Semasa bayi baru lahir, 70% daripada saiznya ialah kepala dan ia menyumbang kepada ¼ daripada jumlah panjang bayi, begitu juga kaki. Apabila bayi membesar perubahan bentuk badan turut berubah. Pertumbuhan berlaku secara cephalocaudal iaitu daripada arah kepala ke bawah. Apabila ia berumur satu tahun, kepala bayi hanya 20 peratus daripada jumlah keseluruhan panjang/tingginya. Pertumbuhan menjadi cepat selepas itu. Pertumbuhan juga berlaku dengan cara proximodistal iaitu dari tengah ke sisi. Misalnya, dada dan organ-organ dalaman akan membesar dahulu beranding dengan lengan, tangan dan kaki semasa berumur satu tahun. Perkembangan otot-otot pula berlaku dalam arah cephalocaudal iaitu otot-otot kepala dan leher membesar dahulu daripada bahagian-bahagian lain.
Pertumbuhan dan perkembangan fizikal bayi didapati paling pesat pada 2 tahun yang pertama. Bayi yang baru lahir umunya mempunyai berat badan dalam lingkungan 2.5 hingga 2.8 kg. Ketinggian bayi pula berukuran lebih kurang 50 cm. Bayi biasanya akan kehilangan 5 hingga 7 peratus berat badan yang asal beberapa hari selepas dilahirkan. Kehilangan berat badan ini adalah disebabkan oleh kehilangan air dan proses penyesuaian bayi terhadap persekitaran yang baru. Berat badan bayi akan meningkatkan semula selepas beberapa hari setelah ia sudah biasa dengan aktiviti menghisap, menelan dan menghadam makanan. Bayi lelaki biasanya mempunyai saiz badan yang lebih besar berbanding dengan bayi perempuan.
Berat badan bayi meningkat sebanyak 5 hingga 6 oz setiap minggu pada bulan yang pertama. Berat badannya meningkat hingga 2 kali ganda berat yang asal apabila usianya memasuki bulan yang keempat. Berat badan bayi menjadi 3 kali ganda apabila bayi berusia setahun. Kadar penambahan berat badan bayi menjadi perlahan sedikit apabila usia bayi memasuki tahun kedua, iaitu sebanyak ¼ hingga ½ paun setiap bulan. Pada usia 2 tahun, bayi sudah mencapai 4 kali ganda berat yang asal. Bayi yang kecil semasa dilahirkan akan memperoleh peningkatan berat badan yang lebih berbanding dengan bayi yang besar.
Dari segi ketinggian pula, bayi mengalami penambahan ketinggian sebanyak satu inci sebulan pada tahun yang pertama. Apabila bayi mencapai usia setahun, ketinggiannya adalah sebanyak 12 inci iaitu lebih kurang satu setengah kali ketinggiannya semasa lahir. Misalnya jika bayi mempunyai ketinggian sebanyak 18 inci semasa lahir akan mempunyai ketinggian sebanyak 30 inci ketika berusia setahun. Pada keseluruhannya, penambahan berat badan didapati lebih cepat berbanding dengan penambahan ketinggian.
Di sini dapat dirumuskan bahawa kadar pertumbuhan bayi pada 2 tahun yang pertama didapati pesat sekali. Perubahan yang nyata dapat diperhatikan dari segi tinggi, berat, bentuk badan, dan kemahiran motor. Namun demikian terdapat juga bayi yang mengalami masalah pertumbuhan dan perkembangan yang lambat atau luar biasa. Keadaan ini mempunyai kaitan dengan pelbagai faktor seperti genetik, status sosio-ekonomi dan kesihatan, Bellamy (1999) melaporkan 40 peratus daripada kanak-kanak yang berusia di bawah 5 tahun di negara-negara mundur mengalami masalah tidak cukup berat badan, manakala 47 peratus didapati mengalami pertumbuhan yang terbantut atau terhenti. Selain mengalami masalah fizikal, mereka ini kadang-kadang juga mengalami kecacatan mental dan kecacatan deria.
No comments:
Post a Comment