Kualiti kehidupan orang yang mengalami kemurungan mungkin terjejas teruk, namun keadaan itu masih kurang difahami. Malah, lebih buruk apabila orang ramai memberikan tanggapan negatif terhadap mereka yang mengalami masalah itu.
Kemurungan ialah satu gangguan mental umum. Mereka yang menghidap kemurungan biasanya mempunyai beberapa ciri seperti tiada mood, kurang minat, rasa bersalah atau rendah harga diri, tidur terganggu, hilang selera, kurang bertenaga dan tumpuan yang lemah.
Ia juga membuatkan seseorang rasa tiada harapan, pesimistik dan rasa bersalah. Masalah itu boleh menjadi kronik atau berulang lantas menjejaskan keupayaan seseorang individu menjalani kehidupan harian.
Dalam keadaan paling serius, kemurungan boleh menyebabkan seseorang itu mengambil nyawanya sendiri. Kebanyakan kes kemurungan boleh dirawat dengan ubat atau psikoterapi iaitu rawatan kaedah psikologi.
“Tanggapan salah dan pendangan serong yang dikaitkan dengan kemurungan adalah antara faktor umum yang menyebabkan seseorang enggan mendapatkan rawatan.
“Kemurungan adalah penyakit yang rumit. Ada banyak jenis kemurungan dan sempena Hari Kesedaran Kemurungan tahun ini, jenis kemurungan yang difokuskan ialah kemurungan selepas bersalin.
“Kempen pada tahun ini mengambil tema Kemurungan Selepas Bersalin: Merungkai Mitos,” kata Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr. Abdul Kadir Abu Bakar.
Beliau berkata demikian pada taklimat media sempena Hari Kesedaran Kemurungan baru-baru ini dihoskan oleh selebriti, Wardina Saffiyyah yang turut sama berkongsi pengalamannya menghadapi kemurungan selepas bersalin.
Kebanyakan orang belum pernah mendengar tentang gejala kemurungan selepas bersalin termasuklah dalam kalangan profesional penjagaan kesihatan dan ada yang mengabaikan kewujudan diagnosis ini.
Perkara yang menyedihkan tentang kemurungan lepas bersalin ialah si ibu dinafikan hak untuk merasa murung kerana dia tidak sepatutnya rasa sedih selepas bersalin.
“Hakikatnya kemurungan selepas bersalin adalah masalah umum, tetapi tidak ramai wanita yang mengalaminya sanggup mengakui menghidap masalah ini.
“Dianggarkan bahawa kemurungan selepas bersalin dialami antara 10 hingga 20 peratus wanita yang baharu menjadi ibu,” ujarnya.
Tambahnya, kemurungan selepas bersalin atau meroyan adalah kerumitan bersalin nombor satu. Keadaan tersebut boleh menjejaskan kesejahteraan ibu dan juga anak.
Bagaimanapun, sebagaimana masalah kemurungan lain, kemurungan selepas bersalin boleh dirawat.
Mahu cederakan diri
Menurut Abdul Kadir, kekurangan ilmu pengetahuan tentang keadaan sebenar meroyan menyebabkan ibu yang baru bersalin dihantui rasa takut dan akhirnya tidak mendapatkan rawatan yang sewajarnya.
“Diagnosis tepat dan rawatan awal dengan ubat yang betul adalah penting untuk menjamin keputusan rawatan yang baik dan mengurangkan kejadian berulang dalam apa jua bentuk kemurungan,” pesannya.
Para penyelidik mendapati kemungkinan kemurungan berulang kembali meningkat dengan setiap kejadian. Selepas kejadian pertama, kebarangkalian ia berlaku kurang daripada 50 peratus tetapi selepas kejadian kedua, kemungkinan meningkat kepada 70 peratus dan selepas kejadian ketiga, kemungkinan meningkat lebih daripada 90 peratus.
Kemurungan selepas bersalin kebiasaannya berlaku dua minggu selepas seseorang wanita itu bersalin, tetapi tidak semua wanita mengalaminya.
“Ia situasi biasa yang dialami oleh para ibu tetapi tempohnya tidaklah melebihi 12 hari. Perasaan itu biasanya akan hilang dalam masa 10-12 hari.
“Jika melebihi tempoh tersebut si ibu perlu mendapatkan rawatan segera sama ada kaunseling atau rawatan. Sememangnya ada rawatan yang disediakan bagi kemurungan selepas bersalin dan rawatan tersebut berkesan,” ujar Ketua Jabatan Perubatan Psikologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Nor Zuraida Zainal.
Tambahnya, kemurungan selepas bersalin dapat dielakkan melalui penyusuan bayi supaya hubungan ibu dengan anak itu rapat.
Dalam pada itu, selebriti terkenal, Wardina tidak ketinggalan berkongsi pengalamannya menghadapi kemurungan selepas melahirkan anak keduanya.
“Ya, saya pernah mengalaminya dan ia satu keadaan yang teruk. Saya tidak mahu orang lain mengalaminya.
“Saya bernasib baik kerana saya mendapatkan informasi mengenai kemurungan dan mengetahuinya dengan lebih mendalam serta cara mengatasinya,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Walaupun air mukanya nampak tenang, anda jangan terkejut bahawa Wardina pernah terfikir untuk pecahkan gelas dan mencederakan dirinya, malah menengking anaknya.
“Kini, jika ada rakan yang baru melahirkan bayi, saya akan jadi orang pertama yang akan bertanyakan khabar buat si ibu.
“Pesanan buat para suami, jangan sesekali membiarkan isteri anda yang baru melahirkan bayi seorang diri. Berbuallah dengan mereka dan beri mereka sokongan,” ujarnya.
Source: Kosmo Online
InsyaAllah..
ReplyDeleteSama2 kita menjaganya ya :)
ReplyDelete