heartbeat

Thursday, January 30, 2014

Ancaman PD pada kanak-kanak


Assalamualaikum..

Hari ini nak share satu artikel mengenai Pneumococoal yang sangat berkait rapat dengan kita...

Artikel ni dipetik dari Utusan Online dan sangat berguna untuk kita semua. Jom kita baca...


Penyakit pneumokokal atau pneumococcal disease (PD) merupakan penyakit kronik berpunca daripada bakteria streptococcus pneumoniae.

Kini terdapat lebih daripada 90 jenis pneumokokal yang diketahui, namun hanya lebih kurang 10 peratus boleh menyebabkan penyakit yang serius di seluruh dunia.

Bakteria ini boleh menyebabkan beberapa komplikasi pada tubuh berbeza seperti meningitis (jangkitan selaput otak dan saraf tunjang), bacteremia (jangkitan dalam darah), pneumonia (jangkitan paru-paru) dan otitis media (jangkitan telinga tengah).

Konsultan Neonatologist dan Paediatrik, KPJ Damansara Specialist Hospital, Datuk Dr. Musa Mohd Nordin berkata, di seluruh dunia setiap tahun sebanyak 1.6 juta pesakit meninggal kerana dijangkiti bakteria streptococcus pneumoniae ini.

Katanya, berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2002, PD menjadi penyebab utama kepada kematian kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah di seluruh dunia.

"Sebanyak lima peratus kanak-kanak yang berusia bawah lima tahun yang dijangkiti meningitis meninggal atau sebahagian mereka akan mempunyai masalah buta kedua belah mata dan hilang pendengaran.

"Sementara itu, jangkitan kuman pada hidung dan jangkitan telinga tengah (otitis media) selalunya berada pada tahap biasa dalam kategori penyakit PD," jelasnya.

Tambah Dr. Musa lagi, selain kanak-kanak PD juga boleh menjangkiti orang dewasa.
Individu yang dijangkiti PD lebih berpotensi untuk menyebarkan virus berkenaan kepada individu berdekatan melalui bersin dan batuk.

"Begitu pun tidak semua yang individu yang berada dengan pesakit PD akan dijangkiti. Risiko tinggi untuk dijangkiti adalah di kalangan kanak-kanak berumur bawah lima tahun, khususnya kepada kanak-kanak berumur dua tahun atau lebih muda daripada umur tersebut.

"Orang dewasa yang berumur lebih dari pada 55 hingga 65 tahun juga mempunyai risiko mendapat jangkitan PD.

"Mereka yang tidak menyusu badan, pendedahan terbuka kepada asap rokok, banyak menghabiskan masa di pusat jagaan harian kanak-kanak dan kekurangan imunisasi pneumokokal akan lebih berisiko untuk berjangkit," jelasnya.

Dr. Musa menambah, keempat-empat jenis jangkitan daripada PD yang menyerang kanak-kanak ini mempunyai simptom berbeza yang perlu dikenalpasti oleh penjaga terhadap anak-anak mereka.

"Bagi meningitis, apabila kanak-kanak tersebut telah diserang ia akan mengalami sakit kepala, muntah-muntah, demam, dan dalam beberapa kes yang kritikal dia akan mengalami koma.

"Kanak-kanak yang berumur di bawah setahun mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti dengan meningitis dengan purata 10 kes daripada 100,000 kanak-kanak.

"Otitis media iaitu jangkitan berkait dengan telinga tengah boleh dikenal pasti melalui simptom berlaku pembengkakan pada gegendang telinga yang menyebabkan mereka mengalami sakit telinga. Apabila terkena jangkitan ini mereka akan demam, sentiasa mahu tidur, meragam dan tidak selesa.

"Pneumonia dan bacteraemia juga adalah penyakit serius yang menyebabkan kanak-kanak yang dijangkiti demam, meragam dan kadar pernafasannya laju," katanya

Tambah Dr. Musa lagi, PD boleh dirawat dengan antibiotik, namun Sejak beberapa tahun kebelakangan ini bakteria tersebut didapati bersifat kebal terhadap antibiotik yang biasa digunakan.
Ini membuatkan rawatan menjadi lebih sukar dan mengakibatkan tempoh rawatan di hospital yang lebih panjang dan kos yang tinggi.

Beliau berkaata, cara terbaik untuk melindungi daripada penyakit pneumokokal adalah melalui suntikan vaksin.

Kini terdapat dua jenis vaksin pneumokokal untuk kanak-kanak iaitu Vaksin Konjugat Pneumokokal 10 Valen (PCV10) bagi melindungi kanak-kanak daripada 10 jenis bakteria pneumokokal dan Vaksin 
Konjugat Pneumokokal 13 Valen (PCV13) iaitu untuk melindungi kanak-kanak daripada 13 jenis jenis bakteria pneumokokal.

Vaksin polysaccharide pula digunakan kepada orang dewasa

Sementara itu, bertujuan memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia mengenai bahaya penyakit pneumokokal, satu kempen YES to PnD protection telah diadakan baru-baru ini bertempat di Kpj 
Damansara Specialist Hospital, di Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Kempen ini turut disokong dengan kehadiran bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Shirlin.

Kempen ini adalah inisiatif Parenting2U, bersama-sama Asian Strategic Alliance for Pneumococcal Disease Prevention (ASAP) dan Malaysia Paediatric Association (MPA).

Melalui penglibatan golongan profesional kesihatan, keluarga dan individu yang telibat, ia telah berlansung pada April hingga September 2013 yang juga melibatkan 100 paediatrik dan doktor seluruh negara.

Selain itu, sebanyak 20,000 kad yang bertandatangan juga telah dikumpulkan di seluruh negara sempena kempen ini dan dalam usaha memohon vaksin konjugat pneumokokal dimasukkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20131219/kn_01/Ancaman-PD-pada-kanak-kanak#ixzz2piUWdmv3
© Utusan Melayu (M) Bhd 


No comments:

Post a Comment