heartbeat

Saturday, January 26, 2013

Ekzema siksa si kecil

EKZEMA merupakan masalah kulit yang biasa dialami oleh kanak-kanak dan orang dewasa. Penghidapnya akan mengalami keadaan tidak selesa di mana kulit akan berasa gatal, kemerahan dan berair.

Penyakit ini yang turut dikenali sebagai dermatitis atopik sebenarnya masalah biasa di kalangan bayi dan kanak-kanak.

Lebih 20 peratus daripada bayi dan kanak-kanak mengalami masalah ini yang mengakibatkan ruam merah, gatal dan adakalanya melepuh.

Menurut Pakar Perunding Kanan Dermatologi, Pusat Kulit Singapura, Prof. Madya Giam Yoke Chin, ekzema jenis ini biasanya bermula pada tahun pertama hayat bayi dan kebanyakannya terjadi dalam tempoh lima tahun pertama.

"Ekzema berpunca daripada gen dan kecacatan struktur dan imun yang menjejaskan rintangan pertahanan kulit.

"Gejala penyakit ini jarang didapati semasa dilahirkan, tetapi selalunya muncul pada enam minggu pertama hayat.

"Di kalangan bayi, ruam ekzema biasanya terdapat pada muka, siku dan lutut, iaitu bahagian anggota yang mudah dicapai dan digaru oleh tangan si kecil.

"Ruam boleh merebak ke bahagian badan lain dan umumnya menimbulkan keadaan yang sangat tidak selesa, merengsakan dan adakalanya menyakitkan si kecil.

"Bagaimanapun hakikat yang sering tidak ditonjolkan ialah serangan protease yang biasanya terselindung di sebalik kemunculan ekzema.

Rawatan


"Terdapat banyak cara bagi merawat ekzema. Bagaimanapun kemajuan yang dicapai baru-baru ini dalam kajian dermatitis atopik telah menemui konsep baru yang akan mengubah cara merawat ekzema dan menangani isu serangan protease," ujar Yoke Chin.

Beliau menambah, kajian telah memetakan kepekaan kulit dalam satu julat iaitu dengan meletakkan kulit normal di satu hujung dan kulit dengan ekzema teruk di hujung satu lagi.

Kulit normal adalah kulit tanpa ruam dan jerawat serta mempunyai tahap lembapan yang seimbang. Pada hakikatnya, tidak ada kulit yang sempurna sepenuhnya.

Faktor penting dalam pengurusan kesihatan kulit bayi ialah perlindungan, khususnya bagi memastikan rintangan kulit bayi sentiasa dilindungi.

"Bagi membolehkan kita menghargai peranan kulit sihat sebagai benteng pertahanan, kita perlu memahami proses pengeluaran sel kulit baru. Sel kulit membahagi di bawah epidermis bagi membolehkan pengeluaran bekalan sel kulit baru.

"Sel kulit ini kemudian mula matang apabila bergerak naik melalui kulit dan membentuk lapisan akhir paling atas yang dinamakan stratum korneum, iaitu benteng pertahanan yang biasanya melindungi badan daripada alam sekitar dan menghalang bahan yang menyebabkan kerengsaan dan alahan daripada masuk ke dalam kulit dan kehilangan air yang menyebabkan kulit kering.

''Benteng pertahanan kulit diibaratkan sebagai tembok bata dengan sel kulit sebagai bata dan lamela lipid (struktur yang mengikat sel kulit) sebagai simen. Kestabilan tembok bata dipastikan oleh rod linear' kulit atau filamen yang mengikat sel kulit dan membolehkan kulit menentang kuasa penyerang.

''Bagi mengekalkan fleksibiliti bentang pertahanan kulit, sel kulit perlu terkelupas daripada permukaan dan proses ini diaktifkan oleh enzim yang dinamakan protease.

''Dalam proses semula jadi, protease menyebabkan kepecahan protein dalam kulit bagi membolehkan proses pembaharuan. Bagaimanapun, masalah ekzema bermula apabila protease menjadi lebih aktif,'' katanya.

Prof. Giam menjelaskan, sungguh pun kerosakan benteng pertahanan kulit boleh dicetuskan oleh gen, sabun, bahan pencuci, ubat sapu yang mengandungi steroid dan perbuatan menggaru, serangan protease juga boleh menyebabkan ekzema.

Kulit yang sihat mempunyai asid yang sedikit dengan pH lima hingga enam. Apabila diserang ekzema, kulit menjadi lebih beralkali dengan pH7. Kulit beralkali mudah meningkatkan aktiviti protease yang menyebabkan kerosakan benteng perlindungan kulit dan memburukkan keadaan ekzema bayi.

Apabila pH kulit menjadi lebih beralkali, enzim protease menjadi terlebih aktif hingga mengakibatkan kerosakan sel dan kegagalan benteng pertahanan kulit.

Ini menambah ketertelapan kulit menyebabkan kulit menjadi sensitif dan mudah ditembusi serangan daripada alam sekitar termasuk bakteria, virus dan alergen (bahan yang menyebabkan kerengsaan dan alahan).

Sungguhpun perhatian khusus patut diberikan kepada mereka yang memang mempunyai keadaan kulit sensitif namun semua orang terdedah kepada serangan protease. Oleh itu, adalah penting untuk mengawal aktiviti protease dan mengelakkan serangan protease.

Menurut Prof. Giam lagi, benteng pertahanan kulit yang paling nipis yang lebih mudah diserang ekzema ialah seperti muka, siku dan lutut. Benteng pertahanan kulit pada bahagian ini terlalu sedikit lantas memudahkan bahan perengsa dan alergen menembusi benteng pertahanan serta mencetuskan ekzema.

Ibu bapa kata beliau, perlu memahami dan mengetahui rawatan bagi menyembuhkan ekzema bayi mereka. Pilih produk rawatan yang lembut dan selesa kepada kulit bayi yang tidak mengandungi bahan pencuci berbuih (sodium lauryl sulphate - SLS) dan sodium lauryl athyl sulphate (SLES).

Mereka yang mempunyai kulit sensitif boleh mengawal aktiviti protease dengan menggunakan sabun lembut dengan bahan pembersih yang amat sedikit.

Selain itu, tambah Prof. Giam, rawatan pencegahan dan juga penghidratan jangka panjang menggunakan produk pelembapan adalah penting dalam pengurusan ekzema.


Sumber:-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130124/kn_01/Ekzema-siksa-si-kecil#ixzz2J5A8TyZC
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment