boleh dikesan dengan melakukan ujian darah dan mengambil sampel sel daripada sumsum tulang.

Berbeza dengan hemofilia

Walaupun ITP dan hemofilia mempunyai keadaan yang hampir sama, iaitu pendarahan berlaku tanpa henti kerana kegagalan proses pembekuan darah, namun kedua-duanya adalah penyakit berbeza.

“Untuk membekukan darah dengan sempurna, sistem badan memerlukan dua keadaan iaitu platelet dan ‘faktor pembekuan’.

“Hemofilia berlaku disebabkan tiadanya faktor untuk melakukan proses membekukan darah, manakala ITP pula berlaku disebabkan kekurangan platelet. Jika pesakit mempunyai masalah kepada kedua-duanya, mungkin dia menghidap leukimia,” katanya.
ITP adalah penyakit yang jarang ditemui dengan kelaziman 1 kes bagi setiap 100,000 orang di dunia, namun di Malaysia jumlah sebenar pesakit tidak diketahui, tetapi kebanyakan pesakit adalah kanak-kanak.

Tambah Dr. Mohammad Iqbal lagi, ITP berlaku secara spontan dan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah mudah mengalaminya terutama selepas jangkitan virus, namun kebanyakannya dikelaskan sebagai IPT akut, iaitu hanya berlaku pada ketika itu dan tidak berlanjutan sehingga dewasa.

Pada kebanyakan kanak-kanak, ITP akan hilang sendiri dalam masa empat hingga enam minggu.

“Hampir 80 peratus kes, penghidap akan pulih dengan sendiri tanpa memerlukan pengubatan, namun reaksi badan pesakit terhadap keadaan kekurangan platelet ini berbeza. Ada yang pulih selepas empat minggu dan ada juga berlarutan sehingga enam bulan yang dikategorikan sebagai ITP kronik yang sangat jarang berlaku.

“Apabila sudah mencapai tahap kronik, ubat-ubatan yang diberi bertujuan untuk merendahkan fungsi imunisasi supaya tidak melawan platelet di dalam darah seperti ubat steroid dan immunoglobulin.

“Dalam kes yang lebih serius, pemindahan platelet mungkin diperlukan bagi membantu menambah jumlah dan mengurangkan gejala pendarahan.” katanya.
Menurutnya, kebanyakan kes ITP hanya memerlukan pemantauan sahaja daripada ahli perubatan bagi memastikan kandungan platelet meningkat dengan sendiri dan mengelakkan kesan sampingan platelet rendah.

Selepas anak disahkan menghidap ITP, doktor akan menasihatkan ibu bapa supaya mengambil langkah berjaga-jaga dalam keadaan anak mereka mempunyai platelet yang rendah, dengan mengelakkan anak melakukan aktiviti yang boleh menyebabkan kecederaan dan segera ke hospital jika anak terhantuk atau kemalangan kerana berisiko untuk berlaku pendarahan di otak.

Ibu bapa fobia anak pernah hidap ITP

Ujar Dr. Mohammad Iqbal, ibu bapa tidak perlu lagi risau akan potensi anak untuk mendapat ITP selepas disahkan pulih sepenuhnya oleh doktor. Kajian menunjukkan sembilan daripada 10 kes ITP akan pulih sepenuhnya selepas setahun.

“Tidak dinafikan kebanyakan ibu bapa fobia untuk membiarkan anak mereka keluar bermain selepas mendapat ITP dan keadaan ini menjadi cabaran buat ahli perubatan untuk mendidik ibu bapa supaya keluar dari kepompong tersebut kerana boleh menyebabkan kesan jangka masa panjang terhadap sosial kanak-kanak.

“Mereka risau anak-anak mereka boleh cedera jika bermain kasar tetapi sehingga bila mahu mengurung anak di dalam rumah? Ibu bapa harus meletakkan sepenuh kepercayaan kepada doktor jika anak disahkan pulih sepenuhnya dan boleh meneruskan aktiviti harian mereka seperti biasa,” ujarnya.


Friday, April 24, 2015

Bahaya katarak pada kanak-kanak Boleh menyebabkan buta, rencat tumbesaran otak


Assalamualaikum...


Lama tak bersiaran, sejak dua menjak ni kurang mood nak menulis dan berkongsi bahan bacaan. entah kemana perginya mood pon tak tau.. jangan kan nak berkongsi bahan bacaan, membaca pon tak sekarang ni..... sighh...

hari ini cuba la update sesuatu untuk kita semua membaca dan berkongsi ilmu ya.....

credit kepada Utusan Online. Jom baca artikel mengenai bahaya katarak kepada kanak-kanak.


Bahaya katarak pada kanak-kanak

Boleh menyebabkan buta, rencat tumbesaran otak


  3  0 Google +0

- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/bahaya-katarak-pada-kanak-kanak-1.83941#sthash.TJjYBgcY.dpuf



Katarak atau penyakit selaput mata ialah keadaan di mana terdapat tompok-tompok pada kanta yang dikatakan kelegapan menyebabkan gangguan kepada penglihatan manusia. Ini kerana, kanta mata bersifat lut sinar dan apabila terdapat keadaan keruh menyebabkan berlakunya gangguan penglihatan.

Lazimnya, katarak mata sinonim berlaku kepada golongan dewasa. Namun katarak juga boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang biasa dikenali sebagai katarak kongenital.

Katarak tersebut berlaku sejak bayi berada di dalam kandungan ibunya apabila pembentukan kanta mata tidak normal iaitu kabur dan tidak lut sinar.

Penyakit ini boleh berlaku sama ada kepada perempuan atau lelaki dan boleh berlaku pada satu mata atau kedua-dua belah mata kanak-kanak.

Apa yang dibimbangkan, katarak yang berlaku kepada kanak-kanak memberi kesan yang lebih buruk berbanding orang dewasa atau warga emas.

Ini kerana, kejadian katarak menyebabkan perkembangan otak kanak-kanak terganggu kerana usia dari lahir hingga dua tahun pertama, merupakan tempoh masa terbaik untuk perkembangan mata dan otak kanak-kanak.

Masalah katarak tidak boleh diambil mudah kerana apa sahaja yang dilihat kanak-kanak secara visual akan diproses ke otak bagi membolehkan visual itu dibaca dan diterjemahkan.

Namun, jika proses berkenaan tidak dapat dibuat ekoran mereka mengalami masalah penglihatan, ini akan menyebabkan otak gagal memproses imej tersebut serasi dengan keupayaan mata yang normal.

Menurut Konsultan Oftamologi KPJ Kajang, Dr. Saira Fairma Ismail Mokhtar, keadaan itu menyebabkan kejadian lazy eye atau mata malas kerana mata penghidap katarak tidak boleh melihat objek dengan jelas.

Ini sekali gus mengganggu proses penglihatan yang membawa kepada ketidakmampuan mengenal huruf, membaca dan menulis.

Katanya, lebih membimbangkan, keadaan mata malas itu boleh menyebabkan kecacatan mata kekal seperti rabun dan buta serta gangguan pembelajaran.

Tambah beliau, keadaan katarak terbahagi kepada tiga jenis kejadian iaitu katarak kongenital (ketika dilahirkan), katarak developmental (perkembangan tumbesaran) dan katarak trauma (disebabkan kejadian kemalangan).

“Lazimnya kejadian katarak mata berlaku kepada golongan dewasa, namun keadaannya berbeza kerana katarak yang berlaku kepada golongan berkenaan disebabkan faktor usia dan penuaan.

“Katarak pada kanak-kanak pula disebabkan daripada pelbagai punca antaranya, mempunyai sejarah keluarga katarak atau disebabkan jangkitan kuman semasa dalam kandungan seperti rubella, syphilis, toxoplasmosis dan herpes.

“Penghidap sindrom Down juga berisiko mendapat katarak kongenital selain disebabkan kejadian penderaan, kemalangan di bahagian mata, hentakan ketika terjatuh, gegaran di sekitar kawasan mata dan kecederaan ketika kelahiran misalnya penggunaan forseps yang mungkin tertekan pada bahagian mata bayi.

“Jika kejadian ini berlaku sama ada di awal kelahiran atau dua bulan selepas kelahiran, ibu bapa perlu terus merujuk pakar mata dengan segera agar rawatan dapat diberikan dengan cepat bagi mengelakkan kesan yang lebih buruk,” katanya.

Menurut Dr. Saira Fairma, katarak boleh dirawat dengan syarat masalah itu perlu dikesan awal serta mendapat rawatan dengan segera, jika tidak masalah katarak menjadi lebih buruk pada usia kanak-kanak melepasi dua tahun iaitu pada tahap kematangan maksimum mata.


Kaedah rawatannya pula adalah melalui pembedahan kerana katarak tidak dapat dirawat melalui ubat-ubatan biasa serta tradisional.

“Bagi rawatan peringkat awal, kanak-kanak itu perlu menjalani pemeriksaan secara menyeluruh bagi memastikan tahap penglihatan mereka. Jika kita dapati mereka mempunyai masalah katarak yang serius, kita akan menyarankan pembedahan.


“Jika katarak dikesan ketika masih bayi, pembedahan perlu dilakukan seawal usia bayi berkenaan dua bulan terutama bagi katarak yang mengganggu paksi penglihatan. Usia dua bulan adalah usia yang paling baik untuk pembedahan dilakukan kerana selalunya kematangan mata berlaku secara maksimum sehingga umur kanak-kanak itu dua tahun.

“Ini bermakna, jika pembedahan dibuat ketika itu, potensi untuk kematangan untuk pulih adalah tinggi dan risiko mata untuk mendapat gangguan penglihatan adalah rendah,” ujarnya.



Jelas beliau, dalam kes tertentu, ada juga katarak yang berlaku gagal dikesan ibu bapa sehingga umur kanak-kanak berkenaan mencecah dua tahun.

Begitu pun, belum terlambat untuk masalah katarak dirawat kerana kematangan mata kanak-kanak masih boleh berlaku sehingga usia lapan tahun, cuma mendapat rawatan lebih awal adalah lebih baik bagi mengelakkan risiko buta.

“Bila lambat buat pembedahan, mata kanak-kanak itu telah ada sindrom mata malas, jadi walaupun katarak itu sudah dibuang mata mereka tetap gagal melihat dengan jelas.

“Untuk pembedahan katarak kita ada tiga pilihan, pertama, dengan memasukkan kanta mata tiruan yang mempunyai keupayaan melihat seperti kuasa mata biasa bagi menggantikan kanta mata asli yang telah menjadi keruh.

“Pilihan kedua ialah menggunakan cermin mata bagi menggantikan fungsi kanta mata asal, tetapi biasanya cermin mata itu sangat tebal kerana mata telah tiada kanta.

“Pilihan ketiga pula, dengan menggunakan kanta sentuh. Kaedah ini lebih sesuai memandangkan bola mata serta kuasa pada kanta mata bayi berbeza dan akan berubah semasa bayi itu membesar. Kanta sentuh tersebut perlu ditukar mengikut perubahan kuasa mata bayi dan keperluan penglihatan mereka, menjadikannya ideal sementara menunggu  usia yang sesuai untuk memasukkan kanta tiruan,” jelasnya.

Begitu pu, jelas Dr. Saira Fairma, pilihan rawatan pertama iaitu pembedahan memasukkan kanta tiruan adalah paling disyorkan dan terbaik untuk kanak-kanak.Lazimnya katarak yang telah dibuang tidak akan berulang.

Tambah beliau, kanak-kanak yang telah menjalani pembedahan katarak perlu mendapat rawatan lanjut oleh pakar mata dari masa ke semasa bagi memastikan perkembangan mata mereka baik selepas melalui proses pembedahan.


Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa agar lebih peka kepada keadaan mata anak-anak bagi membolehkan katarak dikesan dengan lebih awal kerana pengesanan awal dapat menyelamatkan penglihatan anak mereka.

Ini kerana jelasnya, mengikut statistik, dalam 10,000 kelahiran, terdapat tiga hingga empat bayi di negara ini yang mungkin mengalami katarak yang berpotensi menyebabkan kebutaan.


“Kegagalan ibu bapa mengesan kehadiran katarak pada anak-anak mereka pada usia awal boleh menyebabkan mereka mengalami kebutaan.

“Justeru, ibu bapa perlu peka dengan anak-anak mereka kerana kelewatan mereka mengesan atau mendapatkan rawatan sangat merugikan kanak-kanak itu.

“Ramai beranggapan operasi pembedahan yang dilakukan ketika bayi berusia dua bulan membahayakan bayi berkenaan. Itu tidak benar sama sekali, sebaliknya adalah masa terbaik untuk pembedahan dilakukan memandangkan pada usia itu bayi mula mengenal dan meneroka, jika penglihatan mereka terganggu ketika usia itu, maka seluruh perkembangan otak mereka juga terjejas,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/bahaya-katarak-pada-kanak-kanak-1.83941#sthash.TJjYBgcY.dpuf

Wednesday, April 30, 2014

Batuk Pagi dan Malam

Error matching blog to blogger entry. If you are the owner of this blog, please check that there is no typo in your blog address and that you have pasted the code from the Add Ads page correctly (file:///var/mobile/Applications/3F7EDC49-3C6E-464A-A740-9BB5CB0A9827/Documents/Blogger/)


Asslamualaikum..

Hari ini ada artikel yang sangat bagus untuk para ibu bapa seperti ai ni, sebab artikel ni pasal asma dan kanak-kanak.

Batuk di kalangan kanak-kanak ni ada beberapa jenis. Ada yang batuk biasa, ada juga batuk yang disebabkan asma..

Jom baca artikel dari Utusan Malaysia ni.. Bagus sangat uolls...


PERASAAN anda seringkali terganggu kerana anak yang berusia dua tahun sering mengalami batuk yang berpanjangan pada waktu pagi.

Kemudian, apabila malam menjelma batuknya datang kembali, tambahan jika keadaan cuaca sedikit dingin dan sejuk batuknya semakin menjadi-jadi.

Jika seringkali berhadapan dengan situasi ini, berwaspada dan ambil tindakan segera untuk membawa anak berjumpa dengan doktor.

Simptom-simptom awal yang ditunjukkan itu, besar kemungkinan anak menghidap penyakit asma.

Menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi, Pusat Perubatan Sime Darby ParkCity Sdn. Bhd., Dr. Salehuddin Samsudin, asma adalah penyakit kronik yang berlaku akibat keradangan disebabkan saluran pada paru-paru membengkak dan sempit.

"Asma terjadi apabila saluran pernafasan menjadi semakin sempit dan diselaputi oleh lendir-lendir. Situasi ini menyebabkan berlaku sesak nafas dan semput.

"Penyempitan pada saluran pernafasan kanak-kanak penghidap asma boleh berlaku secara tiba-tiba dan berulang kali, menyebabkan kanak-kanak tersebut menghadapi kesukaran untuk bernafas," katanya.

Menurut Dr. Salehuddin, asma merupakan penyakit kronik yang menyerang kanak-kanak berumur setahun ke bawah sehingga mencapai umur peringkat dewasa.

Kajian juga menunjukkan sebanyak 10 hingga 20 peratus kanak-kanak yang masih bersekolah diserang penyakit tersebut.

Begitupun beliau menambah, ia adalah penyakit yang susah dikenalpasti pada kanak-kanak yang berumur kurang dari dua hingga tiga tahun berikutan simptom yang seakan dengan penyakit lain.

Ini kerana, dalam lingkungan umur sebegini kanak-kanak tersebut mudah terdedah dengan penyakit seperti jangkitan bakteria dan kuman pada paru-paru.

"Berlainan pula dengan individu yang mencapai umur dewasa, kekerapan diserang asma semakin berkurang berikutan paru-paru yang semakin membesar.

"Keadaan ini membantu mengatasi masalah kesempitan saluran pernafasan agar menjadi lebih baik lancar," katanya.

Menurut Dr. Salehuddin lagi, penyakit asma kerap dikaitkan dengan faktor genetik dan persekitaran.

Mereka yang dilahirkan dengan sejarah yang mempunyai masalah asma lebih berisiko mendapat penyakit ini.

Potensi mereka menghidap asma juga lebih tinggi jika keluarga mempunyai masalah kesihatan seperti alahan dan ekzema.

"Persekitaran yang menyebabkan mereka selalu terdedah dengan asap rokok, debu, keadaan cuaca sejuk, alahan dengan debunga dan jangkitan kuman pada paru-paru, akan meningkatkan kadar diserang asma.

"Seeloknya apabila mengetahui anak menghidap asma elakkan mereka daripada berhadapan dengan keadaan ini yang boleh meningkatkan potensi diserang penyakit tersebut," katanya lagi.

Ujar Dr. Salehuddin lagi, secara jelasnya penyakit asma menyebabkan kanak-kanak akan mengalami batuk berterusan, nafas berbunyi dan semput.

Biasanya batuk yang dialami kanak-kanak itu adalah basah dan berkahak.

"Bagaimanapun, terdapat sebahagian daripada kanak-kanak yang tidak mempunyai tanda-tanda tersebut. Ini akan menyukarkan diagnosis dan kebanyakan kanak-kanak ini akan mengalami batuk berterusan yang tidak 
baik walaupun sudah makan pelbagai jenis ubat.

"Sekiranya ada juga simptom alahan seperti ruam, resdung atau selesema awal pagi, ia lebih meninggikan lagi kemungkinan asma atau lelah.

"Kanak-kanak yang mempunyai masalah asma senang mengalami jangkitan kuman pada paru-parunya.

"Kanak-kanak yang mempunyai berat badan berlebihan dan selalu mengeluh penat dan semput jika melakukan aktiviti luar seperti bersukan juga berpotensi menghidap asma," katanya.

Ujarnya lagi, kanak-kanak yang diserang asma akan terjejas corak kehidupan mereka dan perlu melalui kesan jangka masa panjang.

Apabila kanak-kanak ini selalu mengalami sesak nafas mereka akan kerap dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Keadaan ini akan mengganggu dan membantutkan proses pembelajaran mereka.

"Sekiranya sejak kecil mereka sudah menghidap asma, keadaan ini mengganggu proses tumbesaran dan fungsi paru-paru kerana tidak dapat membesar dengan sempurna.

"Apabila pesakit ini meningkat usia tahap kecergasan dan stamina badan akan berkurangan menyebabkan mereka mudah terdedah kepada penyakit berkaitan paru-paru di usia tua," katanya.

Dr. Salehuddin berkata, tiada rawatan khusus yang digunakan untuk memulihkan penyakit asma, tetapi boleh diatasi dengan menggunakan kaedah rawatan yang bersesuaian.

"Kita boleh atasi sebahagian daripada simptom asma, tetapi untuk mengubatinya agar kembali normal dan penyakit tidak berulang agak susah kerana penyakit asma berkaitan dengan genetik. Begitupun, faktor persekitaran boleh dielakkan, di samping menggunakan rawatan yang bersesuaian.

