heartbeat

Friday, April 22, 2011

22 April is Earth Day

April 22 is the 112th day of the year (113th in leap years) in the Gregorian calendar. There are 253 days remaining until the end of the year.

Earth Day is a day that is intended to inspire awareness and appreciation for the Earth's natural environment. Earth Day was founded by United States Senator Gaylord Nelson as an environmental teach-in first held on April 22, 1970. While this first Earth Day was focused on the United States, an organization launched by Denis Hayes, who was the original national coordinator in 1970, took it international in 1990 and organized events in 141 nations. Earth Day is now coordinated globally by the Earth Day Network, and is celebrated in more than 175 countries every year. Numerous communities celebrate Earth Week, an entire week of activities focused on environmental issues. In 2009, the United Nations designated April 22 International Mother Earth Day.

22 April 2011

 Bismillahirrahmanirrahim

Allahuma salli ala Muhammadin wa aale Muhammad

Assalamualaikum..

Bersyukur ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah kurniaan dari-Nya, kini aku melangkah setahun lagi dalam kalendar kehidupanku.

Hari ini tepat jam 10:17pagi, aku berusia 30 tahun. Aku bersyukur dengan izin dari Allah SWT, sempat juga aku  menghirup udara segar pemberian dari-Nya. Merasa juga aku dengan kenikmatan hidup ihsan dari-Nya.

Sesungguhnya aku bersyukur dengan pemberian Allah yang mengizinkan aku terus bernafas dan melalui kehidupan ini dengan tabah dan bersyukur.

Semoga Allah merahmati dan memberkati diriku dan kalian semua. Semoga Allah melindungi diriku dan kalian semua. Aku berdoa pada-Mu Ya Allah, semoga doaku dan hajatku diperkenankan oleh Allah SWT. Insya Allah..

Semoga hari-hari yang ku lalui akan diberkati oleh-Mu Ya Allah.

Happy birthday to ME.. :)

Tuesday, April 19, 2011

Gagal Hadapi Tekanan

TATKALA dibuka pautan Wikipedia mengenai kes bunuh diri, terbentang senarai panjang nama-nama mereka yang menamatkan riwayat hidup dengan cara sedemikian.


Bukan calang-calang orang. Antaranya, pemimpin Nazi Jerman, Adolf Hitler yang mengambil jalan singkat dengan cara menembak mulut untuk melindungi diri daripada ditangkap tentera Soviet pada tahun 1945.

Tidak ketinggalan ahli politik Amerika, R.Budd Dwyer, mengambil langkah yang sama ketika sidang media diadakan pada 1987.

Sekadar memberi dua contoh yang menjadi ingatan masyarakat, sebenarnya terlalu banyak untuk disenaraikan. Tidak keterlaluan andai dikatakan hampir setiap hari ia berlaku. Sama ada mengambil jalan drastik seperti menembak, menggantung, terjun dari tempat tinggi atau dengan mengambil ubat serta dadah berlebihan, tujuannya cuma satu - mati!

Sungguh tragik sehingga terbayang juga bagaimana mereka yang waras sampai mampu mengambil langkah sedemikian.

Pakar Psikiatri Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah berkata, tindakan membunuh diri merupakan satu keputusan dinamik dengan niat untuk menamatkan hidup yang berpunca daripada beberapa sebab.

"Bunuh diri di kalangan mereka yang waras biasanya bertujuan melarikan diri daripada masalah yang ditanggung.

"Justeru dengan tindakan sedemikian, mereka tidak perlu lagi memikirkan penyelesaian dan berhadapan dengan perasaan malu berikutan masalah tersebut," kata beliau.

Berbeza dengan mereka yang mengalami masalah mental, si pelaku biasanya sedar dan nekad dengan tindakan yang diambil.

Namun kata, pelaku juga mungkin mempunyai masalah berkaitan mental seperti kemurungan yang kadangkala tidak disedari menyebabkan mereka boleh melakukan tindakan sebegini.

Masalah

Tekanan sosial seperti masalah dengan kerja, keluarga atau peribadi merupakan punca utama seseorang individu mengambil jalan singkat dengan membunuh diri, kata Dr. Nor Hamidah.

"Biasanya melibatkan masalah besar dalam hidup atau boleh juga dipanggil tekanan akut membuatkan seseorang itu nekad untuk menamatkan riwayat hidup," katanya.

Jelas beliau lagi, kadangkala si pelaku tidak mengambil masa yang panjang untuk membuat keputusan. Dalam keadaan yang amat terdesak, satu keputusan drastik sudah cukup untuk menghentikan segala-galanya.

"Terdapat juga kes si pelaku kelihatan seperti tiada masalah namun sebenarnya mengalami tekanan hidup yang sangat terdesak," katanya.

Lantaran masalah yang ditanggung sukar diatasi, dalam masa yang singkat fikiran mereka boleh melangkaui prinsip sehingga melakukan satu perkara akhir iaitu dengan cara membunuh diri.

Sebagai contoh beberapa peristiwa di kalangan ahli politik di Jepun yang terlibat dengan skandal atau mengalami kekalahan.

Jalan paling singkat mereka lakukan untuk menyelesaikan masalah tersebut dan melarikan diri daripada menanggung malu adalah dengan membunuh diri. Biasanya bila terjadi keadaan begini, kes tersebut ditutup.

Simptom

Jelas Dr. Nor Hamidah, mood mereka yang mengambil jalan singkat untuk membunuh diri biasanya boleh dikesan oleh orang yang terdekat.

"Ada yang memberi petunjuk jelas, seperti melalui kata-kata atau nota. Ada juga yang tidak menunjukkan sebarang reaksi tetapi kita tahu bahawa dia sedang menanggung tekanan yang tinggi," kata beliau.

Jelasnya, melalui keadaan seperti menyendiri, tidak banyak bercakap dan gelisah sudah menunjukkan seseorang itu mempunyai masalah.

Bagi Dr. Nor Hamidah, masalah merupakan perkara biasa yang dihadapi oleh semua individu. Terpulang pada bagaimana cara kita menangani, ia boleh menjadi masalah paling serius hingga membawa kepada tindakan membunuh diri.

"Masyarakat sebenarnya memainkan peranan penting dalam menyekat tindakan akhir ini daripada berlaku. Jika merasai sesuatu kelainan pada orang terdekat seperti ahli keluarga, bawa mereka berjumpa pakar untuk mendapatkan penyelesaian," kata beliau.

Bagi mereka yang mungkin sedang melihat seseorang individu cuba untuk membunuh diri atau melakukan perkara yang menjurus ke arah itu, lakukan sesuatu sebelum terlambat.

"Seandainya kita tidak yakin untuk membantu, dapatkan bantuan luar seperti pihak berkuasa dan sebagainya. Sekurang-kurangnya kita tidak menjadi penonton atau merelakan sahaja kejadian tersebut berlaku," kata beliau lagi.



Source: Utusan Malaysia
 

Piramid jadi panduan

PEMAKANAN yang baik semasa kanak-kanak penting untuk menyokong keperluan anak anda yang sedang membesar. Di samping menambahkan ketinggian dan berat badan, anak-anak juga sangat aktif secara fizikal. Mereka memerlukan tenaga dan nutrien yang mencukupi untuk tumbesaran, memelihara fungsi tubuh dan kesihatan keseluruhan.


Apabila anak anda berinteraksi secara aktif dengan persekitaran dan orang ramai, mereka terdedah kepada pelbagai ancaman kesihatan seperti jangkitan bakteria dan virus. Pemakanan yang baik dapat membantu mengekalkan sistem imun yang kuat serta menggalakkan pemulihan lebih cepat jika jatuh sakit.

Pemakanan yang baik juga penting untuk perkembangan mental kanak-kanak. Otak dan sistem saraf anak anda memerlukan nutrien mencukupi untuk berfungsi secara optimum. Dengan sokongan pemakanan yang baik, anak anda akan lebih bersedia untuk belajar dan cemerlang di dalam akademik.

Bagi mencapai tumbesaran dan perkembangan optimum, anak anda memerlukan pelbagai nutrien untuk pelbagai fungsi, yang boleh didapati daripada diet hariannya.

Karbohidrat

Sumber tenaga terbaik untuk tubuh.

Karbohidrat (seperti kanji, gula) akan dipecahkan kepada glukosa serta digunakan untuk menggerakkan fungsi tubuh dan membekalkan tenaga. Glukosa adalah satu-satunya sumber tenaga untuk otak anak anda.

Sumber karbohidrat kompleks yang baik termasuk beras, gandum, oat, barli dan produk-produk yang diperbuat daripada bahan-bahan ini (seperti mihun, kuetiau, roti, biskut dan bijirin sarapan), dan juga ubi seperti kentang, keledek dan keladi.

Protein

Asas binaan tulang, darah dan otot.

Membaiki, mengganti dan menghasilkan tisu untuk memastikan tumbesaran optimum.

Protein diperbuat daripada asid-asid amino. Tubuh memerlukan 22 asid amino: 14 boleh dihasilkan di dalam tubuh dan lapan mesti diambil daripada makanan (asid amino perlu).

Protein daripada sumber haiwan (seperti ikan, ayam itik, daging, telur, susu dan produk tenusu) dan sumber tumbuh-tumbuhan (seperti kekacang, kacang pea dan lentil).

Lemak

Membekalkan tenaga, vitamin-vitamin larut lemak dan asid-asid lemak penting yang hanya boleh didapati daripada makanan.

Mengekalkan suhu tubuh dan menghasilkan hormon serta sel-sel dalam tubuh.

Sumber lazim adalah minyak masak (seperti minyak sawit, minyak kacang soya). Lemak-lemak tak tepu, seperti daripada ikan, legum, kekacang dan biji-bijian merupakan sumber lemak diet yang baik. Kurangkan pengambilan lemak tepu daripada sumber haiwan seperti ghee, lemak khinzir dan juga kelapa.

Vitamin dan mineral

Mengekalkan tumbesaran dan kesihatan keseluruhan, kerana kedua-duanya menjalankan fungsi-fungsi penting di dalam tubuh.

Diperlukan dalam kuantiti kecil, tidak boleh dihasilkan dalam tubuh dan hanya boleh didapati daripada makanan.

Keperluan boleh dipenuhi dengan memakan pelbagai jenis makanan daripada lima kumpulan makanan dalam piramid makanan.

Air

Mengekalkan keseimbangan cecair tubuh.

Menyerap haba metabolik di dalam tubuh. Berfungsi sebagai medium pengangkutan di dalam tubuh (seperti menghantar nutrien ke organ-organ di dalam tubuh dan menyingkirkan bahan kumuh daripada tubuh).



Amalkan asas pemakanan sihat

Hanya anda yang boleh memastikan anak anda menerima yang terbaik dari segi pemakanan. Anda beruntung kerana ia bukanlah sesuatu yang sukar. Prinsipnya mudah - bekalkan makanan yang betul, pada masa yang betul, serta dalam jumlah yang betul.

Jadikan Piramid Makanan Malaysia sebagai panduan apabila membuat pilihan makanan. Hidangkan makanan daripada kelima-lima kumpulan makanan di dalam piramid tersebut mengikut bilangan hidangan yang disarankan. Jangan lupa untuk mempelbagaikan makanan yang disediakan setiap hari kerana tiada satu jenis makanan yang boleh memenuhi kesemua keperluan pemakanan anak anda. Sentiasa berikan alternatif yang berkhasiat untuk makanan yang anak anda tidak gemari. Contohnya, hidangkan kangkung jika dia tidak gemarkan bayam; berikan ayam jika dia enggan makan ikan. Paling penting adalah memberinya gabungan makanan-makanan berkhasiat yang membekalkan pelbagai nutrien untuk menyokong keperluannya.

Berikut beberapa tip tabiat diet yang baik untuk ibu bapa amalkan di rumah:

Pastikan anak anda makan sarapan pagi sebelum ke sekolah. Sarapan yang berkhasiat akan memberinya permulaan hari yang baik, menggerakkan metabolismenya, serta memberikan tenaga untuknya belajar dan bermain di sekolah. Anak anda boleh pilih sarapan pagi yang ringkas seperti segelas susu bersama semangkuk bijirin sarapan atau sandwich tuna. Bagi ibu bapa yang sentiasa terburu-buru pada waktu pagi, cuba rancang dan sediakan bahan ramuan pada malam sebelumnya.

Pastikan anak anda mempunyai tiga waktu makan utama dan dua snek setiap hari. Makan snek antara waktu makan akan membantu anak anda bertenaga sepanjang hari. Pilih snek yang berkhasiat, seperti kraker biasa, buah-buahan dan yogurt. Bagaimanapun, jangan ganti waktu makan utama dengan snek. Jangan beri snek kepada anak anda dua jam sebelum waktu makan utama bagi mengelakkan anak anda hilang selera semasa waktu makan utamanya.

Sediakan bekalan snek yang berkhasiat (seperti sandwic, buah-buahan potong) untuk anak anda bawa ke tadika atau sekolah. Ini merupakan satu cara memastikan dia makan secara sihat walaupun di luar rumah.

Kurangkan menggoreng dalam minyak yang banyak, guna kaedah masak yang sihat seperti stim, kacau goreng, bakar dan panggang. Had penggunaan lemak, gula, garam dan perasa dalam masakan.

Beri anak minum susu setiap hari. Jangan berhenti hanya kerana dia telah bersekolah. Galakkan dia minum 6-8 gelas air kosong sehari. Anda juga boleh memberi anak anda sumber cecair lain seperti sup dan jus, sebaik- baik-nya yang rendah lemak dan gula.

Pemakanan yang baik bukan sekadar boleh mencegah masalah berlebihan berat atau kurang berat dalam kalangan kanak-kanak. Ia adalah asas ke arah membentuk kesihatan mereka untuk jangka masa panjang. Jadi tanamlah tabiat makan secara sihat di dalam anak anda daripada kecil, supaya dia akan menikmati tumbesaran dan perkembangan yang optimum, dan juga kesihatan yang baik pada masa hadapan.



PENULIS ialah Pengerusi Ahli Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Bulan Nutrisi Malaysia (NMM).

Monday, April 18, 2011

Tafsirannya:-

001 Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihi

002 Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam

003 Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihi

004 Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat)

005 Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan

006 Tunjukilah kami jalan yang lurus

007 Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

Kalimah 'Bismillah' senjata ampuh lawan iblis, syaitan



Mukmin harus sentiasa berdoa bagi mendapat keberkatan dalam kerja

APA saja pekerjaan yang ingin dilakukan hendaklah dimulai dengan ucapan 'Bismillah' yang bermaksud, Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Kalimat itu wajar diucapkan untuk mendapat berkat di samping memohon perlindungan Allah dari sebarang ancaman bahaya.
 
Ada dicatatkan, Allah akan bermurah hati menolong orang yang menyebut nama-Nya setiap kali memulakan tugas atau melakukan pekerjaan. Satu keadaan luar biasa diberikan Allah bagi siapa saja yang yakin, bersungguh-sungguh dan sentiasa mengingati-Nya. Diceritakan bahawa Nabi Nuh bersama pengikutnya dan sejumlah binatang berpasangan selamat belayar dan kemudian berlabuh di pelabuhan setelah diajar Allah mengucap kalimah ‘Bismillah.’ Sementara mereka yang menentang dan menolak ajakan Nabi Nuh bertuhankan Allah, ditenggelamkan dalam banjir besar.


Hal ini difirmankan Allah dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan Nuh berkata, naiklah kamu sekalian ke dalamnya dengan menyebut nama Allah di waktu belayar dan berlabuhnya.” (Surah Hud, ayat 41)

Nabi Muhammad SAW menerima wahyu Allah yang pertama ketika Baginda berada di Gua Hira yang dibawa malaikat Jibril seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan.” (Surah Al-Alaq ayat 1)

Yang dimaksudkan dengan nama Tuhan di sini ialah Allah. Jadi ‘bacalah dengan nama Tuhanmu’ bererti bacalah dengan Asmaa Allah, Bismillah atau bacalah dengan nama Tuhan Yang Maha Pencipta.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Adalah Jibril apabila datang kepadaku pertama yang diberikan kepadaku Bismillahirrahmanirrahiim.”

Pengucapan kalimah ‘Bismillah’ hendaklah diresapkan ke dalam hati sewaktu mengucapkannya kerana Allah melihat hati manusia, bukan apa yang diucapkan tetapi apa terniat dalam hatinya.

Musuh utama manusia ialah iblis dan syaitan. Iblis dan syaitan bertekad dan meminta izin daripada Allah untuk menggoda dan menyesatkan umat Nabi Muhammad sehingga kiamat. Hanya orang beriman, beramal soleh dan kukuh keyakinan pada kekuasaan Allah dapat bertahan daripada godaan iblis dan syaitan seterusnya beroleh kemenangan.

Berlindung dengan Allah adalah senjata ampuh apabila berdepan iblis dan syaitan. Zikir adalah senjata ditakuti iblis dan syaitan.

Kalimah ‘Bismillah’ juga ampuh berdepan dengan kekuatan iblis dan syaitan. Kalimah itu bukan saja dapat menakutkan iblis dan syaitan, bahkan mengecilkan pengaruh, kekuatan, sekali gus mengecilkan gangguan mereka kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Dikisahkan bahawa syaitan gemuk bertemu dengan syaitan kurus. Si gemuk bertanya: “Apa yang menyebabkan kamu kurus? Syaitan kurus menjawab: Aku tinggal di rumah orang yang apabila memasuki rumahnya ia mengucapkan ‘Bismillah,’ dan apabila makan ia mengucapkan ‘Bismillah.’ Oleh kerana ucapannya itu aku menjadi kurus seperti ini.”

Syaitan gemuk berkata lagi: “Aku pula tinggal di rumah orang yang tidak mengerti apa-apa lalu aku menyertainya pada makanannya pakaiannya dan pergaulannya. Akhirnya kunaiki tengkuknya seperti kenderaan saja layaknya.”

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila salah seorang di antara kamu makan, maka hendaklah menyebut nama Allah. Lalu jika ia lupa menyebut nama Allah pada permulaannya, maka hendaklah ia mengucapkan, dengan menyebut nama Allah pada permulaan dan akhirnya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)

Demikian rahsia dan hikmah kalimah ‘Bismillah’ serta berkat yang diperoleh apabila kita mengucapkannya. Sesungguhnya apabila kita mengingati dan menyebut nama Allah, maka Allah akan mengingati, menolong, memudahkan atau meringankan pekerjaan yang kita laksanakan.
Sebahagian ulama berkata, barang siapa mengangkat kertas dari permukaan bumi yang dalamnya tertulis nama Allah, dengan tujuan mengagungkan-Nya atau berasa bimbang kertas itu dipijak, maka ia ditulis di sisi Allah daripada golongan siddiqin (orang yang benar).
 
Source: Berita Harian
 

10 petua nasihat jadi suami mithali

1. Isteri adalah manusia
Mereka adalah kaum wanita yang penuh dengan perasaan emosi. Apabila mereka reda dan bahagia dengan setiap perkara yang mereka lakukan, maka perasaan mereka tenang dan gembira. Namun, jika mereka tertekan dengan apa yang berlaku, emosi mereka mulai berkecamuk dan sering ingin mencari jalan keluar daripada masalah yang mereka hadapi
 
2. Dengar pendapat isteri
Suami isteri perlu sering bertukar-tukar pendapat tidak kira taraf pendidikan atau profesionalisme mereka. Isu semasa boleh dijadikan sebagai 'ice-breaking'. Kemudian, berbincanglah mengenai hal rumah tangga dan masa depan. Suami boleh bertanyakan pandangan isteri mengenai masalah kerjanya. Malah, isteri tentu berminat hendak mengetahui 'gosip' pejabat selepas seharian berhempas pulas di rumah. Dari situ isteri dapat mengenali karektor rakan pejabat suami secara tidak langsung.
 
 3. Beri pujian kepada isteri
Jangan lokek memberi pujian kepada isteri dengan mengatakan dia cantik dan kemas. Pujian ini penting untuk menaikkan semangat isteri tatkala semangatnya hilang dan luntur. Memanglah wajar isteri penat jika dia terpaksa bangun pagi seawal lima pagi bagi memastikan semuanya beres demi kemudahan suami dan anak-anak. Kemudian tidur pula paling lewat kerana sibuk menyediakan persiapan untuk esok hari.

4. Menganggap pasangan seperti diri sendiri
Menganggap pasangan sebagai diri sendiri yang harus dihargai, dibelai, dihormati, disayangi dan dikasihi. Semua orang suka dibelai dan dikasihi lebih-lebih lagi pasangan suami dan isteri. Mengapa selepas berkahwin cinta tidak sehangat sewaktu bercinta. Inilah yang sering diabaikan oleh kebanyakan pasangan. Sedangkan pasangan anda adalah cermin diri anda sendiri. Ke mana juga anda pergi potret wajahnya perlu anda bawa bersama. Jika ini diamalkan selalu, rumah tangga akan menjadi bahagia.

5. Ingat tarikh penting
Manusia memang suka dihargai dan dikejutkan dengan pemberian hadiah oleh sesiapa saja apatah lagi daripada orang yang disayangi. Jika suami seorang yang prihatin dan menyayangi isterinya, apalah salahnya jika dia memberikan hadiah kepada isterinya. Hadiah tidak perlu terlalu mahal. Cukup sekadar seutas jam atau sehelai tudung sempena meraikan hari lahir. Jika 'budget' anda tidak mencukupi, sekuntum bunga dan sekeping kad sudah memadai. Hati isteri akan tersentuh dengan pemberian hadiah dan lebih terharu jika anda sempat menulis sepatah dua kata penghargaan di dalamnya seperti "Terima kasih di atas segala pengorbanan sayang selama ini".

6. Penuhi hajat isteri
Bukan semua hajat isteri boleh dipenuhi oleh suami. Jika isteri berhajatkan sebuah mesin basuh atau mesin jahit, suami mungkin terpaksa berfikir dua atau tiga kali sebelum memenuhinya. Bagaimanapun, jika anda tidak berjaya memenuhi hajat isteri untuk masa yang terdekat, simpanlah hajat isteri anda itu dan tunaikanlah apabila anda berpeluang kelak. Bukankah pemberian itu melambangkan anda suami yang amat menghargai pengorbanan isteri?

7. Bantu ringankan tugas isteri
Suami perlu turun padang membantu isteri, jika setiap hari isteri anda bertungkus lumus memasak, membasuh dan mengemas rumah. Jika anda tidak mahir memasak makanan yang berat seperti lauk pauk cukup sekadar menggoreng ikan atau telur. Cuba perhatikan isteri anda yang sedang menikmati makanan yang anda masak. Tentu dia berasa gembira dan tersenyum.

8. Isteri bukan pembantu rumah
Kebanyakan suami menganggap kerja rumah adalah tanggungjawab isteri 100 peratus. Walhal dalam Islam sendiri tidak ada hukum yang mengatakan bahawa isteri wajib melakukan kerja rumah. Cuma, ajaran Islam mengatakan wanita berkahwin yang taat dengan suami dan Tuhan, menjaga harta dan maruah suami dengan sebaik akan dijamin masuk syurga. Itu saja. Atas jaminan inilah ramai wanita tidak berkira dengan kerja rumah yang mereka lakukan selama ini.

9. Bawa isteri berehat
Kebanyakan suami menganggap berjauhan daripada isteri adalah suatu kebebasan baginya kerana isteri tidak dapat menghidu apakah yang dilakukan di belakangnya. Kini, anda cuba terbalikkan situasi ini. Sentiasa bawa isteri berjalan-jalan dan berehat di tempat peranginan yang menarik. Walaupun ia nampak remeh, setiap isteri pasti akan menghargai saat manis itu.

10. Ciuman khas untuk isteri
Cuba anda tanya diri sendiri bilakah kali terakhir anda mencium dahi isteri anda ketika dia berehat selepas begitu penat bekerja. Tahukah anda ciuman anda di dahi atau kucupan di bibirnya dapat menghilangkan segala kepenatan dan tekanan pada dirinya hari itu. Begitulah kuatnya kuasa ciuman suami kepada isteri.


Dipetik daripada Ensaiklopedia Petua Melayu Lama

Thursday, April 14, 2011

Batasku Asaku - Siti Nurhaliza






Bila kutercipta dari tulang rusukmu

Mengapa kumampu sempurnakan hidupmu

Bila ku ada karena kau ada

Mengapa kau tak bisa sendiri saja


Dalam teguh tak larut belaian

Ranum sahaja bukan hiasan

Untaian cinta gapai genggaman

Yakinkan mimpi dalam iman


Batasku sadari raut kodratku

Asaku menari terbalut sorbanmu

Lembutnya jiwa sambut nestapa

Terngiang syahdu iman di dada


Bila cerita tak lagi ceria

Mahligai cinta merona terlena

Senada iman kusimpan derita

Kuatkan hati bersimpuh pada-Nya...

Lirik: Attan Hardilas




Tuesday, April 12, 2011

Terima Dia Seadanya.

IKATAN cinta yang dibina bertahun-tahun sebelum disimpul dengan ikatan perkahwinan bukan jaminan kepada keutuhan rumah tangga.


Malah banyak perkahwinan yang cuma bertahan beberapa bulan mahupun hari, biarpun pasangan sudah saling mengenali dan bercinta berbelas tahun.

Ada pula suami isteri hanya sekadar pada nama sedangkan makan tidak semeja, tidur tidak lagi sekatil.

Apabila ditanya, mereka akan menjawab, semua itu berlaku kerana sudah tidak ada persefahaman.

Benarlah kata orang alam percintaan dan perkahwinan sangat berbeza.

Pasangan suami isteri perlu menyedari pentingnya untuk mengenali dan memahami segala perkara mengenai pasangan masing-masing.

Bukanlah sesuatu yang susah untuk menjaga hati seorang lelaki atau sebaliknya dan memastikan si dia setia dengan anda.

Tidak banyak yang si dia inginkan dari anda. Cukuplah sekadar memahami apa yang mereka impikan dari seorang wanita mahupun lelaki.

Malangnya, tidak ramai para isteri atau suami berjaya memahami pasangan, gagal menawan hati si dia dan sebagainya.

Ini kerana anda tidak pernah mengetahui dan mengenali sikap dan perilakunya sebenar.

Setiap orang mempunyai keistimewaan dan kelemahan masing-masing, begitu juga dengan si dia.

Semasa di alam percintaan dan pertunangan mungkin tidak dapat mengesan kekurangan dan kelemahannya. Setelah berumah tangga baru keadaan ini terserlah.

Sudah tentu keadaan ini amat mengecewakan, lama-lama kekurangan keadaan itu akan menjadi api dalam sekam dalam kehidupan.

Inilah antara punca keretakan rumah tangga di mana rasa tidak puas hati akan mengganggu keharmonian suami isteri.

Bagi pasangan yang ingin terus kekal bahagia, mereka perlu berusaha untuk belajar mengubah sikap yang suka melihat kelemahan antara satu sama lain dan mengamalkan sikap menerima pasangan kita seadanya.

'Menerima' bermakna mengiktirafkannya seperti mana diri kita sendiri yang ada keistimewaan dan kelemahan, dengan pandangan terbuka di samping saling mengagumi nilai-nilai baik yang ada pada diri pasangan, segala konflik yang timbul akan dapat diatasi.

'Penerimaan' bermaksud sekadar menerima pasangan sebagai diri beliau seadanya. Kita menerima cara, harapan dan impiannya atau mungkin juga sebagai seorang yang tiada impian.

Kita juga perlulah menerima idea, minat dan juga kelemahan suami, termasuklah juga menerima kekurangan dalam personaliti atau apa-apa pegangan terhadap agama atau politik.

Dalam situasi ini, suami atau isteri perlu menerima hak pasangan untuk menjadi dirinya yang sebenar. Kita mungkin tidak setuju dengan ideanya, tetapi kita hormati hak si dia terhadap pandangannya itu.

Secara ringkas, penerimaan bermaksud menerima si dia sebagai manusia biasa yang memiliki nilai baik dan ada pula kelemahan. Isteri atau suami tidak berasa bimbang dengan kelemahan pasangan kerana dia hanya melihat kebaikan yang dimiliki.


Source: Utusan Malaysia

Sindrom mati mengejut orang muda

KEJADIAN mati secara mengejut akibat serangan jantung dan angin ahmar (strok) semakin meningkat setiap tahun. Malah, ia menjadi ancaman yang perlu diberi perhatian serius oleh rakyat negara ini.


Lebih buruk apabila penyakit yang dahulunya banyak menyerang individu melebihi usia 50-an kini mula menyerang golongan muda sama ada mereka aktif bersukan atau sebaliknya.

Dalam tempoh dua dekad kebelakangan ini, dunia perubatan mengetengahkan istilah sindrom metabolik. Sindrom itu berpunca daripada tiga jenis penyakit iaitu serangan jantung, diabetes dan hipertensi.

Sindrom bererti sekumpulan simptom atau keabnormalan fizikal yang wujud pada masa yang sama dalam diri individu tertentu.

Metabolik merupakan satu proses kimia yang berlaku dalam badan manusia untuk tujuan tumbesaran dan reproduksi, mengekalkan struktur tubuh serta reaksi kepada persekitaran manusia.

Sindrom metabolik juga dikenali sebagai sindrom x atau sindrom rintangan insulin. Ia merupakan sindrom yang terdiri daripada pelbagai risiko gangguan metabolisma yang meningkatkan risiko individu mendapat penyakit kronik.

Mengikut statistik kajian oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IPR) Kuala Lumpur pada tahun lalu mendapati, wanita dan lelaki yang berumur lebih 50 tahun kerap dikaitkan dengan sindrom berkenaan.

Seseorang cenderung menghidap sindrom metabolik jika mempunyai ukur lilit pinggang melebihi 80 sentimeter (sm) bagi perempuan dan 90 sm bagi lelaki.

Kebiasaannya penghidap sindrom itu mempunyai gaya hidup yang tidak sihat akibat kurang atau tiada masa melakukan senaman.

Faktor lain yang menyumbang kepada sindrom tersebut adalah genetik, stres dan peningkatan usia.

Pakar bedah jantung dan paru-paru, Dr. Hairulfaizi Haron mengakui, statistik sindrom metabolik di negara ini agak membimbangkan.


Menurutnya, perkara tersebut dikesan sejak empat tahun lalu melalui kajian mengenai sindrom itu oleh seorang doktor di sekitar Tanjung Karang, Selangor.

Jelas beliau, meskipun pelbagai kempen dan promosi dilaksanakan agar masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, namun peningkatan penyakit itu semakin ketara.

Dr. Hairulfaizi yang bertugas di Unit Jantung dan Paru-paru Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) memberitahu, punca sindrom itu dibahagikan kepada dua iaitu 50 peratus disebabkan faktor genetik dan separuh lagi berpunca daripada gaya hidup tidak sihat.

Menurut beliau, individu yang mempunyai sindrom metabolik mempunyai risiko lebih 50 peratus mendapat serangan jantung berbanding individu yang tidak menghidap sindrom berkenaan.

Bagi mencegah lebih ramai masyarakat terdedah kepada masalah tersebut, pelbagai usaha boleh dilakukan.

“Rata-rata pesakit yang saya rawat mempunyai masalah ini (sindrom metabolik). Kekerapan sindrom ini pula melibatkan golongan muda yang berumur kurang daripada 40 tahun berbanding dua dekad lalu, malah paling muda berusia 25 tahun.

“Jika di Barat, pembedahan pintasan jantung kebiasaannya dilakukan antara usia 60 hingga 70 tahun, tetapi di Malaysia ia lebih muda iaitu antara 40 hingga 50 tahun. Ini menunjukkan perbezaan umur yang ketara,” katanya ketika menjelaskan perkembangan sindrom itu baru-baru ini.

Sejarah keluarga

Katanya, semua individu yang mempunyai masalah sindrom metabolik memerlukan motivasi bagi mengubah gaya hidup yang lebih sihat.

Sebagai pakar perubatan, beliau menasihatkan individu yang mempunyai sejarah keluarga seperti masalah jantung, hipertensi dan diabetes supaya segera mendapatkan rawatan kerana mereka berisiko tinggi untuk mewarisi sindrom tersebut.

“Jika ada individu yang menghidap sindrom ini, segera jalani pemeriksaan doktor dan sentiasa awasi kesihatan secara berterusan,” ujarnya.


Sementara itu, pakar pemakanan dari Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Profesor Fatimah Arshad memberitahu, sindrom metabolik tidak semestinya dihidapi oleh mereka yang obes.

Menurut beliau, ada kebarangkalian mereka yang bertubuh kurus menghidap sindrom berkenaan, malah Indeks Jisim Tubuh (BMI) mereka mungkin normal. Namun, apabila diukur lilitan pinggang perkara sebaliknya berlaku.

“Sebab itu kita menggunakan ukuran lilitan pinggang dan bukan menggunakan ukuran berat badan sahaja kerana melalui kaedah itu kita dapat mengetahui seseorang itu menghidap sindrom ini atau tidak.

“Jadi, kaitan sindrom ini dengan pemakanan disebabkan pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak melakukan aktiviti fizikal,” kata Fatimah.

Terang beliau, di negara ini, kira-kira 40 peratus atau lebih orang dewasa menghidap sindrom metabolik.

Bagi orang dewasa yang tinggal di bandar, peratusan itu mungkin lebih tinggi yang mencatatkan sehingga 60 peratus.

Berbanding di kawasan kampung, purata yang menghidap sindrom metabolik agak kecil iaitu empat hingga lima orang sahaja kerana mereka lebih aktif secara fizikal.

“Bagaimanapun, dewasa ini di kalangan remaja pun sudah ramai memiliki berat badan berlebihan dan ukuran pinggang yang besar.

“Anak-anak dihidangkan dengan pelbagai makanan kurang sihat yang berkolesterol tinggi. Situasi itu boleh membahayakan mereka untuk jangka masa panjang,” jelas Fatimah.

Gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, pengambilan makanan yang tinggi lemak dan kerap mengambil makanan ringan menyumbang kepada masalah tersebut.

Justeru, bagi mengelak masalah lebih parah, pesakit digalakkan mengambil makanan yang sihat seperti susu rendah lemak, buah-buahan dan sayuran dan lebihkan pengambilan makanan berserat tinggi.

“Selalunya jika dirujuk kepada saya, pesakit yang menghidap sindrom metabolik ini akan menjalani terapi menurunkan berat badan, ubah suai diet dan tingkatkan aktiviti fizikal mereka.

“Dari aspek pemakanan, pesakit digalak lebihkan makan sayuran untuk mengenyangkan mereka dan mengurangkan penggunaan minyak.

"Sebenarnya kita mampu membuat perubahan berdasarkan deria rasa kita. Jika kari yang selalu kita masak menggunakan santan, tidak mustahil kita boleh tukar kepada bahan lain seperti susu rendah lemak,” tuturnya.


Source: Kosmo Online
 

Monday, April 11, 2011

Bila Anak Memberontak

KITA sering beranggapan hanya orang dewasa mengalami tekanan, gangguan emosi atau emosi kurang stabil. Hakikatnya, kanak-kanak juga tidak terlepas daripada dibelenggu permasalahan psikiatri ini.


Mengikut kajian di negara lain, kekerapan kemurungan teruk dan sederhana adalah dua hingga empat peratus di kalangan kanak-kanak manakala 10 peratus di kalangan remaja dan 15 hingga 20 peratus di kalangan dewasa.

Kajian yang dilakukan Dr. Ramli Musa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diterbitkan dalam Jurnal Psikiatri Hong Kong itu turut mendapati 10.5 peratus daripada pelajar sekolah rendah mengalami tekanan emosi dan kemurungan.

Tabiat

Bertanya kepada Profesor Psikiatri, Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Azhar Mohd. Zain, beliau menjelaskan, gangguan atau tekanan emosi di kalangan kanak-kanak tidak boleh dibiar berlarutan dan perlu diberi perhatian segera.

“Setiap kanak-kanak mungkin mempamerkan emosi yang berbeza ketika mereka mengalami tekanan. Ia juga sukar dikesan dalam masa singkat kerana simptomnya tidak jelas.

“Kebiasaannya kanak-kanak akan murung, menyendiri, tidak bercampur dengan keluarga atu rakan-rakan, tidak mahu makan dan hilang minat pada aktiviti yang biasa mereka lakukan.

“Walaupun begitu, boleh dikatakan jarang kanak-kanak boleh menerima tekanan emosi kerana pada peringkat umur tersebut, mereka tidak akan memendam perasaan sebaliknya melahirkan rasa tidak puas hati dengan cara memberontak atau menangis.

“Bagaimanapun, ibu bapa tidak boleh kalah dengan tangisan anak-anak kerana ia hanya akan menambah sifat ingin memberontak,” katanya.

Mengulas lebih lanjut, Azhar menjelaskan, tabiat kerap menangis atau memberontak untuk mendapatkan sesuatu memang sering digunakan kanak-kanak dalam menarik perhatian orang dewasa.

“Sebagai ibu bapa, kita adalah orang yang bertanggungjawab membentuk tabiat kanak-kanak dengan syarat mesti konsisten.

“Sebahagian besar ibu bapa berasa malu jika anak mereka meronta-meronta dan menangis di kedai kerana mahukan sesuatu.

“Tip paling baik, jangan beri apa yang dimahukan ketika mereka menangis atau memberontak, sebaliknya beri apabila mereka berkelakuan baik.

“Ibu bapa juga jangan kalah dengan tangisan kerana jika kita mengalah, itu hanya akan menambahkan galak mereka.

“Lama-kelamaan, mereka akan gunakan taktik air mata itu setiap kali permintaan mereka tidak dipenuhi.

“Sebaik-baiknya bersabarlah dengan kerenah mereka dan jangan berputus asa. Katakan kepada mereka, hajat mereka akan dipenuhi jika berkelakuan baik.

“Kerana itu, konsisten sangat penting supaya anak-anak tidak keliru,” jelasnya.

Wanita lebih murung

Kembali meneliti penyelidikan Ramli, antara kesimpulan daripada kajian tersebut ialah di antara lelaki dan perempuan, perempuan lebih berisiko mendapat kemurungan.

Golongan yang tidak terkecuali ialah kanak-kanak yang ibu bapanya berpendapatan rendah, di kalangan keturunan Cina dan mereka yang terlibat dalam masalah disiplin seperti mencuri dan mengambil alkohol.

“Kemurungan dalam kajian lain sememangnya berkait rapat di kalangan mereka dari sosioekonomi rendah.

“Disebabkan tekanan hidup menyebabkan mereka lebih cenderung mendapatnya.

“Mengapa di kalangan keturunan Cina lebih cenderung? Antara spekulasi mengapa kajian ini mendapat keputusan begini kerana masyarakat Cina lebih terbuka menzahirkan tanda-tanda dan perasaan mereka berbanding masyarakat lain,” ulas Ramli.

Menolak tanggapan bahawa semua kanak-kanak yang dilabelkan nakal atau memberontak sebagai memiliki masalah sikap, Ramli mempunyai pandangan tersendiri.
“Jika anak memberontak, jangan lekas menghukum, apalagi terus merotan mereka. Adalah penting ibu bapa dan guru cuba mendekati perasaan mereka mengapa mereka berkelakuan begitu,” katanya.


Source: Harian Metro
 

Suami Isteri Saling Membantu Dalam Menguruskan Hal-Hal Rumah Tangga

RUMAH tangga pada hari ini rata-ratanya dibina oleh suami dan isteri yang masing-masing mempunyai kerjaya tersendiri.


Setelah seharian di tempat kerja, kepenatan adalah sama. Maka, tidak sesuai jika hanya isteri yang bertungkus-lumus seorang diri di rumah. Andai si isteri menjawat status suri rumah sepenuh masa sekali pun, bukan bererti si isteri tidak berhak dibantu si suami.

Maklumlah, kepenatan menguruskan rumah tangga sebenarnya lebih penat berbanding kerja harian di pejabat. Malangnya, tidak ramai suami yang bersedia membantu kerja-kerja rumah. Jangan bimbang, setiap masalah mempunyai jalan penyelesaian. Ini bererti si suami boleh diajak untuk turut serta membantu kerja-kerja anda di rumah.

Mohon bantuan sejak awal kahwin

Perkara paling utama adalah dengan meminta bantuan suami sejak awal perkahwinan. Insya-Allah jika sejak mula anda telah membiasakan suami untuk membantu anda, tidak akan ada masalah lagi di belakang hari.

Masalahnya, ramai isteri yang hendak tunjuk hebat pada awal perkahwinan. Semua dia hendak buat hinggakan suami mahu menolong pun tidak dibenarkan. Apabila sudah lama berkahwin dan memiliki anak-anak, suami yang sudah terbiasa akan order sahaja. Sukar untuk mengubah perangai.

Saya faham dan tahu niat baik anda iaitu untuk menjadi seorang isteri yang solehah. Jadi, saya tidak melarang malah saya sokong tapi kenalah bijak mengatur cara. Mungkin pada awal usia perkahwinan, nilai cintanya masih tinggi. Tidak mungkin pada waktu itu hendak ‘melenting’ kerana disuruh buat kerja-kerja rumah.

Padahal semua kerja-kerja tu adalah kerja-kerja biasa yang juga dilakukan oleh seorang lelaki bujang, bukan? Ingat! Mempunyai isteri bukan bermaksud anda mempunyai pembantu rumah.

Minta suami menemani ketika melakukan kerja rumah

Cara paling baik untuk minta suami menolong anda adalah dengan meminta suami menemani ketika melakukan kerja-kerja tersebut. Sebagai contoh, ketika sama-sama penat sampai ke rumah daripada tempat kerja, ajaklah suami temankan anda di dapur untuk memasak.

Mungkin suami anda akan mengelak sebab hendak rehat sambil membaca akhbar atau menonton televisyen. Jangan marah dulu. Pujuk dengan lembut. Anda boleh beritahu bahawa ada cerita menarik yang anda mahu kongsi dengannya ketika itu juga. Jika itu alasan anda, pastikan anda benar-benar mempunyai cerita menarik.

Cuba biasakan lakukan kerja-kerja rumah di depan matanya agar dia tahu betapa kalutnya anda! Jika anda hendak lipat baju, bawa baju-baju tersebut ke tempat suami anda berada seperti di depan televisyen. Dalam anda melakukan kerja-kerja tersebut, luahkan rasa penat anda dan luahkan juga keseronokan anda jika suami anda dapat membantu.

Luahkan keseronokan jika dibantu suami

Jika suami masih pura-pura tidak dengar, ketika inilah anda perlu cakap terus-terang, minta suami anda membantu anda. Hendak meminta suami bantu anda pula, kenalah secara berhikmah. Ingat! Jangan mendesak atau mengarah!

Suami memang pantang menerima arahan isteri. Sebaliknya mulakan dengan perkataan ‘tolong’ dan ucapan dalam nada yang lembut, seakan-akan merayu. Kalau guna perkataan tolong tapi dengan nada yang keras, takkan berkesan. Bimbang nanti anda pula ditempiknya.

Kepada isteri yang telah terbiasa melakukan segalanya seorang diri, jangan bimbang kerana anda boleh memulakannya daripada sekarang.

Cara paling baik adalah dengan mencari masa yang sesuai dan luahkan hasrat hati anda. Katakan padanya betapa anda seronok jika dia dapat bantu anda uruskan rumah tangga seperti pasangan lain yang sudah lama melakukannya. Jika cubaan pertama gagal, cuba lagi bila-bila dan jangan putus asa.

Amalkan surah al-Insyirah

Pada masa yang sama, berdoa minta Allah lembutkan hati suami. Boleh amalkan bacaan Surah al-Insyirah sebagai doa pelembut hati.

Ketika memasak atau sediakan minuman, bacalah ayat-ayat tersebut sambil niatkan di dalam hati agar suami mahu membantu anda. Isteri suri rumah sepenuh masa pun boleh cuba lakukan yang sama.

Sekurang-kurangnya suami membantu anda waktu hujung minggu, dapat jugalah sesekali anda beristirehat.

Kepada para suami, tugas menguruskan rumah tangga dan anak-anak bukanlah tugas dan tanggungjawab isteri anda sahaja. Lakukanlah bersama-sama, insya-Allah akan bertambah semarak cinta.

Buah hidangan pemula

TIDAK suka buah-buahan? Malas membeli dan jarang sekali menu buah-buahan ada dalam hidangan di rumah.
Buah-buahan pun hanya disentuh ketika dijamu orang lain atau ketika menikmati hidangan bufet.

Memang sangat rugi jika tidak mengambil kesempatan terhadap kelebihan buah yang begitu banyak sekali khasiatnya. Bukan itu sahaja, buah sering dikatakan pembantu yang baik dalam mengekang obesiti daripada menimpa diri manusia.

Gaya hidup sihat bukan hanya dikaitkan dengan tabiat rajin bersenam tetapi juga mengamalkan pemakanan berhemah.

Buah-buahan elok dimakan sebelum nasi kerana selain khasiat buah dapat membantu penghadaman, ia juga membuatkan kita terasa penuh perut dan mengelakkan kita terlebih makan selepas itu.

Jadi, budaya menjadikan buah sebagai pencuci mulut dan dihidang selepas habis makan harus dibuang sebaliknya jadikan ia sebagai hidangan pemula.
Kebanyakan buah-buahan mengandungi lemak yang rendah dan membekalkan pelbagai jenis zat seperti vitamin A dan C, asid folik, zat besi serta kalsium.

Buahan-buahan juga berserat tinggi yang membantu dalam mengelakkan masalah sembelit. Ia bukan saja mudah disediakan malah mudah dihadam.

Sebenarnya ramai yang mengetahui kelebihan yang ada pada buah-buahan tetapi tidak berdisiplin mengambilnya.

Marilah melatih diri supaya menyukai buah dan memakannya secara rutin. Tanamkan azam supaya buah sentiasa ada dalam menu makan setiap kali dan sangat elok dijadikan kudapan ketika menunggu waktu makan utama.

•Pastikan buah ada di dalam pembelian barang dapur setiap minggu.

•Beli pelbagai jenis buah supaya tidak mudah jemu. Campurkan buah yang disukai dan tidak disukai supaya ia dapat dimakan bersama-sama.

•Bawa buah-buahan ke pejabat sebagai bekalan supaya mudah menjadi kudapan.

•Jadikan buah sebagai snek ketika menonton televisyen ataupun menonton wayang.

•Ketika bosan melalui kesesakan jalan raya, makan buah seperti campuran hirisan mangga dan jambu, bukannya snek tidak berkhasiat yang banyak perasa makanan.

•Sekiranya anda berpuasa sunat Isnin dan Khamis, latih diri berbuka dengan buah-buahan dan segelas air, kemudian terus bersolat Maghrib. Anda boleh lihat walaupun hanya buah yang dimakan, anda sudah boleh berasa kenyang.

•Sekiranya anda tidak menyukai sesuatu buah walaupun buah itu berkhasiat tinggi contohnya betik dan pisang, cuba memakan dengan cara mengisarnya. Dengan menjadikannya jus, anda tidak perlu melalui proses mengunyah.

•Menjadikan buah sebagai jus adalah proses cepat dan mudah bagi mengambil buah.

•Sekiranya mengadakan majlis pastikan salad buah-buahan menjadi menu utama supaya anda dapat menggalakkan pemakanan buah bersama kawan dan keluarga.

•Walaupun buah berkhasiat tinggi, anda tetap tidak boleh memakannya secara berlebihan. Makan apa saja pun perlu bersederhana dan tidak melampau. Sekiranya anda berpenyakit terutama kencing manis, pastikan mendapat nasihat doktor sebelum memakan buah kerana ia mungkin memudaratkan.

Resipi salad buah-buahan (sesuai untuk enam tetamu)

Bahan:

2 biji epal hijau (dipotong dadu)

2 biji epal merah (dipotong dadu)

1/2 kilo anggur merah

1/2 kilo anggur hijau

2 biji mangga (dipotong dadu)

1 nanas (dipotong kiub)

3 biji belimbing besi (dipotong kiub)

1/2 biji tembikai susu (dipotong kiub)

3 cawan yogurt (perisa yang disukai)

Cara penyediaan:

Semua buah-buahan digaul dengan yogurt dan disimpan di dalam peti sejuk. Hidang setelah tetamu datang dan makan bersama-sama.

Source: Harian Metro


Satu Individu Dua Personaliti

BAGI peminat filem sekitar tahun 90-an, tentu masih ingat dengan Primal Fear, sebuah filem pembunuhan kejam yang dilakonkan oleh Richard Gere dan Edward Norton.


Filem adaptasi novel nukilan William Diehl yang dihasilkan pada tahun 1993 itu mengisahkan seorang peguam, Martin Vail (lakonan Gere) bertanggungjawab membela seorang budak altar, Aaron Stampler (Norton), yang menghadapi pertuduhan membunuh Ketua Biskop Katolik.

Ketika awal pembelaan, Vail sangat percaya anak guamnya itu tidak bersalah dan kesal dengan pendakwaraya, Janet Venable, iaitu bekas kekasih Vail sendiri.

Daripada penyelidikan yang dilakukan, peguam itu mendapati Ketua Biskop menerima banyak ugutan bunuh daripada beberapa individu yang marah dengan keputusannya yang tidak mahu pembangunan dijalankan di tanah gereja.

Selain itu, Vail juga mendapati Ketua Biskop juga pernah mencabul beberapa budak altar termasuk Stampler sendiri. Bagaimanapun, bukti tersebut tidak kukuh. Perbicaraan yang berjalan seakan tidak memihak kepada Stampler dan pandangan awam turut mengatakan dia hampir bersalah.

Suatu hari, ketika Vail berdepan dengan anak guamnya dan menuduh dia menipu, Stampler tiba-tiba berubah personaliti seratus peratus dan menjadi seorang yang beremosi bernama Roy. Dia mengaku membunuh Ketua Biskop dan mencederakan Vail dengan cara mencampakkan ke dinding.

Bila insiden itu berakhir, Stampler seakan langsung tidak ingat peristiwa tersebut. Dia dibawa ke pakar psikiatri. Stampler disahkan menderita kecelaruan pelbagai personaliti berikutan pengalaman didera bapa ketika kecil.

Watak Aaron Stampler merupakan satu contoh keadaan seseorang yang mengalami personaliti bercanggah atau juga disebut dissociativeidentity disorder (kecelaruan identiti terpisah - DID). Kadangkala masalah tersebut juga dirujuk sebagai kecelaruan pelbagai personaliti (MPD).

Pakar Psikiatri dari Jabatan Perubatan Psikologi Universiti Malaya, Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, DID adalah penyakit mental yang menyebabkan pengidapnya mempunyai sekurang-kurangnya dua identiti jelas (boleh jadi lebih) atau keadaan personaliti yang berubah-ubah dalam waktu yang berlainan.

"Memang keadaan begini berlaku dan bukan satu rekaan. Mereka yang mempunyai masalah ini tergolong dalam masalah kecelaruan personaliti. Namun disebabkan peratusan sangat rendah iaitu sekitar 1 atau 2 peratus daripada mereka yang mengalami masalah mental secara keseluruhan, DID jarang disebut," katanya.

Individu dengan DID kata beliau, didapati mempunyai keadaan personaliti berbeza dari segi penampilan, reaksi, emosi, mimik muka malah nadi dan tekanan darah juga boleh berlainan. Mereka juga boleh lupa dengan watak yang satu lagi pada satu ketika.

Jelas beliau, seseorang yang mengalami masalah tersebut mempunyai karakter lebih daripada satu dengan pakej kecelaruan personaliti berlainan.

Antara masalah kecelaruan personaliti yang sering berlaku adalah paranoid, skizofrenia, borderline, melingeringue dan narcissistic.

Di Malaysia katanya, masalah DID jarang disebut tetapi di luar negara misalnya, pembunuh bersiri mungkin boleh dikaitkan dengan masalah itu.

Ditanya adakah penghidap DID biasanya mempunyai rekod jenayah kata beliau, ia tidak semestinya namun sekiranya berlaku, ia lebih mudah dikesan.

Menurutnya, pengesanan sukar dijalankan kerana bukti yang tidak kukuh dan soal personaliti adalah sesuatu yang bersifat subjektif. Biasanya ia mengambil masa yang lama iaitu lebih daripada tujuh atau lapan tahun.

Punca

Pembentukan personaliti seseorang itu bermula ketika remaja dan kanak-kanak, kata Dr. Muhammad Muhsin.

Biasanya mereka yang mempunyai DID berpunca daripada penderaan fizikal dan seksual ketika kanak-kanak dan remaja. Mereka membesar sebagai seorang pendendam dengan jiwa yang tertekan.

Perasaan marah sentiasa ada dalam diri dan sedikit demi sedikit memori tersebut akhirnya membentuk satu karakter berlainan daripada karakter utama.

Ramai yang tidak percaya individu terbabit mempunyai masalah mental dan beranggapan mereka hanya berlakon atau berpura-pura. tetapi sebenarnya keadaan itu berkaitan dengan masalah DID.

Individu yang didiagnos dengan DID menunjukkan simptom yang berbeza-beza dari satu masa ke semasa. Ia boleh berlaku daripada keadaan sedikit yang sukar dikesan sehingga boleh menjejaskan keseluruhan watak.

Peringkat pengembangan berkaitan DID diteori seperti berikut:

1. Kanak-kanak didera oleh penjaga yang sangat dipercayai (biasanya ibu bapa atau penjaga) dan ingatan terhadap kejadian itu bertindih kerana hubungan yang masih terjalin.

2. Memori dan perasaan terpisah di bawah sedar dan akan dirasai kemudian dalam bentuk personaliti berasingan.

3. Proses berlaku berulangkali pada masa berlainan. Maka pelbagai personaliti dibentuk, yang terbina daripada peristiwa berbeza. Ia dipersembahkan kepada fungsi yang berbeza sama ada baik atau merosakkan.

Percanggahan personaliti menjadi mekanisme penting individu tersebut bila berhadapan dengan situasi yang tertekan.

Menipu juga DID?

Dr. Muhammad Muhsin berkata, orang yang sering menipu untuk kepentingan sendiri juga sebenarnya mempunyai masalah yang berkaitan dengan kecelaruan personaliti dan DID.

Misalnya masalah melingeringue atau factitious disorder, yang mana berkecenderungan untuk menipu demi kepentingan sensiri.

"Individu jenis ini mempunyai sesuatu yang hendak dicapai dalam hidup dan melakukan sesuatu dengan tujuan tertentu misalnya untuk mendapat bantuan atau pangkat," katanya.

Antara contoh yang paling mudah adalah individu yang berbohong di mahkamah untuk mengelak daripada hukuman atas kesalahan tertentu misalnya dengan berpura-pura sakit mental dan sebagainya. Tetapi bila dijalankan ujian, individu itu langsung tidak mempunyai masalah tersebut.

Contoh kecelaruan personaliti yang lain pula kata Dr. Muhammad Muhsin, adalah narcissistic iaitu cenderung menceritakan kebaikan diri sendiri. Misalnya, seorang pemimpin yang ego dan merasakan dirinya telah melakukan banyak kebaikan dan sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan kedudukannya.

Namun katanya, keadaan itu agak subjektif kerana sebagai manusia biasa sesiapa pun pastinya akan menjaga kepentingan sendiri terlebih dahulu sebelum memikirkan orang lain.

Ditanya sama ada individu homoseksual juga tergolong dalam DID kata beliau, ia boleh berlaku.

Disebabkan seks itu sendiri merupakan satu pembentukan karakter, maka seseorang yang memiliki dua karakter seks mempunyai kecelaruan personaliti.

Hal itu juga berlaku kepada mereka yang bertukar jantina.

Source: Utusan Malaysia


Salur darah jejas penampilan

Telangiectasias adalah salur darah kecil yang berada dekat pada permukaan kulit dan membran berukuran dalam 0.5 dan 1 mm. Ia boleh terbentuk di mana mana sahaja namun sering kelihatan pada hidung pipi dan dagu. Ia sering kali juga di lihat pada kaki, paha, sekitar lutut dan pergelangan kaki. Ia mungkin merupakan sekumpulan arterioles, kapilari darah atau pun venules yang terhasil secara semula jadi mahupun disebabkan oleh tekanan darah yang tinggi. Kemungkinan juga ia terjadi akibat salur darah yang bengkok dan berpusar secara semula jadi.


Sebab-sebab lain termasuklah perubahan usia.

Telangiectasias mula terhasil pada usia 18 hingga 35 tahun dan mula meningkat pada usia 50-an dan 60-an. Besar kemungkinan faktor graviti dan kekurangan kolagen kulit membuatkan seseorang berusia mudah mendapat telengiectasias.

