heartbeat

Thursday, January 31, 2013

Elak tangan sentuh muka

Elak tangan sentuh muka

Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin


SETIAP kali melihat kulit wajah seorang rakan, rasa cemburu berbunga di hati penulis. Cemburu melihat kulitnya yang gebu dan bersih. Sudahlah orangnya manis, kulitnya yang cantik itu menaikkan lagi seri wajahnya, meskipun tidak mengenakan sebarang solekan. Kalau adapun, hanya dioles bedak kompak.
Sepanjang berkawan dengannya, tidak pernah penulis melihat wajahnya kusam. Apa rahsianya yang membuatkan kulitnya seolah-olah kebal daripada jerawat atau masalah lain? Katanya, selain mendapatkan tidur yang cukup, dia juga mengamalkan minum banyak air dan mengurangkan makanan berminyak.
Ini nasihat umum dan terlalu biasa, kata penulis, yang membuatkan si kecil molek itu tersenyum. Rahsia kecantikan seterusnya juga bukanlah luar biasa dia memastikan mukanya ‘terjaga’ daripada tangannya sendiri. Maknanya, tangannya tidak bebas menyentuh mukanya kecuali selepas dicuci bersih.

Apabila difikirkan memang benar kata-katanya. Tangan kita adalah ejen penyebar kekotoran termasuk bakteria dan virus yang paling cekap. Cuba anda kira, sebaik keluar dari rumah hingga sampai ke pejabat, berapa banyak permukaan yang kita sentuh? Kunci kereta, beg tangan, tombol pintu, gril, pintu kereta, pintu pagar luar, stereng kereta, butang lif dan papan kekunci komputer. Itu tidak termasuk kita memegang beg plastik sampah, pintu tandas, kepala paip di tandas tempat kerja dan sebagainya - jumlahnya tidak terhitung.


Di sepanjang perjalanan itu, tanpa disedari kita mengutip terlalu banyak mikro organisma pada setiap objek yang kita sentuh, walaupun hanya beberapa saat. Mikro organisma ini dipindahkan ke muka apabila tangan kita menyentuh bahagian yang menjadi perhatian pertama apabila berhadapan dengan orang lain ini.

Rahsia kecantikan teman tadi amat berguna khususnya pada individu yang berhadapan masalah jerawat yang tidak berkesudahan. Pun begitu nasihat yang kedengarannya mudah ini sebenarnya agak sukar dilakukan.

Bagaimanapun, kalau anda termasuk dalam golongan yang sering menyentuh muka, jangan risau kerana anda tidak bersendirian. Dalam satu kajian didapati secara purata orang menyentuh muka mereka 16 kali dalam masa sejam; kebanyakannya dilakukan tanpa disedari.

Mengapa kita tidak digalakkan menyentuh muka atau menopang dagu? Menyentuh muka dan menekan sel kulit boleh membantu menyebarkan bakteria dan merengsakan kulit, khususnya pada wajah yang sememangnya sudah ‘tertekan’ akibat kehadiran jerawat.

Kebanyakan individu yang mempunyai masalah jerawat berkongsi satu tabiat umum iaitu suka menyentuh dan memecahkan jerawat di wajah mereka walaupun tahu ia hanya memburukkan keadaan.

Memecahkan jerawat dengan jari sebenarnya membuka jalan kepada jangkitan. Tindakan ini memperbanyakkan penghasilan sebum dan merosakkan membran di bawah kulit. Jangkitan dan sebum tersebar di bawah kulit anda, menyebabkan kemunculan lebih banyak jerawat. Apa yang dibimbangkan ialah jika ia meninggalkan parut pada wajah. Apa yang anda perlu lakukan ialah membersihkan wajah dengan produk yang bersesuaian.


Cara untuk mengelakkan tangan daripada menyentuh muka:
  • Lakukan sesuatu untuk membuatkan tangan anda sibuk. Jika anda tekun bekerja, anda tiada masa untuk meraba-raba muka atau menggeselkan tangan di muka. Bagaimanapun, ini bukan bermakna anda boleh melayari Internet atau bersembang di laman sosial kerana ia mengganggu tumpuan pada kerja.
  • Bagi yang masa kerjanya lebih banyak dihabiskan dalam pejabat, lekat peringatan di meja atau di tepi skrin komputer anda.
  • Pakai sarung tangan. Ini khusus bagi mereka yang ada tabiat suka menyentuh muka sedangkan kulit wajah bermasalah. Anda akan rasa tidak selesa untuk menyentuh muka dengan tangan yang bersarung. Namun, pastikan sarung tangan anda sentiasa bersih supaya ia tidak menjadi ‘rumah tumpangan’ kepada bakteria.
  • Dapatkan kerja sama ahli keluarga dan rakan untuk menjadi ‘pemerhati’ supaya mereka boleh menegur setiap kali anda menyentuh muka. Kalau mahu lebih efektif, anda mungkin boleh mendenda diri sendiri dengan membayar beberapa puluh sen setiap kali anda menyentuh muka. Anda akan terkejut dengan jumlah yang terkumpul dalam sebulan.
  • Tetapkan sasaran bila anda mahu meninggalkan tabiat ini, contohnya dalam masa 30 hari. Lekatkan stiker besar pada hari ke-30. Catatkan perkembangan anda setiap hari. Jika berjaya, berilah hadiah kepada diri sendiri dengan membeli sesuatu yang anda gemari atau setidak-tidaknya manjakan diri anda di pusat rawatan kecantikan.
  • Jika tidak mencapai sasaran atau kejayaan anda hanya bertahan satu atau dua minggu saja, jangan putus asa. Cuba lagi dan kali ini berazamlah untuk melupuskan tabiat ini sepenuhnya. Cabar diri anda untuk berusaha melakukannya.
  • Belajar teknik solekan ringkas. Jika anda perlu menghadiri acara tertentu, anda boleh bersolek sendiri dan tidak perlu lagi mengharapkan sentuhan juru solek. Bukan meragukan kepekaan mereka terhadap aspek kebersihan, tetapi anda tentu lebih yakin dengan kebersihan tangan sendiri.
  • Pada masa sama, amalkan minum air secukupnya kerana air boleh membantu pengeluaran bahan kotor di dalam badan dengan lebih cepat dan berkesan. Selain itu masukkan bersenam sebagai agenda harian, supaya anda lebih sibuk dengan aktiviti yang bukan saja menyihatkan, malah ia secara tidak langsung dapat menyerlahkan kecantikan.


  • Sumber: Harian Metro

    No comments:

    Post a Comment