"Antara rawatan yang boleh digunakan adalah melalui ubat yang dimakan atau menggunakan pam oksigen. 

Malah kebanyak pesakit asma akan pulih dengan sendiri apabila mereka besar atau mencapai peringkat remaja.

"Ada dua kategori ubat ketika memberi rawatan kepada kanak-kanak menghidap asma iaitu ubat-ubatan yang mencegah kanak-kanak daripada serangan asma dan ubat-ubatan yang mengurangkan simptom asma," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20140424/kn_01/Batuk-waktu-pagi-dan-malam#ixzz30MP0ilLo
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Thursday, February 27, 2014

anak tak duduk diam

Error matching blog to blogger entry. If you are the owner of this blog, please check that there is no typo in your blog address and that you have pasted the code from the Add Ads page correctly (file:///var/mobile/Applications/3F7EDC49-3C6E-464A-A740-9BB5CB0A9827/Documents/Blogger/)

Assalamualaikum...


Hari ini jumap artikel menarik.. sangat menarik.. sebab ape? pasal anak aktif atau hyperaktif.. meh baca artikel dari Utusan Online ni.... berguna untuk semua ibu bapa di luar sana.

Anak tak duduk diam


Satu hari seorang ibu muda telah menelefon saya. Suaranya kedengaran penuh kerisauan dan mula bercerita akan resah hatinya.

Katanya, dia mempunyai seorang anak berusia tujuh tahun dan sangat aktif. Menurutnya anak itu hiperaktif.
Guru kelas juga mengatakan anaknya hiperaktif.

Oleh kerana risau dia telah membawa anaknya berjumpa doktor, yang turut mengesahkan anaknya hiperaktif dan memberi ubat untuk mengurangkan keaktifan anak itu.

Saya tertanya dalam hati, mengapa menghubungi saya jika dia telah berjumpa doktor dan disahkan anaknya sebagai hiperaktif.

Ibu muda itu berkata, mengikut doktor, jika ubat itu diambil berterusan akan memberi kesan buruk kepada anaknya. Lagi pun doktor tersebut bukan seorang pakar dalam attention deficit hyperactivity disorder (ADHD).

Dia serba salah, hendak dibiar, anak itu terlalu aktif. Hendak diberi makan ubat, kata doktor ada kesan buruk pada jangka panjang.

Kesian mendengarkan resah hatinya, saya menawarkan diri untuk berjumpa anaknya. Dengan syarat anak itu tidak diberi ubat untuk satu hari sebelum dibawa berjumpa saya. Saya ingin melihat sejauh mana kuatnya hiperakif anak itu.

Dipendekkan cerita, hari saya berjumpa anak itu, saya telah menyuruh ibu berkenaan membiar anaknya bermain di sekitar tempat kami berbual. Suami beliau pun ada bersama.

Si ibu dengan penuh prihatin menceritakan perihal anaknya. Sambil mendengar luahan hati si ibu, saya mengikuti pergerakan si anak lelaki itu dengan ekor mata.

Setelah lebih kurang setengah jam bersembang, saya bertanya si ibu adakah dia memberi anaknya makan ubat dalam masa 24 jam sebelum berjumpa saya. Si ibu berkata tidak.

Saya bertanya begitu kerana selama setengah jam di hadapan saya, anak itu adalah seorang anak lelaki yang aktif dan bukan hiperaktif seperti yang dikatakan.

Anak itu cuma aktif, suka bergerak dan bermain lasak seperti mana-mana kanak-kanak lelaki seumur itu. Saya juga melihat anak itu boleh fokus bermain sesuatu mainan. Anak matanya boleh fokus melihat sesuatu.

Lalu saya bertanya mengapa si ibu mengatakan dia seorang hiperaktif? Mengikut beliau, anak perempuannya, iaitu anaknya yang kedua, boleh duduk diam dan tidak melompat ke sana ke mari seperti anak lelakinya.

Mendengar penjelasannya, saya lalu mengambil tangannya dan berkata: "Puan, anak lelaki sememangnya lebih aktif daripada anak perempuan. Lagi satu kemungkinan anak ini juga belajar dengan cara melakukan dan bergerak, iaitu modaliti pembelajarannya ialah kinesthetik. Apa yang saya lihat anak ini bukan hiperaktif, dia cuma aktif dan banyak tenaga."

Dia kemudian bertanya, perlukah diteruskan pengambilan ubat tersebut? Saya beritahunya: "Pilihan itu di tangan puan dan suami. Jika benar anak ini hiperaktif setelah disahkan oleh doktor yang pakar dalam bidang itu, maka cari ubatan yang tidak meninggalkan kesan yang buruk."

Jika tidak, janganlah diseksa anak itu dengan ubat yang tidak perlu dia ambil. Ubat yang paling mujarab untuknya adalah memberi dia ruang bermain lasak dan aktif setiap hari.

