Sebenarnya, individu yang memiliki tapak kaki sederhana rata, rata sepenuhnya, dan bengkok ke dalam adalah individu yang mempunyai masalah kaki atau dalam erti kata lain mempunyai kecacatan kaki.
Bagi mereka yang mempunyai tapak kaki melengkung pula, anda tidak perlu risau kerana bentuk kaki anda adalah normal.

Namun di Malaysia, menurut Pakar Orthotik Myortho, Datuk Dr. Edmund Lee, lazimnya menjumpai individu yang mengalami masalah bentuk tapak kaki rata sepenuhnya.
Masalah berkenaan disebabkan oleh faktor keturunan, pemakaian kasut yang tidak sihat, dan juga otot kaki tidak kuat.

“Individu yang mempunyai jenis tapak kaki rata sepenuhnya bakal berhadapan dengan masalah kesihatan apabila meningkat dewasa dan seterusnya ketika tua.

“Ini kerana jenis tapak kaki rata sepenuhnya adalah satu bentuk kecacatan kaki, namun jangan risau kerana kecacatan ini boleh diperbetulkan.


“Sekiranya ingin memperbetulkan ‘kecacatan’ tersebut, perlu dimulakan sebelum individu tadi berusia 14 tahun kerana ketika ini tulang masih lembut dan boleh dibentuk semula.

“Bagaimanapun, sekiranya kecacatan ini tidak diperbetulkan sehingga individu itu dewasa, mereka akan kekal dengan keadaan tersebut selama-lamanya,” ujarnya ketika ditemui di kliniknya, di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.


Menurut Dr. Edmund, berdasarkan keadaan tersebut ibu bapa seharusnya memainkan peranan agar lebih prihatin memantau perkembangan tapak kaki anak-anak mereka sama ada normal atau pun luar biasa, kerana kecacatan kaki hanya boleh dilihat selepas anak mereka berumur lima tahun.

Apabila ditanya apakah komplikasi kesihatan bagi individu yang mempunyai tapak kaki rata sepenuhnya, beliau memberitahu, golongan ini akan mengalami masalah kesakitan seperti sakit pada tumit dan tulang kering, tulang belakang dan leher, sakit lutut, postur badan yang tidak seimbang dan pergerakan jalan yang tidak ‘cantik

Namun, kesemua kesakitan akibat kecacatan itu hanya akan berlaku setelah mereka dewasa kerana tidak akan terlihat atau dialami ketika individu itu masih kanak-kanak.

Tambah Dr. Edmund, kaki rata adalah merujuk kepada keadaan di mana gerbang atau lengkungan kaki tersentuh sepenuhnya atau hampir lengkap pada tanah ketika individu itu berdiri.

Dalam hal ini, beliau memberitahu, bagi individu memiliki tapak kaki rata, pemilihan kasut sangat penting dengan mengikut saiz kaki kerana sekiranya tidak dilakukan dengan betul akan menyebabkan kesakitan serta berdepan dengan masalah penjajaran kaki.

“Ini kerana individu yang mengalami masalah tapak kaki rata, ketika berjalan atau berdiri, beban tekanan dan lebihan tenaga akan tertumpu sepenuhnya kepada tapak kaki yang apabila simptom ini berpanjangan akan menyebabkan kaki tersebut sakit,” katanya.

Selain itu, individu yang mengalami masalah tapak kaki rata sepenuhnya bakal menghadapi kesukaran untuk berjalan atau berdiri terlalu lama.

Mengulas lebih lanjut mengenai permasalahan tersebut, Edmund berkata, kecacatan bagi tapak kaki rata boleh diperbetulkan tanpa sebarang pembedahan, sebaliknya ditangani dengan penggunaan pelapik kasut yang sesuai dengan kaki.

Bagaimanapun, tuturnya, tidak semua pelapik kasut sesuai dengan setiap orang kerana keperluan yang berbeza-beza.

“Majoriti masyarakat Malaysia cenderung memilih kasut tanpa mengukur kaki mereka terlebih dahulu. Sebenarnya, apa yang mereka harus lakukan ialah menyarungkan kaki terus ke dalam kasut.

“Apabila memilih kasut pula, jangan pilih kasut yang muat-muat dengan kaki dan pilihlah saiz longgar sedikit sekurang-kurangnya lebihkan dua jari pada bahagian hadapan kasut supaya jari-jemari kaki boleh digerakkan,” katanya.

Beliau turut memberi panduan agar membeli kasut pada waktu petang, kerana pada waktu itu kaki akan lebih membesar setelah berjalan banyak dan mencuba kasut dengan kaki kanan terlebih dahulu kerana kaki kanan lebih besar saiznya daripada kaki kiri.


“Salah satu faktor terjadinya masalah tapak kaki rata sepenuhnya ialah pemakaian kasut yang tapaknya terlalu lembut,” sambungnya.

Oleh itu, mereka yang mengalami masalah kaki digalakkan bertemu dengan pakar orthotik bagi menjalani rawatan dan apa pun, penjagaan kaki dari awal amat penting supaya tidak memudaratkan ketika tua.