heartbeat

Friday, July 9, 2010

Elak Perap Anak Di Rumah

Zaman alam kanak-kanak sedekad lalu hakikatnya sudah jauh berbeza berbanding hari ini. Apabila mengimbas kembali saat-saat manis itu, semuanya terbayang indah dan masih hijau dalam ingatan. Misalnya suasana bermain layang-layang, gasing, galah panjang, memancing dan berbasikal bersama kawan sekampung sejurus selesai sesi sekolah pada hari itu

Boleh dikatakan kanak-kanak dahulu lebih banyak menghabiskan masa lapang dengan aktiviti luaran daripada memencilkan diri di dalam bilik rumah ataupun menonton program kartun yang dipaparkan dalam kaca televisyen

Berbanding kanak-kanak hari ini aktiviti senggang lebih banyak terisi dengan permainan komputer. Oleh sebab, trend pembelajaran di sekolah hari ini yang lebih menjurus kepada orientasi peperiksaan juga mengurangkan masa untuk terlibat dengan aktiviti luaran.

Kanak-kanak yang lebih cenderung menghabiskan masa di rumah sebenarnya tidak berpeluang melihat apa yang ditawarkan dunia luar dan alam semula jadi ini untuk mereka. Ini disebabkan, persekitaran luaran adalah tempat paling ideal kepada kanak-kanak untuk melatih dan mahir menguasai kemahiran fizikal yang terpendam dalam diri mereka.

Kekurangan pendedahan kepada persekitaran luaran dan alam sekitar secara tidak langsung meningkatkan masalah obesiti, tekanan serta keinginan perhatian. Dikatakan kanak-kanak yang aktif dengan aktiviti luar akan memiliki bentuk badan yang baik dan ia juga membantut pembentukan sel-sel lemak sebanyak mungkin.

Ibu bapa diingatkan supaya menggalakkan anak-anak mereka melakukan aktiviti luaran seperti senaman dan permainan selama 60 minit beberapa kali seminggu untuk perkembangan fizikal dan mental.


Sistem imunisasi


Menurut Pica, sinaran cahaya yang diterima daripada matahari membantu merangsang kelenjar pineal. Kelenjar itu merupakan salah satu komponen otak membantu dalam mengawal kitaran biologi yang penting kepada sistem imunisasi untuk memberi keceriaan kepada badan. Pancaran cahaya luar turut mencetuskan sintesis vitamin D dengan meningkatkan fokus pembelajaran dan produktiviti kanak-kanak.

Rangsang deria kanak-kanak


Secara semula jadi kanak-kanak mempelajari banyak perkara melalui rangsangan deria. Persekitaran luar bagaikan taman ajaib yang mampu merangsang deria seseorang. Kawasan persekitaran luar sebenarnya memiliki pelbagai perkara yang mengujakan untuk kanak-kanak misalnya serangga, awan yang biru, bunga, haiwan, kawasan padang, sungai, gunung-ganang dan lain-lain lagi.

Kesemua itu akan mempertingkatkan fungsi deria penglihatan, pendengaran, bau, sentuhan dan rasa. Kanak-kanak yang menghabiskan lebih banyak masa menonton televisyen, bermain komputer dan membaca buku di rumah hanya menggunakan dua jenis deria iaitu pendengaran dan penglihatan.

Belajar permainan


Kanak-kanak sememangnya gemar merintis permainan-permainan yang baru. Sikap mempelajari permainan itu membantu mereka meneroka kebolehan diri.

Mereka juga akan berada dalam keadaan yang terkawal dan lebih rasional dalam membuat keputusan serta lebih terurus.

Selalunya sesuatu permainan mempunyai peraturan yang dipatuhi apabila kanak-kanak terdedah kepada situasi itu mereka akan memahami kepentingan undang-undang dan peraturan dalam kehidupan

Menghayati nilai keindahan


Persekitaran kaya dengan kawasan hutan, haiwan, tumbuhan, laut dan sebagainya, ini secara tidak langsung membantu perkembangan minda dalam menghargai keindahan. Kesedaran itu penting kepada kanak-kanak kerana membantu mereka melihat kecantikan yang terdapat di kawasan sekeliling. Ia juga menerap sikap mencintai alam semula jadi

1 comment: