heartbeat

Monday, January 25, 2010

NIKMAT CINTA

EKSPRESI cinta membuatkan ramai insan berasa begitu bahagia dan dihargai kerana ada seseorang yang sentiasa berdiri di belakang di kala semangat hidup semakin patah.


Bahkan cinta juga memberi kekuatan untuk meneruskan perjalanan yang selama ini bagaikan sudah kabur dan tiada arah tujuan.Namun, apabila lima perkataan itu - cinta - semakin pudar dek banyak halangan dan onak, anda terpaksa melupakannya. Rasa pedih dan patah hati apabila diri dikecewakan adalah ketentuan yang perlu ditempuhi.

Biarpun terpaksa melupakannya untuk seketika atau selamanya, harus diingat itu semua bukan kehendak anda. Mula-mula memang agak sukar untuk menerima kenyataan menempuh kekecewaan tetapi lama kelamaan, ia pasti boleh dihadapi.Tidak dinafikan hidup ini sunyi tanpa cinta tetapi kena ingat, semuanya datang daripada-Nya.

Takdir mengatasi segalanya dan kekuatan diri harus dibina untuk mampu berdiri dan terus melangkah bagi membina cinta, seterusnya yang lebih teguh sehingga bahagia selamanya.

Antara petua-petua yang boleh kita lakukan untuk ketika menghadapi kekecewaan yang melanda perasaa kita;-
  • Latih minda melupakan kenangan pahit
Bunyinya senang namun bagi yang menanggungnya, ia perlu dilakukan secara berterusan. Mengaku saja anda sering berasa sedih sebab banyak kali mengingat kenangan pahit atau selalu kembali ke memori silam yang sering melukakan.


Untuk itu, anda harus mengatakan pada diri 'berhenti' mengingati kenangan melukakan itu terutama ia memberi kesan emosi yang mendalam dalam kehidupan kini.Mulai hari ini, tekad untuk melupakan semua itu sehingga membiarkan minda menjadi kosong. Tekadkan azam untuk memfokus kepada masa depan, cita-cita, keluarga, kerjaya, kewangan, keilmuan dan rakan.


Anda tidak akan dapat melupakan semua memori pahit sekali gus tetapi lakukan perlahan-lahan dengan mengalihkan perhatian kepada perkara lain. Proses ini mengambil masa tetapi tidak mustahil dengan disiplin diri yang kuat, segalanya akan berubah.
  • Buang sikap risau
Ada dua kesan daripada sikap risau. Pertama, ia menarik nasib tidak baik, masalah dan musibah tanpa anda pinta. Kedua, ia memberi kesan buruk pada kesihatan sama ada dari segi fizikal atau mental. Risau membuatkan diri selalu sedih dan kecewa, kadang-kadang takut. Untuk membuang sikap itu, belajar untuk bertenang dan latih diri anda mengawal keadaan.
  • Belajar bersyukur 
Ucap syukur atas semua yang ada, apa saja! Misalnya, ucap syukur kerana anda masih ada lima deria yang lengkap, boleh melihat dan menarik nafas setiap kali bangun tidur. Syukur kerana ada kawan rapat yang memahami dan mempunyai telefon bimbit kesayangan.
Ucap syukur sebanyak mungkin dan seikhlas hati hingga rasa syukur itu meresap jauh ke dalam diri. Buat banyak kali dalam sehari
  • Belajar jadi pemaaf
Sikap pemaaf dapat membersihkan hati daripada perasaan dan emosi negatif (takut, sedih, kecewa, gusar, menyampah, marah, geram, cemburu, tidak puas hati, dendam atau busuk hati). Seterusnya, neutralkan gelombang fikiran negatif yang melekat bersarang di minda anda.
Anda sebenarnya selalu sedih dan kecewa kerana tidak memaafkan kesalahan diri anda pada masa lalu ataupun tidak memaafkan kesalahan orang lain terhadap diri anda suatu ketika dulu.
Mungkin juga anda susah menerima hakikat perbuatan salah orang lain yang membuatkan sering dibuai kesedihan, kekecewaan dan lara berpanjangan. Belajarlah menjadi pemaaf dan menghapuskan semua ini lalu menarik ketenangan datang pada diri anda.
  • Ketawa, ketawa dan terus ketawa
Ketawa bukan dibuat-buat, tapi biar ketawa yang benar-benar menggembirakan dan menjadikan anda girang. Tonton video lucu, baca cerita lucu, dekatkan diri dengan rakan yang lucu serta cari sudut melucukan dalam setiap situasi agar anda boleh ketawa secara automatik.
Ketawa dapat menghilangkan sedih. Mengapa melayan kecewa sedangkan anda boleh ketawa? Ketawalah untuk melegakan perasaan yang gundah gulana itu :))
  • Ubah fikiran
Kita tidak boleh mengubah situasi yang boleh membuat diri kecewa, sedih dan murung. Tetapi, anda boleh mengubah fikiran dan apa yang anda fikirkan mengenai situasi itu walau seburuk manapun ia.
Rahsianya, cari sinar mentari di sebalik mendungnya awan. Walaupun ia tidak berpihak kepada anda, cari cara untuk menemui nilai positif di dalamnya.
Fikir yang baik-baik saja kerana ia memberi keuntungan jangka panjang. Rezeki anda murah dan segala yang baik-baik datang sendiri pada anda. Anda menjadi apa yang anda mahukan
Mengapa fikir perkara buruk sedangkan anda boleh menarik semua yang baik-baik? Fikir yang buruk, anda dapat yang buruk. Ini hukum alam yang dinamakan hukum 'sebab dan akibat'.
  • Hati mesti 'keras'
Bukan keras sebarangan, maksudnya kekerasan hati, kesabaran tinggi, pandai mengawal emosi dan menerima hakikat dengan hati terbuka.
Allah menurunkan musibah dan permasalahan bukan sekadar dugaan tetapi balasan pada perbuatan anda pada masa lalu.
Sebelum tidur, tetapkan minda untuk jadi ceria pada keesokan harinya. Lafazkan dengan nada berbisik. Relaks, jangan terlalu mendesak diri. Selepas bangun tidur, katakan pada diri, ini adalah hari yang baru untuk anda.

Tekadkan diri untuk menjadikan hari yang baru itu hari yang baik, sungguh baik serta sebaik yang mungkin daripada hari sebelumnya.


No comments:

Post a Comment