heartbeat

Wednesday, March 31, 2010

Tips Mengawal Kemarahan







Walaupun kita tidak boleh mencegah kemarahan, tetapi ekspresi marah boleh dikawal. Hal inilah yang berkait dengan pengawalan kemarahan.


Pengawalan kemarahan dapat dilakukan dengan pelbagai cara antaranya:-


  • Fokus pada masalah, bukan pada perasaan
Ketika seseorang sering mencari kesalahan terhadap sesuatu perkara yang kita lakukan, kita mungkin marah dan mula memfokus kepada emosi tersebut. Jika kita tidak mengutamakan soal penyelesaian masalah tersebut, kemarahan hanya akan membawa kepada masalah lain iaitu kita mula mencari dan mengungkit kesalahan yang dilakukan oleh orang tersebut. Jangan mudah membuat kesimpulan. Siasat dan semak sebaik mungkin. Ketika seseorang memiliki tanggapan terhadap terhadap seseorang terutamanya persepsi negatif, penilaian menjadi tidak rasional. Apa sahaja yang dilakukan oleh orang tersebut akan dianggap negatif. Oleh itu, perlu siasat dan teliti sebaik mungkin.


  • Bersabar
Reaksi marah yang tidak dikawal amat berbahaya kerana kesannya adalah situasi menjadi bertambah sukar.


  • Jangan terlalu mengharap
Kemarahan terjadi kerana kecewa akibat harapan yang tidak dipenuhi. Padahal ia merupakan sesuatu yang biasa kerana kita sering menetapkan standard yang terlalu tinggi. Contohnya, jika anak anda masih melakukan kesalahan matematik walaupun sudah beberapa kali diterangkan kepadanya, jangan berteriak 'bodoh' atau memarahi dengan panggilan yang tidak elok. Cara itu hanya menyebabkan perasaan anak-anak terluka.


  • Jangan melibatkan sebab-sebab lain
Banyak kemarahan terjadi kerana sebab-sebab lain yang langsung tidak ada kaitan. Ini disebabkan kita menyimpan sesuatu emosi terhadap seseorang


  • Alihkan kemarahan kepada perkara-perkara lain
Setiap daripada kita memiliki pola kemarahan yang pelbagai. Ada yang bertindak balas secara serta-merta dengan memaki hamun, menyergah atau berteriak, melempar barangan, menangis dan sebagainya. Sebenarnya pola tersebut boleh dialihkan kepada cara yang lebih terkawal dan tidak menimbulkan aib kepada diri sendiri dan orang yang dimarahi.


  • Menilai dengan bertanya kepada diri
Emosi kemarahan boleh mendatangkan penyakit fizikal. Oleh itu, kita perlu mencari kaedah untuk mengurangkan ketegangan emosi. Misalnya dengan memikirkan 'kenapa saya perlu memikirkan masalah yang kecil ini hinggakan mengganggu ketenangan saya?' atau 'saya ada hal lain yang lebih penting untuk diurus'; atau 'sudahlah, perkara sudah berlaku'. Kita perlu bersikap relaks dalam menghadapi masalah yang silih berganti dan memancing emosi.


  • Melakukan aktiviti melepas tekanan
Emosi marah seseorang boleh dibendung jika ia rajin melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang dapat melupakan permasalahan. Contohnya adalah dengan menyanyi, berteriak, memukul-mukul bantal, beryoga, bermeditasi dan sebagainya.


  • Belajar menyatakan emosi
Kita sering berfikir masih ada hari esok. Kita selalu menangguh dan selalu berfikir bahawa orang akan tahu perasaan kita. Mungkin esok bukan milik kita. Jadi, janganlah menangguh untuk menyatakan emosi atau perasaan yang terpendam kepada seseorang yang kita kasihi. Mengapa kita tidak melakukannya sekarang juga?


Tips kawal kemarahan sepertimana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW:-

1. Kalau anda sedang berdiri, duduklah.
2. Kalau anda sedang duduk, baringlah.

Sebagai peringatan kita bersama, ingati kisah di bawah ini sebelum anda marah atau memaki hamun orang lain:-

Abu hurairah dan Said al Magburi meriwayatkan ; “Ada seorang lelaki memarahi Sayyidina Abu Bakar. Ketika itu Rasulullah saw duduk di sebelahnya. Nabi diam sahaja, begitu juga Abu Bakar.
Selapas orang itu selesai memaki hamun dengan mengeluarkan kata-kata kesat, Abu Bakar membalas makian itu, tetapi Rasulullah bangun dan beredar dari situ. Abu Bakar hairan dan terus mengekori Nabi Muhammad sambil berkata; “Ya Rasulullah, dia memaki hamun saya dan engkau pula diam. Ketika saya menjawab maki hamun itu, tiba-tiba engkau bangun lalu pergi.”
Rasulullah lantas menjawab ; “Sesungguhnya malaikat mengembalikan semua makian orang itu kepadanya ketika engkau diam, tetapi ketika engkau membalas makian itu, maka malaikat pergi dan syaitan pula masuk dan saya tidak suka duduk bersama syaitan.” Rasulullah kemudian bersabda lagi; “Allah akan memuliakan hamba-Nya ketika sedang dianiaya lalu memberikan kemaafan sambil mengharapkan keredhaan Allah.”
Abu Said al Khurdi pula berkata : Rasulullah ada bersabda : “Awaslah kamu daripada sifat marah kerana marah itu menyalakan api dalam hati anak Adam. Maka sesiapa yang berasakan demikian ketika berdiri, hendaklah dia duduk dan jika dia duduk hendaklah ia berbaring.”
Abu Hurairah al Bahlili berkata bahawa Rasulullah pernah bersabda : “Sesiapa yang pemarah tetapi dapat menahan marahnya dengan sabar, maka Allah akan mengisi hatinya dengan keredhaan pada hari kiamat.” 

No comments:

Post a Comment