Jika keterlaluan aktifnya, kurangkan gula dalam pemakanannya dan elakkan minuman bergas. Bacalah lebih mendalam mengenai keadaan hiperaktif ini.

Mengapa saya membawa kisah ini? Pertama, kerana perkataan atau terminologi hiperaktif ini terlalu mudah digunakan tanpa kefahaman yang jelas.

Apabila melihat anak tidak tahu duduk diam, cepat sahaja dia dikatakan hiperaktif.

Perkataan itu digunakan dengan sewenang-wenangnya tanpa memahami kesan psikologi kepada anak itu.

Perkataan hiperaktif membawa kesan negatif, seolah-olah satu penyakit dan suatu yang tidak disukai.

Bayangkan seorang anak yang aktif digelar hipeaktif, bagaimana agaknya pandangannya kepada dirinya.

Kita mahukan anak-anak yang berkeyakinan, tetapi kita ragut keyakinan itu dengan gelaran yang merudumkan imej dirinya.

Anak yang suka bergerak dan bermain, melompat ke sana ke mari adalah anak yang sihat dan aktif.

Keaktifannya menunjukkan dia bijak dan otaknya berfungsi dengan baik serta koordinasi badannya bagus.

Lagipun kita mesti ingat, badannya kecil, jadi dia tidak cepat letih bebanding kita orang dewasa yang badan besar. Kita bergerak sikit sudah letih, sebab kita perlu membawa badan yang lebih besar maka tenaga yang diambil juga lebih banyak.

Anak kecil badannya ringan dan apabila dia bergerak, dia tidak banyak memerlukan tenaga. Oleh itu untuk memastikan tenaganya digunakan dengan baik, maka dia perlu bergerak.

Bukankah kita dahulu pun begitu semasa kecil. Kita memanjat pokok, mandi sungai dan banyak lagi. Anak-anak sekarang ini terutamanya yang di bandar, kebanyakan terperangkap dalam rumah yang berjeriji.

Kita perlu melakukan sedemikian demi keselamatan mereka, dalam masa yang sama jika mereka itu agak terlebih aktif. Maka fahamilah dan berilah mereka aktiviti yang dapat menggunakan tenaga mereka.

Jika terlalu kerap disuruh duduk diam, lama-kelamaan mereka akan menjadi malas dan apa yang mereka suka lakukan makan dan bermain permainan video. Lama-kelamaan anak membesar menjadi kanak-kanak yang gemuk dan pemalas.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20140220/kn_02/Anak-tak-duduk-diam#ixzz2uVe2quZN
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Thursday, February 6, 2014

Thursday, January 30, 2014

Tujuan Mendidik Anak

Error matching blog to blogger entry. If you are the owner of this blog, please check that there is no typo in your blog address and that you have pasted the code from the Add Ads page correctly (file:///var/mobile/Applications/3F7EDC49-3C6E-464A-A740-9BB5CB0A9827/Documents/Blogger/)
Assalamualaikum....

Hari ini nak share kisah mengenai mendidik anak.. Artikel ni diambil dari Uusan Online, sangat menarik untuk dikongsikan..

Jom kita sama-sama baca dan fahamkan eh..


Jika dibandingkan dengan pokok, tip sebenarnya adalah ranting. Ranting ini hanya akan segar dan membesar dengan sihat jika akar pokok itu sihat. Jika kita mengharapkan buah daripada pokok itu dengan hanya membaja ranting, maka tentunya itu perbuatan sia-sia.

Namun, itulah yang sering dilakukan oleh ramai ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak.

Sebelum boleh berharap tip yang diambil itu boleh berkesan kepada anda, fahamilah apakah akar di dalam pendidikan anak-anak.

Tip untuk tip pendidikan anak-anak itu berkesan, ialah memastikan pendidikan anak-anak adalah berdasarkan bahawa anak-anak itu dilahirkan suci, bersih, berpotensi tinggi dan mempunyai kehebatan yang diperlukan oleh dunia. Inilah dinamakan fitrah.

Jika seorang ibu atau bapa menerima satu tip untuk menjadikan anaknya rajin belajar, tetapi ibu atau bapa itu tidak percaya bahawa anaknya itu mempunyai potensi yang tinggi, malah merasakan anaknya itu susah untuk berjaya, maka tip itu tidak akan berjaya.

Tip untuk tip keibubapaan menjadi berkesan ialah untuk bertolak daripada satu kefahaman bahawa anak itu sememangnya dilahirkan hebat dan penuh kemampuan.

Dalam kemelut untuk menangani banyak cabaran dan isu membesarkan anak-anak, apatah lagi ditambah dengan kerja di pejabat dan di rumah yang membukit dari sehari ke sehari, ramai ibu bapa menjadi terkeliru dan lupa apakah sebenarnya tujuan mendidik anak-anak ini.

