heartbeat

Sunday, July 14, 2013

Sabar didik si kecil berpuasa



Assalamualaikum.

Bulan Ramadhan adalah bulan di mana bulan yang memerlukan kita menahan rasa lapar dan dahaga di siang hari sehingga terbenamnya matahari. Berpuasa merupakan salah satu ibadah yang wajib umat Islam melaksanakannya tak kira dewasa mahupon anak kecil.

Hari ini, nak share artikel bagaimana nak mendidik anak kecil berpuasa di Bulan penuh barakah ini. Artikel ni memberi pendekatan yang sangat simple.

Jom kita baca artikel dari Kosmo Online:-


Sabar didik si kecil berpuasa

PADA bulan Ramadan, anak-anak patut digalakkan membaca al-Quran untuk menambahkan lagi pahala.



KEHADIRAN Ramadan ini memberikan kita manfaat yang banyak. Bukan sekadar berpuasa untuk melaksanakan kewajipan sebagai orang Islam, tetapi juga memberikan peluang kepada kita mendidik anak-anak dengan beberapa pengetahuan baharu.

Banyak daripada kita mula melatih anak-anak kecil untuk belajar berpuasa yang sebenarnya secara tidak langsung menahan mereka daripada lapar.

Ia juga membantu kita melatih diri sendiri dengan ketahanan psikologi apabila mendengar anak-anak mengadu lapar.

Andai orang dewasa sekalipun, ada yang perlu mengubah daya tahan psikologi mereka setiap kali tibanya bulan puasa, apatah lagi anak-anak kecil, khususnya mereka yang berusia antara enam hingga sembilan tahun.

Sebagai orang dewasa juga, kita akan memastikan bahawa anak-anak ini tidak berasa lapar walaupun seminit.

Bagaimanapun, apabila mula berpuasa, anak-anak akan mengadu lapar. Mereka yang selama ini boleh makan apa sahaja, terpaksa mengubah tabiat mereka dengan tidak boleh makan pada siang hari.

Sebagai orang dewasa, kita tidak boleh dengan sewenang-wenangnya membiarkan mereka berbuka puasa.

Jika tidak, mereka akan mengadu hal yang sama setiap kali menjelangnya Ramadan. Inilah waktunya kita melatih mereka.

Sebenarnya usia anak-anak pada peringkat awal persekolahan ini lebih kepada usia penerokaan.

Mereka mungkin sudah mengetahui banyak perkara yang bersifat fizikal, khususnya perkara-perkara yang sering dilihat mereka.

Didik dengan berhemah

Mereka tidak mempunyai masalah untuk mengetahui apakah yang dikatakan kereta atau bangunan.
Bagaimanapun, mereka akan bermasalah untuk memahami dengan banyak perkara 'konsep' yang tidak kelihatan.

Nafsu sebagai salah satu contohnya. Ia hanyalah konsep yang tidak mungkin dapat dilihat, malah kita sebagai orang dewasa pun adakalanya bertanya apakah yang dikatakan sebagai nafsu dan keperluan?

Apabila anak-anak merungut tidak mampu bertahan dengan puasa, ada baiknya kita mengajarkan mereka bahawa itulah 'nafsu'.

Mereka adakalanya memberitahu mereka lapar bukan kerana kelaparan yang dihadapi, tetapi tidak mampu untuk mengubah tabiat harian mereka. Mereka juga akan cuba membeli bermacam-macam makanan di bazar Ramadan.

Apa sahaja yang terlintas di fikiran mereka, semuanya dianggap sebagai menyedapkan.

Selepas anak-anak ini berbuka puasa dengan menikmati beberapa suap makanan, biasanya mereka akan berhenti makan dengan mula bermain pula.

Pada waktu itulah, kita patut bertanya mereka adakah mereka masih lapar? Biasanya mereka akan menjawab tidak.

Saat itu merupakan waktu terbaik memberitahu mereka, itulah nafsu. Ia satu keinginan untuk mendapatkan sesuatu, tetapi apabila kita mendapatkannya, kita mula meninggalkannya.

Mengajar mereka dengan konsep nafsu boleh membantu kita bagi hal yang lain juga. Adakalanya, apabila mereka melihat permainan di kedai, mereka akan meronta-ronta untuk mendapatkan permainan tadi.

Pada waktu inilah, kita boleh sekali lagi bertanya apakah yang telah mereka fahami dengan konsep nafsu ketika mereka berpuasa.

Mereka mungkin hanya terdetik untuk membeli mainan tadi sahaja. Sebaliknya, apabila mereka memilikinya, mereka mungkin tidak akan berminat dengannya lagi.

Banyak lagi konsep lain yang boleh kita ajarkan kepada anak-anak sepanjang berpuasa. Kita mungkin boleh memperkenalkan mereka dengan konsep pahala dan dosa. Ia hal yang tidak kelihatan.

Setiap kali anak-anak berpuasa penuh selama sebulan, kita biasanya akan menjanjikan mereka dengan hadiah tertentu.

Bersikap positif

Sebaliknya dalam konsep pahala dan dosa, kita boleh memberitahu mereka bahawa sekiranya mereka berpuasa sebaik mungkin, mereka akan mendapatkan hadiah yang istimewa di akhirat kelak.

Perumpamaan hadiah dan pahala itu lebih memudahkan mereka memahami sesuatu yang sangat sukar dijelaskan dengan perkataan.

Pada beberapa hari pertama berpuasa, anak-anak biasanya akan menanggung keletihan yang sangat teruk.

Pada waktu inilah, ibu bapa memainkan peranan. Sekiranya anak-anak ini tidak dapat bertahan, kita mungkin patut membenarkan mereka berbuka puasa.

Bagaimanapun, mereka mesti berjanji bahawa mereka akan berpuasa pada esok hari atau sekurang-sekurangnya mereka akan berbuka lebih lambat lagi.

Ada ibu bapa yang mengharapkan anak-anak mereka berpuasa seperti orang dewasa. Apabila anak-anak tidak berpuasa atau berbuka dengan lebih awal, ada ibu bapa yang tidak membenarkan mereka berbuka bersama-sama orang dewasa ketika Maghrib.

Hakikatnya, ia hanyalah latihan. Kita semua patut memberikan pujian kepada anak-anak, sekalipun mereka hanya mampu berpuasa selama beberapa jam.

Sekurang-kurangnya dengan cara ini, mereka akan terus bersemangat untuk berpuasa lebih lama lagi pada keesokan hari.

Puasa merupakan ujian psikologikal. Ia juga menguji sejauh mana kita mampu bermain psikologi dengan anak-anak kecil yang baru melatih diri berpuasa.

Selamat berpuasa kepada semua pembaca.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0712&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz2Z0JC588T
Hakcipta terpelihara



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0712&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz2Z0J7KemG
Hakcipta terpelihara


Nuffnang Ads

No comments:

Post a Comment