heartbeat

Friday, February 22, 2013

Didik si manja berkongsi permainan



Ramai ibu bapa meng–akui meminta anak-anak berkongsi mainan sesuatu yang lebih sukar berbanding memintanya makan sayur-sayuran. Malah, keadaan lebih buruk sekiranya ibu bapa terlalu memaksa anak berkongsi barang kesayangan mereka sehingga menyebabkan mereka mula buat perangai sebagai tanda bantahan.
Majoriti anak-anak sememangnya tidak suka berkongsi, justeru ibu bapa harus bijak menanganinya bagi memastikan anak-anak dapat menerimanya dengan baik. 

Antara panduan yang boleh diikuti ibu bapa: 
Jangan memaksa 
Sebenarnya ibu bapa akan dianggap tidak adil kerana meminta anak yang lebih tua berkongsi mainan atau makanan dengan adik mereka. Ini kerana sifat semula jadi adik yang sentiasa mahukan apa yang dimainkan oleh abang atau kakaknya. 

Anak sulung anda mungkin tiada pilihan untuk mengalah, tetapi paksaan tidak akan memupuk sifat suka memberi dalam diri mereka. Malah, ini mungkin menyebabkannya langsung tidak suka berkongsi dengan adik-beradik atau rakan. Apa yang harus diajar ialah cara menghormati hak milik antara satu sama lain dan bukannya memaksa untuk berkongsi bara–ngan. 

Ini boleh dilakukan dengan meminta barang itu secara baik kemudian ucapkan kata-kata manis seperti, ‘Iman anak yang baik, Anis anak solehah jika berkongsi barang’. Dengan cara ini mereka lebih suka berkongsi kerana inginkan pujian ibu. 


Biarkan mereka selesaikan sendiri 

Ketika anak-anak berebut mainan, jangan masuk campur mahupun cuba menyelesaikannya. Cuba galakkan si kecil mencari penyelesaian sendiri sambil memegang mainan untuk mereka. Terangkan de–ngan jelas apa yang harus dilakukan dan ajar mereka membuat keputusan untuk bermain dengan baik atau mereka tidak akan mendapat balik mainan itu. Namun, segala-galanya memerlukan masa. 


Ajar anak di rumah 

Anda tidak boleh membuat sesuatu perubahan dalam jangka masa singkat, namun anda perlu mulakan dari sekarang bagi membantu anak belajar cara berkongsi dan bersifat murah hati. 

Apa yang penting adalah menjadi contoh terbaik kepada anak-anak kerana mereka bijak memerhati dan sering mencontohi apa yang anda lakukan. Jika boleh, cari peluang berkongsi dengan rakan atau ahli keluarga lain sambil menerangkan proses dengan jelas. 

Cuba main permainan ‘minta dan pulangkan’ bersama anak anda. Jika anak anda mempunyai mainan kesayangan, anda boleh meminta dengan baik daripadanya untuk memegang mainan itu selama seminit. Apabila si manja memberikannya kepada anda, pegang atau main dengan rasa gembira kemudian pulangkan kepadanya. 

Pastikan anda hanya memegang mainan untuk beberapa saat sebelum memulangkannya. Lakukannya beberapa kali supaya dia boleh melihat walaupun dia memberikan mainan buat seketika, dia tidak kehilangannya dan ini akan membuatkannya sanggup berkongsi mainan dengan orang lain pada masa depan. 


Beri pujian 

Iktiraf dan beri pujian apabila anak anda melakukan sesuatu dengan baik atau berkongsi dengan rakan. Ia akan membuatkan anak anda ingin mendapatkan perhatian daripada ibunya dan mungkin mahu melakukan perkara yang sama sekali lagi. 

Berkongsi bukan perkara yang mudah dilakukan si kecil, tetapi dengan bimbingan anda dan sedikit kesabaran, anda boleh menanam semangat suka memberi dan berkongsi. Segala-galanya memerlukan masa dan latihan. 


Minta, jangan rebut 

Anda tidak harus merampas mainan daripada tangan kanak-kanak. Ini bukan saja membuatkannya enggan melepaskan mainan, malah tindakan ini juga mengajarnya menjadi lebih kasar. Jika anda mengambil barang daripada anak anda dengan kekerasan, mereka akan melakukan perkara yang sama apabila mereka mahukan sesuatu pada masa depan. 


Sentiasa ucapkan terima kasih 

Pastikan anda sentiasa mengucapkan terima kasih jika dia sanggup memberikan permainan kepada anda atau adiknya. Peluk, cium dan katakan padanya yang dia seorang anak yang baik. Pujian dan kata-kata semangat ini akan membuatkan mereka sentiasa ingin berkongsi barangan dengan orang lain.
Source:-
Harian metro Online.

No comments:

Post a Comment