Bila orang mengatakan anaknya sudah boleh ke bilik air sendiri atau anak mereka sudah boleh berjalan tegap, namun anak sendiri masih hanya merangkak, maka ada ibu bapa yang menjadi gelisah.

Normal ke anakku ini? Betulkah cara aku mendidik? Malah yang ada yang lebih daripada itu, memaksa dan merasakan anak mereka tidak sebijak anak orang lain, atau adakah mereka ibu atau bapa yang tidak bijak?

Tekanan seperti ini tidak sepatutnya wujud. Kerana kita tidak perlu berlawan dengan sesiapa di dalam mendidik dan membesarkan anak-anak ini.

Jika anak kawan sudah boleh potty train, dan anak sendiri belum boleh, maka cari sajalah jalan untuk melatihnya. Jika dia belum bersedia, maka ambil langkah untuk menyediakannya. Tidak perlu berasa diri anda kalah atau tidak bijak, yang penting tambahkan ilmu dan skil untuk membantu anda menjadi ibu atau bapa yang bijak.

Kerana matlamat mendidik anak bukan sekadar untuk dia boleh potty train pada sesuatu usia, tetapi untuk dia boleh menjadi anak yang berdaya tingg dan mempunyai keyakinan diri.

Boleh potty train pada usia dua tahun, adalah bagus dan sedikit sebanyak menunjukkan usaha ibu atau bapa berkesan. Pada masa yang sama jika anak itu belum boleh potty train lagi, janganlah pula merasakan diri itu tidak bagus.

Begitu juga dengan memasukkan anak ke sekolah. Dalam kesibukkan seharian ramai yang terlupa tujuan sebenar pendidikan. Kita terlupa tujuan utama, sehinggakan, kita menjadi sibuk dengan perkara ranting, sedangkan perkara akar diabaikan.

Not seeing the forest for the trees atau tidak melihat gambaran yang besar kerana terlalu fokus kepada sesuatu yang kecil.

Contohnya, mahukan anak meraih A dalam peperiksaan dan kejayaan hanya diukur berapa banyak A yang diraih, sedangkan, anak hanya menjadi ulat buku dan tidak bijak mengendalikan diri dan menjaga diri sendiri.

Malah segala urusan diri dilakukan oleh ibu dan bapa. Sehinggakan sudah masuk ke kolej pun tidak tahu menjaga diri sendiri. Makan pakai perlu diuruskan oleh orang lain. Jika tidak hidup menjadi tidak keruan.

Tujuan keibubapaan bukan sekadar anak akan pandai bercakap umur berapa, berjalan umur berapa, mendpat berapa A di dalam peperiksaan dan sebagainya.

Tujuan keibubapaan adalah sama dengan tujuan ciptaan manusia itu sendiri. Iaitu secara kasar dan tidak mengkhususkan kepada mana-mana agama, tujuan ciptaan manusia adalah untuk menambah nilai ke dalam kehidupan di dunia ini. Supaya meninggalkan legasi dan kebaikan kepada dunia setelah kita tiada.

Oleh itu, tujuan pendidikan adalah untuk membina, membantu, menyokong, membebas kehebatan diri setiap anak itu agar mereka boleh menjadi yang terbaik yang mereka boleh jadi dalam konteks untuk menambah nilai kepada dunia.

Semoga kita berusaha untuk lebih mendidik diri kita agar kita menjadi ibu bapa dan pendidik yang membina generasi cemerlang.

Kepada pembaca atau ibu bapa yang ingin bertanyakan tentang tip atau permasalahan berkaitan keibubapaan boleh mengajukan soalan kepada Ibu Rose melalui alamat laman sosial di atas.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140123/ke_03/Tujuan-mendidik-anak#ixzz2rt9jiVCi
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Ancaman PD pada kanak-kanak


Assalamualaikum..

Hari ini nak share satu artikel mengenai Pneumococoal yang sangat berkait rapat dengan kita...

Artikel ni dipetik dari Utusan Online dan sangat berguna untuk kita semua. Jom kita baca...


Penyakit pneumokokal atau pneumococcal disease (PD) merupakan penyakit kronik berpunca daripada bakteria streptococcus pneumoniae.

Kini terdapat lebih daripada 90 jenis pneumokokal yang diketahui, namun hanya lebih kurang 10 peratus boleh menyebabkan penyakit yang serius di seluruh dunia.

Bakteria ini boleh menyebabkan beberapa komplikasi pada tubuh berbeza seperti meningitis (jangkitan selaput otak dan saraf tunjang), bacteremia (jangkitan dalam darah), pneumonia (jangkitan paru-paru) dan otitis media (jangkitan telinga tengah).

Konsultan Neonatologist dan Paediatrik, KPJ Damansara Specialist Hospital, Datuk Dr. Musa Mohd Nordin berkata, di seluruh dunia setiap tahun sebanyak 1.6 juta pesakit meninggal kerana dijangkiti bakteria streptococcus pneumoniae ini.

Katanya, berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2002, PD menjadi penyebab utama kepada kematian kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah di seluruh dunia.

"Sebanyak lima peratus kanak-kanak yang berusia bawah lima tahun yang dijangkiti meningitis meninggal atau sebahagian mereka akan mempunyai masalah buta kedua belah mata dan hilang pendengaran.

"Sementara itu, jangkitan kuman pada hidung dan jangkitan telinga tengah (otitis media) selalunya berada pada tahap biasa dalam kategori penyakit PD," jelasnya.

Tambah Dr. Musa lagi, selain kanak-kanak PD juga boleh menjangkiti orang dewasa.
Individu yang dijangkiti PD lebih berpotensi untuk menyebarkan virus berkenaan kepada individu berdekatan melalui bersin dan batuk.

"Begitu pun tidak semua yang individu yang berada dengan pesakit PD akan dijangkiti. Risiko tinggi untuk dijangkiti adalah di kalangan kanak-kanak berumur bawah lima tahun, khususnya kepada kanak-kanak berumur dua tahun atau lebih muda daripada umur tersebut.

"Orang dewasa yang berumur lebih dari pada 55 hingga 65 tahun juga mempunyai risiko mendapat jangkitan PD.

"Mereka yang tidak menyusu badan, pendedahan terbuka kepada asap rokok, banyak menghabiskan masa di pusat jagaan harian kanak-kanak dan kekurangan imunisasi pneumokokal akan lebih berisiko untuk berjangkit," jelasnya.

Dr. Musa menambah, keempat-empat jenis jangkitan daripada PD yang menyerang kanak-kanak ini mempunyai simptom berbeza yang perlu dikenalpasti oleh penjaga terhadap anak-anak mereka.

"Bagi meningitis, apabila kanak-kanak tersebut telah diserang ia akan mengalami sakit kepala, muntah-muntah, demam, dan dalam beberapa kes yang kritikal dia akan mengalami koma.

"Kanak-kanak yang berumur di bawah setahun mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti dengan meningitis dengan purata 10 kes daripada 100,000 kanak-kanak.

"Otitis media iaitu jangkitan berkait dengan telinga tengah boleh dikenal pasti melalui simptom berlaku pembengkakan pada gegendang telinga yang menyebabkan mereka mengalami sakit telinga. Apabila terkena jangkitan ini mereka akan demam, sentiasa mahu tidur, meragam dan tidak selesa.

"Pneumonia dan bacteraemia juga adalah penyakit serius yang menyebabkan kanak-kanak yang dijangkiti demam, meragam dan kadar pernafasannya laju," katanya

Tambah Dr. Musa lagi, PD boleh dirawat dengan antibiotik, namun Sejak beberapa tahun kebelakangan ini bakteria tersebut didapati bersifat kebal terhadap antibiotik yang biasa digunakan.
Ini membuatkan rawatan menjadi lebih sukar dan mengakibatkan tempoh rawatan di hospital yang lebih panjang dan kos yang tinggi.

Beliau berkaata, cara terbaik untuk melindungi daripada penyakit pneumokokal adalah melalui suntikan vaksin.

Kini terdapat dua jenis vaksin pneumokokal untuk kanak-kanak iaitu Vaksin Konjugat Pneumokokal 10 Valen (PCV10) bagi melindungi kanak-kanak daripada 10 jenis bakteria pneumokokal dan Vaksin 
Konjugat Pneumokokal 13 Valen (PCV13) iaitu untuk melindungi kanak-kanak daripada 13 jenis jenis bakteria pneumokokal.

Vaksin polysaccharide pula digunakan kepada orang dewasa

Sementara itu, bertujuan memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia mengenai bahaya penyakit pneumokokal, satu kempen YES to PnD protection telah diadakan baru-baru ini bertempat di Kpj 
Damansara Specialist Hospital, di Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Kempen ini turut disokong dengan kehadiran bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Shirlin.

Kempen ini adalah inisiatif Parenting2U, bersama-sama Asian Strategic Alliance for Pneumococcal Disease Prevention (ASAP) dan Malaysia Paediatric Association (MPA).

Melalui penglibatan golongan profesional kesihatan, keluarga dan individu yang telibat, ia telah berlansung pada April hingga September 2013 yang juga melibatkan 100 paediatrik dan doktor seluruh negara.

Selain itu, sebanyak 20,000 kad yang bertandatangan juga telah dikumpulkan di seluruh negara sempena kempen ini dan dalam usaha memohon vaksin konjugat pneumokokal dimasukkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20131219/kn_01/Ancaman-PD-pada-kanak-kanak#ixzz2piUWdmv3
© Utusan Melayu (M) Bhd