KETIKA kecil dulu, sesiapa yang ada ketumbit pada mata pasti menjadi bahan usikan sekeluarga kerana ia sering dikaitkan dengan tabiat buruk iaitu mengintai orang.
Kalau ketumbit itu kecil, tidak mengapalah kerana tidak ramai yang akan perasan, tetapi ia jadi masalah jika benjolan seperti jerawat di tepi mata itu besar sehingga menyebabkan rasa sakit selain malu diusik.
Sebenarnya ketumbit tiada kaitan langsung dengan tabiat mengintai kerana ia sejenis keradangan pada kelopak mata yang disebabkan oleh jangkitan kuman.
Biasanya bakteria ini membiak di akar bulu mata sebelum menimbulkan masalah.
Mitos
Usikan mengaitkan ketumbit dengan tabiat buruk berkenaan perlu dihentikan, terutamanya jika ia berlaku pada anak yang berjiwa sensitif kerana ia boleh menyebabkan mereka jauh hati dan rendah diri.
Sebaliknya, terangkan keadaan sebenar mengenai masalah yang berlaku pada mata mereka.
Ketumbit boleh dibahagikan kepada dua jenis. Yang pertama akibat jangkitan kuman pada pangkal bulu mata.
Jenis kedua ialah keradangan yang disebabkan penyumbatan pada kelenjar yang menghasilkan minyak untuk menentukan bulu mata kalis air (kalazion).
Ketumbit tidak berbahaya, tidak kira saiznya besar atau kecil. Ia tidak menjejaskan penglihatan seseorang, tetapi boleh menyebabkan kesakitan disebabkan berlaku bengkak pada satu kawasan kecil yang sensitif di kelopak mata.
Kadang kala, seseorang boleh mendapat lebih daripada satu ketumbit pada satu masa, tetapi usah risau kerana ia tidak berbahaya.
Selain benjolan merah pada kelopak mata, antara gejala lain yang mengiringi ketumbit ialah:
Mata berair.
Mata terasa gatal, terutama jika ada habuk.
Mata menjadi sensitif terhadap cahaya.
Kelopak mata menjadi merah dan bengkak.
Kalazion
Biasanya ketumbit mengambil masa tiga hari sebelum ia pecah dan kering. Bagaimanapun dalam kebanyakan kes, ketumbit akan sembuh dalam tempoh seminggu.
Ketumbit jenis kedua yang disebabkan penyumbatan kelenjar minyak (kalazion) pula 'tumbuh' lebih perlahan dan jika ia terlalu besar, ia mungkin boleh mengganggu penglihatan.
Rawatan utama untuk ketumbit ialah pembedahan kecil atau penggunaan antibiotik setempat yang harus diletakkan ke dalam mata bagi merawat jangkitan kuman.
Pembedahan juga hanya diperlukan untuk ketumbit yang disebabkan oleh penyumbatan pada kelenjar di kelopak mata selepas rawatan antibiotik setempat tidak berkesan.
Selalunya ia berlaku selepas keradangan berlanjutan melebihi dua minggu.
Pada peringkat awal, kalazion dapat dirawat dengan meletakkan antibiotik dan diikuti dengan menuam mata dengan kain yang direndam dalam air suam untuk mengatasi penyumbatan pada kelenjar di kelopak mata.
Ini harus dilakukan sebanyak tiga kali sehari selama seminggu.
Rawatan
Ketumbit juga tidak menyebabkan kebutaan! Ini kerana ia hanya membabitkan kelopak mata.
Fungsi melihat bergantung kepada kesihatan biji mata dan kesihatan mata tidak terganggu apabila ada ketumbit.
Ketumbit boleh menyebabkan sedikit gangguan penglihatan jika ia menjadi terlalu besar dan menekan pada bahagian tengah mata, di mana ia menyebabkan astigmatisme.
Anak yang sering mendapat ketumbit juga bukannya kurang sihat. Sebenarnya ia cuma jangkitan kuman dan boleh berlaku pada sesiapa sahaja.
Ketumbit tidak berjangkit kepada orang lain! Ini kerana ia berlaku disebabkan penyumbatan pada kelenjar tarsal mata pesakit.
Jika berlaku ketumbit pada kelopak mata anak anda, segera berjumpa doktor untuk mendapatkan antibiotik dan memulakan rawatan untuk mencegah pembesaran ketumbit.
Pembedahan kalazion untuk golongan dewasa dan kanak-kanak juga berbeza dan hanya dilakukan jika perlu.
Untuk orang dewasa, selalunya ia dilakukan dengan pembedahan menggunakan bius setempat dan tidak menyakitkan.
Bagaimanapun, kanak-kanak akan memerlukan bius am (penuh) untuk menjalani pembedahan ini atas sebab-sebab yang jelas.
No comments:
Post a Comment