Friday, July 9, 2010
Memahami Lelaki
Suka membisu
Golongan wanita berkebolehan untuk membicarakan sesuatu subjek yang sensitif dan sedih sebagai salah satu cara berhadapan dengan realiti. Tetapi lelaki pula lebih suka untuk menyembunyikan dan membisu.
Apabila lelaki membisu bukanlah bermakna dia tidak langsung memikirkan hal tersebut, sebaliknya dia enggan memanjangkan atau mengeruhkan sesuatu situasi buruk. Jadi, wanita usah bimbang atau bersangka buruk bahawa pasangan anda tidak langsung mempedulikan anda.
Cukup sekadar meluahkan apa yang tersirat di hati tanpa perlu membebel panjang. Lelaki biasanya akan faham dan selesa dengan situasi itu.
Lelaki tidak kompleks
Apabila seseorang lelaki menunjukkan tanda bahawa dia menyukai wanita yang pandai menjaganya, mengemas rumah, menyediakan makanan dan menghabiskan waktu intim bersama, wanita harus percaya bahawa itulah yang lelaki tersebut inginkan.
Ini bukan bererti lelaki berfikir secara primitif tetapi kebanyakan lelaki bersifat sedemikian. Wanita biasa menganggap lelaki sebagai kompleks dan sukar difahami sedangkan sebenarnya kehendak lelaki adalah mudah sahaja.
Jangan paksa lelaki
Apabila seseorang wanita mendesak lelaki agar mendedahkan perasaannya mungkin lelaki itu akan mendedahkan sesuatu yang wanita itu tidak suka mendengarnya. Maka adalah lebih baik jika tidak bertanya dan menyelidik perasaannya secara mendalam. Lebih baik bagi seseorang wanita itu membaca bahasa badan lelaki, lirik matanya atau perubahan mendadak dalam corak perlakuannya.
Pentingkan kejujuran
Sama seperti wanita, golongan lelaki juga mementingkan kejujuran. Jika lelaki mengetahui kekasih atau isterinya suka bercerita kepada wanita lain tentang dirinya besar kemungkinan lelaki itu tidak akan bercerita lagi secara telus mengenai hal-hal rahsia yang lainnya.
Kejujuran memang penting bagi lelaki. Seorang suami ingin isterinya menyimpan rahsia rumah tangga mereka daripada pengetahuan umum.
Hidup lelaki lebih mudah
Cara hidup lelaki lebih mudah berbanding wanita. Oleh sebab itu, lelaki sukar untuk memahami apabila sesuatu perkara itu disampaikan dalam bentuk bahasa kiasan oleh wanita. Wanita suka berkias dan berharap lelaki memahaminya, sedangkan mereka lebih suka jika perkara itu disampaikan dalam bahasa yang mudah dan berterus-terang. Sekiranya wanita tidak jelas mengenai sesuatu perkara, lebih baik berbual secara terbuka kepada lelaki.
Labels:
Cinta,
infomation,
information,
tips
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment