Adalah sukar bagi para saintis mengumpulkan data dan penjelasan yang terperinci kerana kerosakan hormon tidak dapat dikenal pasti dalam tempoh waktu yang singkat. Kefahaman dan pengetahuan mengenai isu itu masih samar walaupun kita telah melihat bukti-bukti jelas kerosakan hormon pada badan kita. Dengan kata lain kita telah melihat gejala kerosakan hormon yang sangat berleluasa namun penjelasan bagi masalah ini masih samar.
Berdasarkan statistik penyakit berkaitan hormon yang bertambah setiap tahun menunjukkan ia perlu dibendung segera. Keputusan kerajaan mengharamkan polikarbonat sebagai bekas simpanan susu bayi merupakan langkah yang baik.
Hormon merupakan bahan semula jadi yang terhasil di seluruh tubuh kita. Setiap hormon mempunyai fungsi yang unik dan tersendiri. Sebagai contohnya hormon metabolik membantu membakar makanan dan membolehkan makanan digunakan sebagai tenaga. Hormon ini membolehkan tubuh badan kita mendapat tenaga yang diperlukan. Jika hormon metabolik rendah maka seseorang itu pasti mempunyai tenaga yang rendah, cepat letih fizikalnya namun mampu bertahan dengan tenaga yang dihasilkan oleh hormon stres.
Apabila satu hormon rosak atau berkurangan maka tubuh akan bergantung kepada hormon lain pula sebagai bahan bagi mendapatkan tenaga. Ini menjadikan seseorang itu mempunyai personaliti dan ciri-ciri tenaga yang pelbagai bergantung kepada hormon yang dominan.
Signal hormon
Hormon bertindak dengan stimulasi atau pun dikenali sebagai signal hormon. Apabila kita makan makanan yang banyak gula, kelenjar hormon insulin akan mengesan paras gula yang tinggi. Signal yang dikesan adalah paras gula. Kelenjar hormon akan merembes hormon insulin yang kemudiannya menukarkan gula kepada tenaga. Tenaga ini akan digunakan oleh tubuh badan kita. Apabila kita berpuasa paras gula menjadi rendah dan ini dianggap sebagai signal oleh kelenjar hormon glucagon. Ia mengeluarkan hormon glucagon bagi menukar lemak kepada gula. Ini mewujudkan keseimbangan.
Hormon tiroid bekerja mengurai lemak dan memastikan tubuh tidak menyimpan lemak yang berlebihan. Namun apabila rosak ia tidak mampu lagi memberi respons kepada signal daripada tubuh.
Selain dari tubuh dan makanan, hormon juga saling bertindak antara satu sama lain. Kehadiran hormon cortisol (hormon stres) akan diseimbangkan dengan hormon tiroid (metabolisme). Begitu juga hormon-hormon lain yang berinteraksi dengan baik bagi menjamin kesihatan tubuh badan.
Growth Hormone (GH) misalnya berfungsi dalam tumbesaran tubuh badan bayi kepada dewasa. Dalam tubuh dewasa pula GH berfungsi mengekalkan kesegaran dan ketegapan tubuh. Seseorang yang kurang GH akan merasa lesu, kurang gembira dan tubuhnya mula mengecut, dengan kata lain proses penuaan menjadi lebih cepat.
Melatonin pula yang dihasilkan kelenjar pineal merupakan anti oksidan yang hebat bagi semua sel tubuh kita. Melatonin juga memberikan tidur yang lena. Jika kelenjar hormon melatonin gagal berfungsi dengan baik maka seseorang itu akan mendapat insomnia.
Polikarbonat mempunyai struktur kimia yang mampu menyamai struktur hormon dalam tubuh kita. Struktur yang sebegini bebas bergerak menuju ke arah kelenjar hormon kita membuatkan kilang hormon menjadi keliru. Dengan kata lain kehadirannya menyerupai hormon manusia dan membuatkan kepekaan kelenjar hormone kita menjadi berkurangan. Dengan kehadiran bahan polikarbonat yang kerap dan begitu banyak akhirnya akan merosakkan kelenjar hormon. Kerosakan membuatkan ia gagal mengeluarkan hormon yang diperlukan dengan tepat.
Kerosakan hormon akan jelas kelihatan sewaktu alam dewasa dan jarang sekali dilihat sewaktu kecil. Bayi yang diserang kerosakan hormon akan membesar menjadi orang dewasa yang obes atau pun mempunyai pelbagai masalah kesihatan yang lain.
Di dalam keghairahan kita mengejar arus kemajuan dan mengamalkan pembungkus plastik setiap hari wujud pula masalah baru yang menjadi misteri kepada kita. Statistik menunjukkan jumlah peningkatan dalam penyakit kanser, jantung, obesiti, buah pinggang dan lain-lain.
Kehadiran penyakit ini memberi impak yang sukar dalam kehidupan kita. Ia menelan kos rawatan yang tinggi sekali gus mengurangkan kualiti kehidupan.
Untuk mencapai tahap kesihatan yang baik, kita perlu prihatin dan menyokong usaha kerajaan. Kita juga mesti memberi nasihat kepada ahli keluarga terutamanya anak-anak kecil agar tabiat pemakanan dan penggunaan plastik dalam makanan dan minuman seharian dapat dibendung.
Source: Utusan Online
No comments:
Post a Comment