Assalamualaikum.
Waspada dengan penyakit bawaan nyamuk. Umumnya kite semua tahu bahasa nyamuk ada membawa penyakit berbahaya. Bergantung kepada jenis nyamuk yang digigit juga lah kan..
Kalini nak share mengenai penyakit bawaan nyamuk. Artikel dari Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah ini sangat berguna untuk kita semua. Kita sama sama baca ok apa yang ditulis oleh beliau. Kredit kepada Utusan Online di atas artikel yang bagus ini
Gigitannya meninggalkan bekas kemerah-merahan dan gatal. Manusia pula seperti kurang gemar jika haiwan kecil itu cuba mendampingi lebih-lebih lagi hinggap di tubuh kita. Suka atau tidak, nyamuk ialah sebahagian daripada kehidupan manusia yang dibunuh apabila ia cuba menggigit.
Kehadirannya kelihatan bersahaja seperti serangga perosak yang lain walhal ia sebenarnya pembunuh atau pembawa pelbagai jenis penyakit.
Nyamuk atau nama sainsnya anophelese hidup di negara beriklim khatulistiwa dan tropika. Biarpun daripada jenis serangga kecil dan tidak berbisa, nyamuk tergolong serangga berbahaya. Jadi, jangan pandang mudah mengenai ancaman ditimbulkan nyamuk.
Antara wabak penyakit berpunca bawaan nyamuk ialah Malaria, Filariasis (penyakit untut), demam denggi, deman denggi berdarah, deman kuning dan Japanese encephalitis (JE).
Wabak penyakit ini mudah merebak dan boleh mendatangkan maut dalam masa singkat selepas dijangkiti. Sebab itu, sesiapa disyaki menghidap malaria, demam denggi, demam denggi berdarah dan JE perlu mendapat rawatan segera.
Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, (WHO) baru-baru ini memberi amaran virus Zika, yang disebabkan gigitan nyamuk mungkin tersebar secara meluas di seluruh benua Amerika.
Virus itu dikesan kali pertama pada spesies monyet sekitar 1947.Ia tersebar secara besar-besaran di Amerika Syarikat (AS) apabila jangkitan pertama kali dikesan di Brazil pada Mei tahun lalu.
Setakat ini boleh dikatakan hampir tidak ada vaksin khusus untuk menangai wabak penyakit bawaan nyamuk. Kalau ada pun, kesan vaksinnya hanya untuk tempoh masa yang tertentu.
Contohnya, vaksin untuk mencegah malaria yang diambil hanya mampu bertahan dalam tempoh masa yang singkat. Vaksin itu juga tidak berkesan serta- merta.
Menurut Pakar Perubatan Dalaman Hospital Pakar KPJ Johor, Datuk Dr. M. Singaraveloo, (gambar) memandangkan tiada rawatan aktif mahupun rawatan pencegahan penyakit akibat bawaan nyamuk, satu-satunya cara mengelakkan jangkitan adalah dengan mengurangkan pendedahan terhadap jangkitan nyamuk ke tahap maksimum.
Ini termasuklah memusnahkan sarang pembiakan larva bagi menghentikan rantaian kitar hidup dan penularan nyamuk.
“Orang ramai perlu memeriksa dan menjaga kebersihan persekitaran rumah untuk memastikan tidak ada tempat atau bekas yang boleh menakung air dan menjadi punca pembiakan nyamuk.
“Kedua, menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk dengan membuang takungan air dan mencuci bekas-bekas tersebut dengan bersih untuk memusnahkan sisa-sisa telur nyamuk. Ini adalah kerana telur-telur nyamuk boleh bertahan di tempat yang kering selama enam bulan dan apabila telur-telur tersebut terdedah kepada air, telur-telur nyamuk boleh menetas dalam masa tujuh hari,” katanya.
Selain itu, orang ramai perlu membuang sampah sarap secara kerap dan teratur terutama sekali sampah sarap yang boleh menakung air dan sentiasa menjaga kebersihan persekitaran.
Dr. M. Singaraveloo menasihatkan orang ramai segera mendapatkan rawatan di pusat-pusat atau klinik-klinik kesihatan yang berdekatan jika mengalami tanda-tanda penyakit seperti yang disebutkan di atas.
Denggi
- Disebabkan oleh virus denggi yang dibawa melalui gigitan nyamuk Aedes.
- Nyamuk ini membiak di dalam takungan air jernih di dalam dan luar rumah.
- Tanda-tanda diserang demam denggi: demam kuat yang mengejut dan berlarutan, sakit tulang-tulang, otot-otot, sendi-sendi dan biji mata, ruam merah dikulit, sakit kepala, hilang selera makan, muntah-muntah, sakit perut dan pendarahan pada kulit, hidung dan gusi.
Malaria
- Disebabkan oleh gigitan nyamuk Tiruk (Anopheles) yang membawa parasit Malaria yang akan hidup dalam sel darah merah pesakit dan akan merosakkan sel darah merah tersebut.
- Nyamuk tiruk membiak di kawasan berair jernih seperti di kawasan anak sungai di kaki bukit, aliran air tepi semak, air dicelah-celah batu dan kawasan air yang terdapat di semak samun.
- Tanda-tanda diserang malaria, bermula rasa sejuk sehingga menggigil, diikuti dengan rasa badan amat panas dan akhirnya berpeluh dan merasa seperti pulih seperti biasa. Demam akan berulang selang satu hingga dua hari jika tidak mendapat rawatan sewajarnya.
- Disebabkan oleh cacing filaria dewasa yang hidup di saluran limpa pesakit yang dibawa melalui gigitan nyamuk Mansonia.
- Nyamuk ini membiak di kawasan pengairan berpaya dan banyak tumbuhan air seperti kiambang.
- Mikrofilaria (anak cacing) dari darah pesakit masuk ke dalam badan nyamuk, selepas 10 hari ia akan bertukar menjadi larva. Nyamuk ini menggigit orang yang sihat dan akan menjangkitkan larva ke dalam badan orang yang digigit. Larva ini memerlukan masa tiga hingga 12 bulan untuk menjadi cacing dewasa yang hidup di dalam saluran limpa kelenjar.
- Tanda-tanda diserang penyakit filariasis ialah demam berulang-ulang, bengkak kelenjar dan kejang urat betis, bengkak kelenjar limfatik di bahagian paha atau ketiak, bengkak bahagian kaki sebelah atau kedua-dua dan pembengkakan alat kelamin bagi pesakit lelaki.
Japanese Encephalitis
- Disebabkan oleh virus yang dijangkitkan melalui gigitan nyamuk Culex. Nyamuk Culex membiak di tempat takungan air semula jadi yang kotor seperti kolam, lopak air parit dan sawah padi.
Virus Zika
No comments:
Post a Comment