Jangan salah faham semua, ketumbit bukanlah sakit mata, tapi masalah kulit akibat jangkitan kuman dan kelenjar tersumbat.
Ketumbit sering disalah anggap sebagai penyakit mata, tetapi ia sebenarnya tidak begitu. Ketahuilah, ketumbit adalah penyakit kelopak mata seperti juga penyakit kulit. Kulit manusia punya kelenjar berdekatan kelopak mata yang menentukan bulu mata sentiasa kalis air.
Untuk memastikan bulu mata kalis air, kelenjar pada bulu mata akan mengeluarkan minyak. Kadangkala sekitar tempat yang biasanya mengeluarkan minyak itu tersumbat mengakibatkan ia membengkak. Perunding Pembedahan Mata dan Pengarah Pusat Mata dan Lasik, Pusat Perubatan Prince Court, Prof Dr Muhaya Muhamad, menjelaskan individu akan tahu matanya bengkak sebaik terasa seperti berbiji atau bengkak di kelopak mata.
Untuk mengenalpasti sama ada ketumbit itu jenis Stye atau Chalazion, gunakan jari yang bersih untuk memeriksa pada kelopak mata. Jika terasa seperti ketulan atau benjolan, itu Chalazion, tetapi jika tiada rasa ketulan dan hanya sakit di kelopak mata, ia adalah Stye.
Punca Chalazion biasanya disebabkan oleh kelenjar yang tersumbat manakala bagi Stye pula, kadangkala bulu mata dan juga bulu roma di kelopak mata punya folikel yang dijangkiti kuman sehingga ia bengkak. Stye hanya berlaku pada kelopak mata (kulit) yang punya kelenjar minyak seperti kulit biasa yang punya kelenjar peluh serta liang roma.
Jika ketumbit itu banyak dan tumbuh berulang kali, fokus pada rawatan bukan permasalahan.
“Memang mengikut kajian pun, 70 peratus emosi dalam kehidupan manusia dipenuhi fikiran negatif serta fikiran yang bukan-bukan menjadikan kehidupan tidak berapa baik. Ibu bapa cenderung memberi tidak balas melampau, bangun pagi saja sudah terfikir apa yang perlu dibimbangkan hari itu, apa yang tak kena.
“Ia antara bahasa lazim individu yang tertekan dan punya potensi untuk mendapat barah,” kata Dr Muhaya sambil menambah kanak-kanak tidak akan buta hanya kerana tahi mata yang banyak.
Lebih menarik, ketumbit juga sering dikaitkan dengan mitos. Antaranya jika individu itu tidak memenuhi permintaan wanita hamil yang mengidam, maka matanya akan ditumbuhi ketumbit, sedangkan tanggapan itu sama sekali tidak benar. Ada juga tanggapan lebih sinis mengenai ketumbit iaitu puncanya kerana mengintai orang mandi.
“Dari segi perubatan memang tidak betul tetapi kita tidak boleh mengkritik orang lama kerana ini satu cara untuk membina masyarakat pada masa itu, tetapi jika dikatakan tangan kotor boleh menyebabkan Stye, ia benar kerana tangan adalah anggota paling kotor dan mudah memberi jangkitan kepada anggota tubuh lain,” tambahnya.
Selain kelenjar tersumbat dan jangkitan kuman, masalah Blepharitis atau gejala kelemumur pada bulu mata juga boleh menyebabkan ketumbit. Masalah ini biasanya dialami warga tua dan perlu dirawat dengan menyapu pangkal bulu mata dengan ubat atau minyak bayi untuk merawat akarnya kerana akar ketumbit boleh merebak.
Stye dan Chalazion tidak berbahaya, cuma jika Stye dialami anak berusia 1 hingga 2 tahun yang sistem ketahanan tubuhnya tidak kuat, kadangkala ia boleh merebak ke seluruh kelopak mata. Untuk merawatnya cuma letakkan antibiotik, tetapi sebaik ada jangkitan, anak perlu terus dibawa berjumpa pegawai perubatan.
Biasanya mereka akan diberikan antibiotik, selepas itu letakkan tuala suam dan tuam pada ketumbit. Jika Chalazion menjadi besar dan terkena atas kornea (di tengah-tengah), ia akan menekan kornea menyebabkan pandangan menjadi sedikit kabur, tetapi hanya sementara.
Pakar perubatan hanya akan melakukan pembedahan jika dari segi kosmetik, ketumbit menyebabkan individu kelihatan kurang menarik kerana keadaannya yang terbonjol. Dalam amalan perubatan biasa, jika ketumbit terjadi dalam masa satu hingga dua hari, letakkan ubat dan antibiotik serta tuam.
Jika tidak juga pulih sehingga berbulan-bulan, barulah pembedahan dilakukan. Chalazion yang nampak terbonjol dan dianggap `masak’ seperti hendak pecah, tidak bagus dibiarkan keluar secara semula jadi, sebaliknya lebih baik dibuang secara pembedahan supaya tidak berulang.
Dr Muhaya mengajak ibu bapa menjadi penyelesai masalah, bukan sebaliknya.
Katanya, dari segi saintifik dan sepanjang pengalamannya sebagai doktor mata, ibu yang terlalu risaukan penyakit anaknya boleh menyebabkan anak itu lambat sembuh kerana kerisauan memberi kesan kepada sistem penyembuhan dalaman.
Individu yang bijak mengawal pemikirannya juga mengawal biologi dan pemikiran yang sihat menggambarkan biologi juga sihat.
Info mengenai Ketumbit
* Bukan penyakit mata tetapi penyakit kulit
* Antara gejala ketumbit bisul di bahagian atas atau bawah kelopak mata ialah bengkak sekeliling kelopak mata, sakit, kelopak mata merah, mata pedih, berair, rasa tak selesa dan sensitif pada cahaya
No comments:
Post a Comment