Kehadiran telengiactasias tidak disenangi kerana ia mempengaruhi penampilan terutamanya telengectasia pada muka yang sering dilihat terutamanya bagi wanita berusia empat puluhan ke atas.

Penggunaan kosmetik yang mempunyai bahan kimia juga membentuk rosacea (wajah kemerah-merahan) dan mungkin mencetus telengectiasis pada kulit. Oleh kerana ia lebih kelihatan pada kaum wanita berbanding lelaki tidak mustahil hormon sewaktu hamil meningkatkan penghasilannya. Rahim yang berat sewaktu hamil juga mampu menekan salur vena membuatkan gejala ini mudah terjadi.

Gaya hidup dan pekerjaan seseorang turut mempengaruhi kejadian ini. Mereka yang dikesan menghabiskan sejumlah besar masa duduk atau pun berdiri mudah terkena masalah ini pada kaki. Apabila seseorang berdiri terlalu lama saluran vena yang membawa darah dari kaki naik ke jantung mula mengembang. Graviti pula menarik darah ke kaki semula. Ini menyebabkan darah berkumpul di saluran yang kembang itu. Apabila salur darah sebegini menjadi nipis, darah boleh melaluinya menyebabkan tisu-tisu menjadi alah kepada hemoglobin yang mengandungi ferum. Kesan alahan mencetuskan gatal-gatal dan kudis. Adakalanya salur darah pecah mencetuskan perdarahan pula. Hal ini dinamakan vena varikos. Beza vena varikos dengan telengectasia ialah saiznya yang besar dan melebihi 2 mm.

Rawatan

Telengiectasis pada kaki boleh dirawat dengan sistem laser manakala vena varikos pula sesuai dirawat secara pembedahan. Pembedahan yang dimaksudkan ialah scleroterapi iaitu dengan memasukkan cecair bersifat mematikan salur darah itu. Salur darah yang mati akan menjadi keras dan ia kemudian disiat keluar. Terdapat juga kaedah menggunakan laser yang dimasukkan ke dalam salur darah dengan kanula khas. Laser turut bersifat memusnahkan salur darah yang rosak akibat varikos. Bagi mereka yang mudah mendapat varikos, penggunaan stoking elastik adalah baik bagi mengurangkan gejala ini. Stokin digunakan pada waktu mereka bergerak atau berdiri membantu mengurangkan salur darah daripada membesar.

Dalam perubatan aestetik laser yang digunakan bersifat lembut namun mampu masuk ke dalam kulit dan memusnahkan salur darah itu. Oleh kerana sifat salur darah yang terletak jauh ke dalam kulit, laser yang digunakan adalah jenis long pulse iaitu yang mempunyai jalur gelombang panjang. Laser ini mampu membekalkan tenaga yang cukup jauh ke dalam.

Penggunaan laser seperti ini haruslah dibuat secara berkala iaitu sebanyak tiga atau empat kali rawatan mungkin diperlukan jika banyak salur darah yang ingin dihapuskan.

Telengiectasis pada muka pula memadai dirawat dengan sistem laser sahaja. Bagi menentukan kejayaan rawatan saiz salur darah adalah penting. Hanya salur darah bersaiz 2 milimeter ke bawah sahaja sesuai dirawat. Apabila sudah besar ia menjadi sukar kerana lebih banyak tenaga laser diperlukan dan tenaga yang tinggi dikhuatiri merosakkan sel-sel kulit kita. Oleh itu saya mencadangkan rawatan awal bagi kes sebegini. Jika di biarkan lama ia akan menjadi lebih besar dan akan menyukarkan rawatan .

Laser merawat telengictasia mempunyai afiniti kepada oksihemoglobin. Partikel oksihemoglobin dalam darah akan menyerap laser ini dan akhirnya akan memusnahkan salur darah itu.


Source: Utusan Malaysia

Friday, April 8, 2011

99 Nama Allah

1 al-Rahman الرحمن  Maha Pengasih

2 al-Rahim  الرحيم  Maha Penyayang

3 al-Malik الملك Maha Merajai/Memerintah

4 al-Quddus القدوس Maha Suci

5 al-Salam السلام Maha Memberi Kesejahteraan

6 al-Mukmin المؤمن Yang Memberi Keamanan

7 al-Muhaimin المهيمن Maha Pemelihara

8 al-Aziz العزيز Maha Gagah

9 al-Jabbar الجبار Maha Perkasa

10 al-Mutakabbir المتكبر Maha Megah, Yang Memiliki Kebesaran

11 al-Khaliq الخالق Maha Pencipta

12 al-Barik البارئ Yang Melepaskan (Membuat, Membentuk, Menyeimbangkan)

13 al-Musawwir المصور Yang Membentuk Rupa (makhluknya)

14 al-Ghaffar الغفار Maha Pengampun

15 al-Qahhar القهار Yang Memaksa

16 al-Wahhab الوهاب Maha Pemberi Kurnia

17 al-Razzaq الرزاق Maha Pemberi Rejeki

18 al-Fattah الفتاح Maha Pembuka Rahmat

19 al-Alim العليم Maha Mengetahui (Memiliki Ilmu)

20 al-Qabid القابض Yang Menyempitkan (makhluknya)

21 al-Basit الباسط Yang Melapangkan (makhluknya)

22 al-Khafid الخافض Yang Merendahkan (makhluknya)

23 al-Rafik الرافع Yang Meninggikan (makhluknya)

24 al-Muiz المعز Yang Memuliakan (makhluknya)

25 al-Muzil المذل Yang Menghinakan (makhluknya)

26 al-Samik السميع Maha Mendengar

27 al-Basir البصير Maha Melihat

28 al-Hakam الحكم Maha Menetapkan

29 al-Adl العدل Maha Adil

30 al-Latif اللطيف Maha Lembut

31 al-Khabir الخبير Maha Mengetahui Rahasia

32 al-Halim الحليم Maha Penyantun

33 al-Azim العظيم Maha Agung

34 al-Ghafur الغفور Maha Pengampun

35 al-Syakur الشكور Maha Pembalas Budi (Menghargai)

36 al-Ali العلى Maha Tinggi

37 al-Kabir الكبير Maha Besar

38 al-Hafiz الحفيظ Maha Menjaga

39 al-Muqit المقيت Maha Pemberi Kecukupan

40 al-Hasib الحسيب Maha Membuat Perhitungan

41 al-Jalil الجليل Maha Mulia

42 al-Karim الكريم Maha Pemurah

43 al-Raqib الرقيب Maha Mengawasi

44 al-Mujib المجيب Maha Mengabulkan

45 al-Wasik الواسع Maha Luas

46 al-Hakim الحكيم Maka Bijaksana

47 al-Wadud الودود Maha Pencinta

48 al-Majid المجيد Maha Mulia

49 al-Bais الباعث Maha Membangkitkan

50 al-Syahid الشهيد Maha Menyaksikan

51 al-Haq الحق Maha Benar

52 al-Wakil الوكيل Maha Memelihara

53 al-Qawi القوى Maha Kuat

54 al-Matin المتين Maha Teguh

55 al-Wali الولى Maha Melindungi

56 al-Hamid الحميد Maha Terpuji

57 al Muhsi المحصى Maha Menghitung

58 al-Mubdik المبدئ Maha Memulai

59 al-Muid المعيد Maha Mengembalikan Kehidupan

60 al-Muhyi المحيى Maha Menghidupkan

61 al-Mumit المميت Maha Mematikan

62 al-Hai الحي Maha Hidup

63 al-Qayyum القيوم Maha Mandiri

64 al-Wajid الواجد Maha Penemu

65 al-Majid الماجد Maha Mulia

66 al-Wahid الواحد Maha Esa

67 al-Ahad الاحد Maha Esa

68 al-Samad الصمد Tempat Meminta

69 al-Qadir القادر Maha Menentukan, Maha Menyeimbangkan

70 al-Muqtadir المقتدر Maha Berkuasa

71 al-Muqaddim المقدم Maha Mendahulukan

72 al-Muakhir المؤخر Maha Mengakhirkan

73 al-Awwal الأول Maha Awal (Alfa)

74 al-Akhir الأخر Maha Akhir (Omega)

75 al-Zahir الظاهر Maha Nyata

76 al-Batin الباطن Maha Ghaib

77 al-Wali الوالي Maha Memerintah

78 al-Mutaali المتعالي Maha Tinggi

79 al-Bar البر Maha Penderma

80 al-Tawwab التواب Maha Penerima Taubat

81 al-Muntaqim المنتقم Maha Penyiksa

82 al-Afu العفو Maha Pemaaf

83 al-Rauf الرؤوف Maha Pengasih

84 Malik al-Mulk مالك الملك Penguasa Kerajaan (Semesta)

85 Zu al-Jalal wa al-Ikram ذو الجلال و الإكرام Pemilik Kebesaran dan Kemuliaan

86 al-Muqsit المقسط Maha Adil

87 al-Jamik الجامع Maha Mengumpulkan

88 al-Ghani الغنى Maha Berkecukupan

89 al-Mughni المغنى Maha Memberi Kekayaan

90 al-Manik المانع Maha Mencegah

91 al-Dar الضار Maha Memberi Derita

92 al-Nafik النافع Maha Memberi Manfaat

93 al-Nur النور Maha Bercahaya (Menerangi, Memberi Cahaya)

94 al-Hadi الهادئ Maha Pemberi Petunjuk

95 al-Badik البديع Maha Pencipta

96 al-Baqi الباقي Maha Kekal

97 al-Waris الوارث Maha Pewaris

98 al-Rasyid الرشيد Maha Pandai

99 al-Sabur الصبور Maha Sabar

Risiko dengkur

Jangan anggap berdengkur masalah lazim, dapatkan nasihat pakar perubatan

BERDENGKUR sering dianggap tabiat melucukan dan terlalu lazim dalam kalangan masyarakat, namun tahukah berdengkur sebenarnya gambaran awal seseorang itu bukan saja berhadapan masalah dengan pasangan dan kualiti kehidupan tetapi juga masalah kesihatan yang serius.

Tabiat berdengkur berlaku apabila seseorang mengeluarkan bunyi bising semasa bernafas sewaktu tidur. Ia disebabkan saluran pernafasan separa tersumbat di bahagian hidung atau kerongkong, menyebabkan getaran lelangit lembut dan otot kerongkong yang menghasilkan bunyi. Terminologi perubatan untuk masalah ini disebut ‘steator’. Masalah ini biasanya dik..esan menerusi diagnosis pakar perubatan dari segi sejarah pesakit atau pasangan tidur yang kerap mempunyai masalah untuk lelap akibat terganggu.

Pesakit berdengkur juga boleh mengalami gejala mengantuk pada waktu siang, sakit kepala, keletihan, kelesuan, perasaan cepat marah, kerap bangun malam, masalah penumpuan dan kurang daya ingatan. Paling membahayakan sekiranya pesakit senang tertidur semasa memandu terutama ketika perjalanan jauh atau sedang menunggu di simpang lampu trafik.

Menurut Pakar Bedah Otorinolaringologi Hospital Columbia Asia, Bukit Rimau, Dr Mazita Ami, punca berdengkur disebabkan saluran pernafasan separa tersumbat sewaktu tidur terutama sewaktu tidur nyenyak dan ia boleh dipengaruhi pengambilan alkohol atau ubat-ubatan sebelum tidur.

“Saluran pernafasan tersumbat boleh berlaku pada bahagian hidung atau kerongkong atau kedua-duanya sekali. Oleh itu kehadiran tisu tonsil atau adenoid yang besar, polip hidung, tulang hidung yang bengkok dan pesakit yang berlebihan berat badan dan mempunyai leher pendek dan besar akan meningkatkan risiko masalah berdengkur,” katanya.

Masalah berdengkur boleh dikaitkan dengan masalah tidur serius dikenali ‘sleep apnea’. Ia berlaku apabila pesakit berhenti bernafas lebih daripada 10 saat sewaktu tidur (apnea). Apnea pula boleh berlaku berulang kali sewaktu tidur dan menyebabkan pengurangan kandungan oksigen dalam darah pesakit.

Jelasnya, ‘sleep apnea’ yang tidak dirawat boleh membawa masalah darah tinggi, sakit jantung, angin ahmar, glaukoma dan sebagainya. Kerana itulah juga masalah berdengkur lazimnya dialami pesakit lelaki dalam lingkungan usia 30 hingga 60 tahun terutama yang mempunyai masalah berat badan berlebihan.

Adalah penting bagi pesakit mendapat nasihat pakar untuk mengetahui sekiranya mereka mempunyai masalah ‘sleep apnea’. Masalah ini mempunyai beberapa tahap serius mengikut hasil kajian tidur yang dijalankan ke atas pesakit di makmal tidur di hospital atau di rumah pesakit sendiri.

Menerusi kajian ini, pakar akan dapat mengesan kekerapan ‘apnea’ semasa tidur kerana semakin kerap berlaku ‘apnea’, semakin serius tahap penyakit itu dan kesannya kepada kesihatan pesakit.

Rawatan untuk masalah berdengkur bergantung kepada punca yang dikenal pasti. Pembedahan boleh dilakukan untuk merawat masalah saluran pernafasan sempit seperti tisu tonsil yang besar, polip hidung dan sebagainya. Sekiranya berkaitan dengan ‘sleep apnea’, rawatan ‘continuous airway pressure’ adalah antara yang berkesan.

Pesakit yang obes juga dinasihat untuk mengurangkan berat badan.

Tegasnya, berdengkur bukan masalah lazim yang patut diterima bila umur meningkat. Ia boleh membawa masalah ‘sleep apnea’ yang serius dan memudaratkan kesihatan pesakit. Mereka yang mengalami masalah tidur bersama gejala mengantuk waktu siang, sakit kepala, keletihan dan masalah emosi perlu mendapatkan nasihat pakar perubatan.

Langkah pencegahan dengkur

•Mengurangkan berat badan sekiranya mengalami masalah berat badan berlebihan.

•Elak pengambilan alkohol atau ubat yang memberi kesan mengantuk sebelum tidur.

•Memilih posisi tidur secara mengiring.

•Mengamalkan jadual tidur yang tetap setiap hari.

•Mendapatkan rawatan bagi hidung tersumbat atau ruang kerongkong yang sempit.


Source Berita Harian


Mitos Bisul

BISUL adalah masalah jangkitan biasa dialami setiap orang sama ada kanak-kanak atau orang dewasa. Jangkitan bermula apabila bakteria atau parasit pada kulit merebak ke lapisan dalaman kulit menyebabkan ia kemerahan, bengkak, berisi nanah dan menyakitkan. Jenis bakteria paling biasa menyebabkan bisul pada kulit dikenali sebagai Staphylococcus Aerues.

Individu tertentu boleh mengalami masalah bisul atau jangkitan begini akibat diabetes, amino yang terjejas, HIV, tercedera serta imuniti yang rendah terutama pada kanak-kanak dan warga tua. Pakar Perunding Pembedahan Ortopedik, Pusat Perubatan Prince Court, Dr Yong Chee Khuen, berkata biasanya bisul berlaku disebabkan kecederaan atau kemalangan yang tidak dirawat sempurna dengan kadar segera hingga menyebabkan terbentuknya ulser atau keradangan dalam kulit sehingga dijangkiti bakteria.


“Sekiranya berlaku jangkitan peringkat awal, ia dipanggil cellulites - sifatnya merah, sakit dan panas. Jika di dalam kulit atau bisul, sifatnya akan terbentuk kumpulan nanah di dalam rongga manakala peringkat lebih serius dipanggil Necrotising facitis atau bakteria yang memakan isi," katanya kepada Berita Minggu.

Simptom utama proses keradangan atau jangkitan adalah kemerahan, panas, bengkak dan rasa sakit. Ia bukan saja terbentuk pada sebarang tisu pejal pada permukaan kulit, malah sering juga berlaku pada organ dalaman seperti paru-paru, otak, buah pinggang dan tonsil.

Sekiranya jangkitan berlaku sehingga terbentuk bisul, rawatan pilihan ialah pembedahan. Begitupun, sebelum pembedahan dijalankan, antibiotik akan diberi selain ujian darah bagi mengenal pasti masalah lain.

Bagi kanak-kanak yang lebih gemar berdiam diri dan tidak tahu di mana lokasi jangkitan sebenar, imbasan MRI dan CT akan dijalankan.

Bisul disebabkan amino yang terjejas pula mampu merebak melalui darah. Di sini darah berfungsi sebagai lebuh raya dan menyebarkan bakteria ke seluruh tubuh. Oleh itu, remaja yang tidak menjaga kebersihan diri pasti akan terkena jangkitan ini.

Bagaimanapun, punca paling lazim adalah sifat kulit itu sendiri yang mudah terdedah kepada anasir yang tidak baik. Kulit bukan saja organ tubuh paling besar, malah berfungsi sebagai mekanisme pertahanan diri yang penting.

Setiap inci kulit diseimbangkan dengan bakteria baik dan bakteria tidak baik. Bakteria baik tidak akan membawa sebarang masalah tetapi sebaik saja tubuh kekurangan imuniti atau ketahanan diri, kecederaan kecil saja sudah mampu menyebabkan jangkitan. Tidak dinafikan kebersihan diri cukup penting tetapi perlu diingat terlalu bersih juga tidak baik kerana kita akan membunuh kedua-dua bakteria ini.

Jelas Dr Yong lagi, bisul yang biasa dan tidak serius boleh dirawat menggunakan antibiotik dan pembedahan. Tapi bagi bisul disebabkan amino yang terjejas, boleh merebak dengan cepat pada tisu dalam tubuh menyebabkan kegagalan beberapa organ dalaman. Dalam apa juga keadaan, pencegahan adalah perkara terbaik termasuk penjagaan kebersihan diri yang rapi dan imuniti diri lebih tinggi.

“Sekiranya simptom awal seperti merah, bengkak, sakit dan demam berlaku, terus berjumpa doktor bagi mengelak jangkitan merebak lebih ke dalam kulit.

“Di rumah, sebagai langkah awal ibu bapa boleh mencuci luka dengan menggunakan air panas, antiseptik dan iodin. Namun jika ia semakin membengkak, pesakit akan mula berasa tidak sihat, demam, luka menjadi kemerahan dan mula merebak, cepatlah berjumpa doktor,” katanya.

Dari segi pemakanan, mengamalkan diet seimbang disarankan bagi mempercepatkan penyembuhan.

“Terlalu banyak pantang larang dalam masyarakat seperti ayam, udang, ikan dan telur yang dipercayai menyebabkan kegatalan. Ironinya untuk sembuh, kita memerlukan hemoglobin, albumin serta Vitamin C dan semua nutrien ini terkandung dalam diet yang disebutkan itu.

"Perlu diingat, bisul pada kebanyakan bahagian tubuh agak sukar untuk sembuh dengan sendirinya. Kerana itu, sekiranya tanda awal bisul muncul, rawatan perubatan segera perlu diberikan," katanya.

Source Berita Harian