Sekiranya anak anda tidur berdengkur, jangan sesekali memandang ringan dengan simptom tersebut. Walaupun gelagat berdengkur di kalangan kanak-kanak boleh dikatakan lucu, tetapi berdengkur merupakan antara simptom klasik kepada sejenis gangguan tidur yang serius, apnea tidur obstruktif (OSA).
Diambil dari perkataan Greek, apnea membawa maksud tanpa angin. Dengkuran berlaku apabila udara gagal bergerak secara bebas di dalam rongga hidung dan mulut seseorang pesakit. Dalam gangguan tidur, pesakit lazimnya berdepan dengan beberapa episod pernafasan terhenti seketika sewaktu tidur. Tempoh penghentian aktiviti bernafas boleh berlaku selama sepuluh saat atau lebih daripada itu.
Malah, dalam sesetengah kes, mangsa dilaporkan mengalami episod pernafasan terhenti sebanyak tiga hingga 300 kali semalam.
Meskipun kerap berlaku pada golongan orang dewasa khasnya lelaki pertengahan usia, OSA juga boleh menjadikan kanak-kanak sebagai mangsanya.
Simptom ini boleh menyebabkan pernafasan yang terhenti-henti sepanjang malam boleh membuatkan pesakit asyik terjaga. Oleh sebab tidur yang tidak berkualiti, mangsa OSA biasanya akan menunjukkan beberapa kesan simptom umum pada waktu siang. Rasa mengantuk, sakit kepala, agresif dari segi tingkah laku dan hiperaktif.
Dalam sesetengah kes, si anak juga cenderung kepada pelbagai masalah di sekolah seperti kurang daya tumpuan ketika belajar.
Pada sebelah malam pula, selain berdengkur dan mengalami pernafasan terhenti seketika, mangsa selalunya kerap bernafas menggunakan mulut. Simptom-simptom seperti berpeluh berlebihan ketika tidur, sering mendapat mimpi ngeri dan kerap terkencing malam turut dilaporkan oleh golongan pakar pediatrik lain di dunia.
Biasanya masalah OSA dalam kalangan kanak-kanak berlaku kepada golongan berusia antara enam hingga 12 tahun. Kanak-kanak lelaki dilihat lebih cenderung menghadapi masalah OSA kerana kebarangkalian mereka untuk mengalami kenaikan berat badan dan obesiti lebih tinggi.
Obesiti dan apnea tidur adalah saling berkait rapat kerana obesiti boleh menyempitkan laluan udara. Biarpun obesiti merupakan antara faktor risiko untuk OSA, ini tidak bermakna golongan kurus langsung tidak memerlukan diagnosis.
Komplikasi
Pesakit masalah dengkur yang dikaitkan dengan simptom OSA juga boleh berdepan dengan risiko komplikasi penyakit lain seperti serangan strok, hipertensi, angin ahmar dan masalah kardiopulmonari. masalah dengkur dalam kalangan kanak-kanak juga berpunca daripada pelbagai faktor lain. Antaranya termasuk alahan rinitis dan masalah tonsil serta adenoid yang membengkak.
Tonsil dan adenoid yang berfungsi untuk memerangkap bakteria berbahaya boleh membesar dan membengkak pada kebanyakan masanya. Adenoid ialah kelenjar-kelenjar yang terletak di dalam kepala dan berdekatan dengan bahagian dalam rongga-rongga hidung. Masalah OSA yang dibiarkan tanpa rawatan hanya merugikan pesakit kerana ia terbukti memberi impak kepada prestasi mangsa tersebut.
Dalam beberapa kajian psikologi yang dijalankan di New Zealand, pesakit OSA yang tidak mendapatkan rawatan didapati mengalami masalah kognitif dan tersasar daripada pencapaian keupayaan IQ biasa.
Satu kajian yang dibiayai oleh Institut Pembangunan Manusia dan Kesihatan Kanak-kanak Nasional (NICHD), Amerika Syarikat (AS) mendapati seorang bayi berusia setahun yang mengalami apnea berbilang atau kadar degupan jantung yang perlahan sewaktu tidur telah menunjukkan pencapaian lebih rendah dalam ujian-ujian perkembangan mental berbanding bayi sebayanya.
Dalam kajian kedua yang dibiayai oleh Institut Jantung, Paru-paru dan Darah (NHLBI) AS, pula, prestasi dari aspek kecerdikan, memori dan ujian kognitif standard yang lain bagi golongan kanak-kanak berusia lima tahun dengan tabiat berdengkur secara kerap, kuat dan masalah pernafasan yang bising sewaktu tidur adalah jauh lebih rendah.
Segerakan rawatan
Ibu bapa perlu lebih peka terhadap simptom-simptom OSA agar anak boleh dirujuk kepada pakar bedah ENT secepat mungkin. Diagnosis akan dibuat bagi mengesan kebengkakan tonsil dan adenoid, masalah jantung, tekanan darah tinggi dan tumbesaran terencat.
Anak dengan masalah OSA juga ada 'wajah Adenoid' iaitu muka yang panjang dengan pipi mendatar. Mulut mereka juga sentiasa ternganga dengan bibir bawah yang tebal. Keadaan ini berpunca daripada tempoh pernafasan menggunakan mulut yang lama dan kemasukan sedikit udara ke dalam bahagian sinus maksilari.
Kaedah rawatan utama untuk kanak-kanak biasanya adalah pembedahan bagi membuang tonsil dan adenoid yang membesar. Kedua, disarankan agar anak sentiasa mengekalkan berat badan yang sihat.
Ibu bapa boleh memberi sokongan agar anak melakukan aktiviti-aktiviti sihat seperti bersenam bagi mendapatkan berat badan ideal tanpa perlu berleter sepanjang masa. Ketika makan, pastikan mereka tidak membiasakan tabiat makan di depan televisyen.
Sebaliknya, amalkan tabiat makan dan menikmati makanan secara perlahan-lahan di meja makan bersama ahli keluarga.
Ibu bapa diingatkan agar tidak menggunakan makanan sebagai ganjaran atau hukuman untuk anak. Mengurangkan berat badan juga tidak bererti si anak perlu mengikuti rejim diet yang ketat melainkan disaran oleh doktor atas sebab-sebab perubatan.
Anak perlu ada rutin tidur yang tetap dan bagus tanpa mengira usia anak. Pastikan rutin itu memenuhi keperluan harian asas untuk kumpulan umur berbeza.
Masalah anak tidur berdengkur kerap juga timbul. Ibu bapa kena ambil perhatian, lebih teruk lagi kalau sejak bayi tidur berdengkur. Kita sendiri penat melihatnya.
ReplyDeletebetul tu..kene monitor, kalau keadaan teruk kena ambil perhatian dan cari solution
ReplyDeleteanak sya 5tahun tidur berdengkur.Sya bw periksa doktor dan kelenjar adenoid membesar.menyebabkan anak sya tdo x lena dan sering terjaga tengah malam. kadang2 adakala dia henti bernafas.Sangat membimbangkan. Sekarang dia dapatkan rawatan selanjut di pakar doktor menyarankan pembedahan kecil dilakukan.
ReplyDeletesalaam..
Deletememang ada penyakit seperti dikatakan tu, memang ada pesakit yang terhenti sendiri pernafasan secara tiba tiba, memang membimbangkan dan perlukan rawatan segera. Molek sangat dah dapatkan rawatan doktor tu, semoga dipermudahkan urusan ya dan segera sembuh anak awak, Insya Allah