Setelah bercuti hampir dua bulan di penghujung tahun, cuti sekolah akan berakhir dan tiba masanya untuk kembali ke sekolah untuk memulakan penggal baru di tahun yang baru. Perasaan untuk menjejakkan kaki semula ke sekolah pasti mengujakan lebih-lebih lagi apabila dapat bertemu rakan-rakan selepas bercuti panjang.
Namun tidak kurang juga yang dilanda gementar dan gundah-gulana terutama bagi mereka yang baru bergelar 'murid sekolah'.
Sesetengah kanak-kanak berasa gugup dan takut pada hari pertama mereka berada di sekolah. Malah ada juga yang menangis dan meraung tanpa mempedulikan persekitaran.
'Simptom' ini adalah kecelaruan sementara yang berlaku ekoran masih tidak selesa dengan situasi yang baru mereka alami.
Kaunselor Institut Perguruan Kampus Ilmu Khas, Noraniza Mohd. Noor memberitahu, kecelaruan tersebut hanyalah bersifat sementara.
''Selepas keadaan semakin selesa dan mereka mula menyesuaikan diri dengan persekitaran baru itu, keadaan akan bertukar menjadi seronok.
''Biasanya selepas mempunyai kawan-kawan dan berasa selesa di sekolah, perasaan takut dan gementar akan hilang.
"Begitupun ketegasan daripada ibu bapa untuk memantau anak-anak mereka juga adalah penting,'' tegasnya ketika dihubungi baru-baru ini.
Noraniza berkata, perasaan ini muncul apabila anak-anak ini takut untuk menyesuaikan diri tambahan pula dengan suasana serta mempunyai guru dan kawan-kawan baru.
Dalam rata-rata kes, kata beliau, kanak-kanak yang takut ke sekolah juga kerana mengalami kesukaran untuk berkomunikasi yang menjadi penyebab ketidakselesaan.
Kebimbangan tersebut menyebabkan keengganan untuk ke sekolah.
''Apa yang penting, dalam tempoh berdepan dengan kesukaran itu, kanak-kanak memerlukan sokongan padu daripada orang terdekat terutama ibu bapa dan adik beradik,'' ujarnya bersungguh.
Menurutnya lagi, kecelaruan itu biasanya akan berlaku pada lima hari awal persekolahan.
Namun tegasnya, kecelaruan tersebut biasanya akan hilang selepas memasuki minggu kedua persekolahan serta selepas mereka mempunyai keseronokan tersendiri seperti mempunyai kawan baik.
Menurutnya, mengakui terdapat lima peratus yang mengalami kecelaruan tersebut pada kanak-kanak yang baru menjejaki ke sekolah
Dalam pada itu, peranan ibu bapa dalam mengatasi permasalahan ini adalah penting.
"Seharusnya terangkan kepada anak-anak bahawa menghadiri ke sekolah adalah perkara penting bagi memastikan dia sentiasa dalam keadaan berilmu.
''Selain itu, alihkan perhatian kecelaruan itu kepada perkara-perkara yang menyeronokkan mereka seperti membeli makanan kegemaran serta membeli mainan kepada mereka.
''Tidak salah amalkan perkara tersebut, jika ia tidak keterlaluan namun di sebalik itu kongsikan mereka juga dengan cerita-cerita yang melibatkan persekolahan supaya mereka sukakan perasaan untuk ke sekolah,'' ujarnya lagi
Noraniza menggalakkan ibu bapa berkongsi perasaan dengan anak-anak supaya mereka dapat meluahkan tentang alasan mereka enggan ke sekolah.
''Pertimbangkan semua kemungkinan tersebut, tunjukkan rasa simpati dan sokongan serta memahami kekecewaan yang mereka alami,'' katanya.
Namun katanya, nyatakan kepada mereka yang kita memahami kegelisahan yang dialami tetapi dalam masa yang sama harus tegas agar dia seronok ke sekolah.
Selain itu, tegas beliau lagi, cuba mengenali rakan-rakan di sekolah, keadaan ini akan memberi keseronokan kepada kedua-dua pihak kerana saling membantu pada waktu memerlukan
''Cuba kenali siapa rakan-rakan sekelasnya, dengan cara ini ia boleh memberi keseronokan kepada mereka,'' katanya.
Sebagai ibu bapa, tidak semua tindakan mereka betul dan anak-anak harus mengikutinya, jadi biarkan mereka membuat kerja dengan cara sendiri.
''Perlu diingatkan bahawa apa yang sesuai dengan kita tidak semestinya sesuai dengan gaya kerja anak oleh itu, bebaskan dia supaya dapat melakukan dengan cara tersendiri selagi tidak melanggar peraturan,'' katanya.
No comments:
Post a Comment