Bila seseorang datang ke klinik mengadu sakit pinggang biasanya dia merujuk kepada sakit atau rasa tidak selesa di kawasan bawah belakang sehingga tulang punggung.
Sakit pinggang tidak bermakna sakit buah pinggang (kidney). Buah pinggang tidak terletak di bahagian pinggang. Ia terletak lebih atas dari kawasan pinggang dan ia diselindungi dan dilindungi oleh tulang rusuk bahagian belakang.
Mungkin anda cuma sakit urat belakang sahaja. Terdapat banyak urat di bahagian belakang dan pinggang seperti gambarajah di bawah.
Apabila seseorang itu menggunakan urat belakang terlalu lama atau agresif atau kedudukan badan (posture) yang tidak betul, ia boleh menyebabkan otot tersebut akan kejang dan sakit. Keadaan ini membuatkan ramai orang menyangka sakit ini adalah dari sakit buah pinggang (kidney) sebaliknya ia hanya sakit dan tegang urat belakang sahaja.
Bagaimana cara untuk mengenalpasti sakit tersebut hanya dari urat belakang dan tidak dari buah pinggang.
- Biasanya sakit urat belakang bermula setelah berlaku atau melakukan sesuatu kegiatan yang melibatkan bahagian belakang sebelumnya. Ini seperti terjatuh, bermain aktiviti sukan yang telah lama ditinggal, mengangkat berat, melakukan tunduk dan bangun berkali-kali, duduk di kerusi atau berdiri terlalu lama, memandu kenderaan terlalu lama, demam atau batuk yang berpanjangan.
- Sakit belakang bertambah sekiranya pergerakan belakang dibuat. Sebaliknya jika tiada pergerakan sakitnya kurang atau tiada.
- Tiada tanda-tanda sakit buah pinggang seperti bengkak kaki dan muka, masalah kencing yang terlalu banyak atau terlalu sikit, kencing berdarah, tekanan darah meninggi dengan mendadak, intensitinya sama samada bergerak atau diam diri (melainkan jangkitan kuman di buah pinggang, tetapi ia mesti berserta dengan demam panas), demam, muntah, sakit kepala dan pening. Biasanya simptom-simptom ini datang perlahan-lahan melainkan batu karang di saluran kencing atau buah pinggang.
- Mengurut, ubat penahan sakit dan ubat tegang otot boleh melegakan atau menghilangkan sakit belakang tetapi tidak jika sakit buah pinggang.
- Pemereksaan darah dan air kencing adalah normal.
Sakit buah pinggang yang boleh terjadi dengan tiba-tiba, tanpa demam, tanpa bengkak kaki atau muka hanya batu karang sahaja. Itu pun tak semestinya batu karang tersebut merosakkan buah pinggang. Sakit buah pinggang yang lain biasanya datang dengan perlahan-lahan bersertakan dengan simptom-simptom yang lain.
Source: Sakitanda.com
No comments:
Post a Comment